Memadankan Asma' (Sucikanlah)

Tuesday, December 28, 2010

[Fusus: al-Muhaqqiqun yang Allah menjadi temannya hanya menyatakan sesuatu yang haq mengenai temannya. Mereka memiliki takhalluq yang mulia akan apa yang mereka kenali daripada takhalluq Nya. Syeikh dalam bab 149 menulis mengenai padanan asma' yang dibuat terhadap Allah]

Bab 149 al-Futuhat:
Di antara sekelian asma’ antaranya adalah yang boleh dipadankan (kepada Allah) dan ada yang tidak boleh dipadankan. Sebagai contoh, al-faliq dan al-Ja’al telah pun dipadankan, tetapi yang memperolok dan yang mempersendakan tidak dibukakan. Meski pun begitu, DIA lah yang ‘membalas tipu daya’ barangsiapa yang DIA berkehendak di kalangan hamba NYA. DIA membalas olokan dan mempersenda siapa jua di kalangan mereka yang DIA kehendaki, kerana DIA telah menyatakan mengenainya (Quran 2:15 Allah (membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu) dan 3:54 Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.). Namun DIA tidak dinamakan dengan sesuatu pun yang seumpama itu.
Ada nama-nama yang dipadankan kepada hamba tetapi tidak kepada sisi Ilahiyyah, sekalipun maknanya terkandung di dalamnya. Sebagai contoh, al-bakhil di padankan kepada hamba tetapi tidak kepada al-Haq. Namun bakhil adalah satu bentuk mengekang, dan salah satu asma’Nya adalah al-Mani’ (yang mengekang). Seseorang yang bakhil adalah juga yang mengekang. Ini adalah benar, tetapi kita tanyakan dengan cara yang lain sebagai pendekatan kepada soalan ini, jadi kita katakan: Setiap yang bakhil adalah yang mengekang, tetapi tidak setiap yang mengekang adalah bakhil. Dia yang mengekang sesuatu yang hak kepada seseorang yang menjadi kepunyaannya adalah bakhil; tetapi al-Haq telah merakamkan perkataan Musa a.s. iaitu “Allah telah mengurniakan setiap sesuatu penciptaannya” (Quran 20:50). Dia yang mengurniakan kamu penciptaan mu (selengkapnya) dan melengkapkan hak mu tidak lah bakhil terhadap mu. Jadi mengekang apa yang bukan hak makhluk itu bukanlah mengekang yang bersifat bakhil. Kini kita akan melakukan pembezaan di sini antara dua makna tadi. Dengan cara yang sama asma’ al-kazib (berbohong) kekal khusus kepada hamba dan tidak sepatutnya dipadankan kepada al-Haq, kerana Dia menyatakan kebenaran dalam semua perkara.
Sepertimana asma’ al-jahil adalah salah satu nama bagi al-kawn (makhluk) dan ianya tidak wajar dipadankan di sisi Ilahiyyah.
Setiap asma’ yang dengannya sesuatu dinamakan, dan yang menyatakan makna adalah asma’ Allah. Bagaimana pun, ia tidak harus dinyatakan kepada Nya – dan ini samada disebabkan oleh syariat, atau disebabkan adap kepada Allah.
[Fusus: Syeikh dibahagian yang lain memberikan panduan bagi mereka yang benar-benar mahu mentahqiqkan (mencapai kesedaran) akan kesemua nama Allah]
Tetapi bagi dia yang benar-benar mahu mentahqiqkan kesemua nama Allah hendaklah bertafakur atas firman NYA “Wahai manusia, kamu fakir (sangat berhajat) kepada Allah (Quran 35:15). Hakikatnya tiada lain dalam wujud melainkan pernyatan asma’ Nya.


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Nama Yang Menyeluruh (Sucikanlah)

Tuesday, December 21, 2010

[Fusus: Syeikh Ibn 'Arabi dalam bab ke 69 al-Futuhat menulis mengenai asma' Allah sebagai al-ism al-jami'. Syeikh menyentuh firman Allah "sebab itu jangan kamu adakan bagi Allah beberapa mithal. Sesungguhnya Allah mengetahui dan kamu tidak tahu" (an-Nahl:74). Allah merupakan asma' yang mulia yang pasti kita sucikan. Jika kita terjumpa tulisannya di jalanan atau di tempat-tempat yang tidak suci pasti kita tidak akan biarkan begitu sahaja tanpa diselamatkan dan disucikannya atau dilupuskan dengan takzim. Kita tidak akan biarkan ianya digandingkan dengan perkara-perkara dan sebutan-sebutan yang tidak sepatutnya (syirik).]

Allah nama yang menyeluruh (al-ism al-jami'), yang menyatukan kesemua asma' Ilahiyyah dan mengandungi kesemua makna asma'. Mithal hanya dibuat bagi satu nama yang khusus. Jika kita ingin membuat mithal kepada Allah iaitu al-ism al-jami', kita tidak akan mampu untuk membuat mithal berkenaan objek bagi mithal tersebut. Mithal adalah khusus, dan objek bagi mithal adalah tidak terbatas (mutlak). Sudah tentu ini merupakan suatu kejahilan. Oleh itu kita ditegah (an-Nahl: 74) membuat mithal seumpama ini tanpa menentukan suatu nama yang khusus yang dengannya seseorang itu boleh membuat mithal.

[Fusus:Syeikh kemudiannya melanjutkan dengan mithal yang sah yang dipilih oleh Allah bagi suatu namaNya yang khusus]

Adalah sah untuk membuat mithal bagi suatu nama yang khusus sebagaimana yang Dia firmankan dalam ayat: "Allah" "Nur langit dan bumi" (Dia tidak membuat mithal bagi nama Allah, tetapi memilih Nama yang khusus). Dia mithalkan lampu kepada nama "Nur" yang mana adalah berhubungan (nisbah). (Quran 24:35; "mithal Nur-Nya, seperti sebuah lubang di dinding rumah, di dalamnya ada lampu). Begitulah ianya, dan jangan membuat mithal kepada Allah. Aku tidak pernah melakukannya. Fahamilah! Semoga Allah mengurniakan kamu kefahaman akan firman-firmanNya dan menempatkan kita di kalangan mereka yang mempunyai takhalluq yang mulia akan apa yang kita kenali daripada takhalluqNya. Dialah al-Latif, Yang Maha Latif kepada hambaNya yang Dia kasihi.


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

BUKAN KATA NAMA (SUCIKANLAH)

Saturday, December 11, 2010

[Fusus: Tasauf pada peringkat mana sekalipun tidak pernah menyamatarafkan Asma' Allah al-Husna dengan "kata nama" samada melalui ma'rifah mahupun ladunni. Pengetahuan yang sedemikian (menyamatarafkan) asma' Allah al-Husna dengan kata nama tidak pernah berlaku kerana bukaan hanyalah dari Allah dan Allah mengetahui DiriNya dan tidak mungkin pengetahuan yang sedemikian datang suci dari Nya]

Dari al-Futuhat al-Makiyyah bab 284:

Rasulullah s.a.w. mengkhabarkan mengenai pengetahuan tentang al-Haq (ilm al-Haq) yang diajarkan oleh Allah kepada baginda. Baginda bersabda, “ Ya Allah, aku memohon kepada Mu dengan segala Nama yang Engkau namai diri Mu, atau yang Engkau ajarkan kepada seseorang makhluk Mu, atau yang Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib yang ada di sisi Mu”.

[Fusus: Hadis penuh“Ya Allah, Sesungguhnya aku adalah hamba-Mu, anak hamba-Mu (Adam), dan anak hamba perempuan-Mu (Hawa), ubun-ubunku berada di tangan-Mu, hukum-Mu berlaku terhadap diriku dan ketetapan-Mu adil pada diriku. Aku memohon kepada-Mu dengan segala Nama yang menjadi milik-Mu, yang Engkau namai diri-Mu dengannya, atau yang Engkau turunkan di dalam Kitab-Mu, atau yang Engkau ajarkan kepada seseorang dari makhluk-Mu, atau yang Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib yang ada di sisi-Mu, maka aku mohon dengan itu agar Engkau jadikan al-Qur-an sebagai penyejuk hatiku, cahaya bagi dadaku dan pelipur rasa sedihku, serta penghilang bagi kesusahanku.”

Melainkan Allah akan menghilangkan kesedihan dan kesusahannya serta menggantikannya dengan kegembiraan. (Riwayat Ahmad I/391, 452)]

Demikian Dia memiliki nama yang hanya diketahui oleh DiriNya dan kembali kepada Nya. Melalui (perkataan) “rahsiakan pada sisi Mu” Dia telah mengekangnya (nama-nama) daripada pengetahuan makhluk Nya. Nama-nama Nya bukanlah “kata nama khas”, tidak juga “kata nama”. Nama-nama tersebut ialah Nama Nya melalui pujian, maha pujian, dan melahirkan keagungan. Demikian ianya adalah “indah” (husna) kerana apa yang dapat difahami daripada maknanya. Ianya berbeza daripada “kata nama / kata nama khas”, yang mana hanya semudah untuk menandakan ain yang dinamakan oleh mereka (kata nama / kata nama khas), tidak dalam pujian mahupun dalam celaan.


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Mengenang Allah Dan Zikir Malaikat (2)

Monday, November 29, 2010

[Fusus: Keikhlasan ketika berzikir adalah penting sepertimana pentingnya dalam apa jua amalan-amalan. Tidak mengapa jika tidak dilakukan dalam bilangan yang banyak, tidak dilakukan sekaligus sebaiknya biarlah ditingkatkan sedikit demi sedikit. Sebuah hadis dari Abu Hurairah r.a. daripada Rasulullah s.a.w. baginda bersabda: "Barangsiapa duduk di satu tempat, lalu tidak sempat berzikir kepada Allah taala di situ, penyesalan yang ia akan perolehi daripada Allah. Dan barang siapa baring pada satu tempat, lalu ia tidak sempat berzikir kepada Allah taala di situ, ia akan mendapat penyesalan daripada Allah". Setiap tempat berzikir daripada satu tempat sekaligus (kecuali bagi yang beruzlah). Kerana Allah yang mengangkat kita pada tahap-tahap zikir kita. Dalam kalam hikmah yang ke-47 dan yang ke-248 al-Imam Ibnu Athaillah Askandary merumuskan sebagai berikut]

Kalam hikmah ke-47;
 “Jangan anda tinggalkan zikir (menyebut atau mengingati Allah), kerana tidak hadir (hati) anda serta Allah dalam zikir itu. Kerana bahawasanya kelalaian anda daripada mengingatiNya lebih berat dari kelalaian anda pada ada mengingatNya. Mudah-mudahan Allah Ta’ala akan mengangkat anda dari zikir di samping ada kelalaian kepada zikir di mana hatinya jaga (tidak lalai lagi). Dan mudah-mudahan Allah Ta’ala akan mengangkat anda dari zikir yang beserta kehadiran Allah (dalam hati) kepada zikir di mana lenyap (ghaib) selain Allah. Dan itu semua tidak lah sukar bagi Allah yang Maha ‘Aziz”.
Kalam hikmah ke-248;
“Tidak ada zikir yang tergambar pada lahiriah, melainkan terbit dari batin syuhud akan Allah dan tafakkur”
Dari kitab Risalah Qusyairy;
Ketika Syeikh Dzu al-Nun al-Misri ditanya tentang zikir, dia menjelaskan, “Zikir bererti tiadanya ingatan pelaku zikir terhadap zikirnya” Lalu beliau membaca syair : Aku berzikir hanya kepada Mu bukan kerana aku telah melupakan Mu; Itu hanyalah apa yang mengalir dari lidah ku.
[Fusus: Bab 216 al-Futuhat al-Makiyyah memperihalkan tentang ahli zikir yang menyedari bahawa Allah adalah teman bagi orang yang berzikir yakni ahli al-Quran dan ahli al-zikr]
….tetapi Dia tidak diketahui melainkan kepada ahli Nya dan pilihan Nya. Mereka ialah ahli al-Quran dan ahli zikir, yang mana Allah mengarahkan kita untuk bertanya, kerana mereka hanya akan mengkhabarkan mengenaiNya. Dia berfirman, oleh itu tanyalah kepada ahli zikir jika kamu tidak tahu [Quran 16:43], kerana ahli zikir merupakan teman al-Haq.
Si penzikir, mengenai ingatannya kepada Allah, Allah sendiri menyaksikan, (bahawa ahli zikir) hanya mengkhabarkan mengenai temannya sahaja. Demikian dia mengkhabarkan hal keadaan sebagaimana ianya (tanpa tokok tambah), dan inilah “pengetahuan”. “ Apakah (orang-orang kafir itu sama dengan) orang-orang yang ada mempunyai bukti yang nyata dari Tuhannya, dan diikuti pula oleh saksi dari Allah" [Quran 11:17].
....Tiada dapat dielak daripada Dia berteman dengan yang mengingatiNya-melalui penyaksian yang tertentu. Tiada yang lain melainkan peningkatan ‘arif yang melaluinya fadilat terzahir.
Setiap orang yang berzikir yang ‘arifnya tidak bertambah ketika mengingat Yang Diingat bukanlah seorang yang berzikir, sekalipun ia berzikir dengan lidahnya kerana orang yang berzikir hanyalah dia yang meresap keseluruhannya dengan zikirnya itu. Itulah teman al-Haq. Dia tidak akan terlepas dari memperolehi manfaat, di sebabkan oleh Al-'Alim, yang mana bakhil adalah tidak mungkin bagiNYa, pasti akan menganugerahkan ke atas temanNya sesuatu yang tidak ia miliki. Di sini tiada bakhil yang membatalkan pemurah. Demikianlah teman bagi al-Haq.
Al-Haq adalah berserta bagi setiap seseorang dalam al-alam namun mereka tidak menyedarinya. Had tertinggi golongan awam – jika mereka beriman – ialah mereka mengetahui yang Allah berserta mereka.
[Fusus: Quran 57:4 “Dan berserta kamu, di mana kamu berada”]
Tetapi manfaatnya terletak pada kamu berteman dengan Allah, tidak pada Dia berserta kamu, kerana demikianlah halnya. Dia yang bertemankan al-Haq tidak terlepas daripada syuhud akan al-Haq. Yang memandang akanNya tidak lain daripada wujud ‘arif padanya (orang yang berzikir). ‘Arif ini merupakan kurniaan Ilahi.

[Fusus: Namun ada juga yang merasa bimbang?, risau? untuk berzikir. Petikan berikut ialah dari bab ke-53 al-Futuhat. Semoga Allah menunjukkan jalan ]

JIKA mana-mana kalangan jin atau al-mala' al-a'la muncul, seseorang itu hendaklah memejamkan matanya dan tidak terikat dengan perbualan bersama mereka, sekalipun mereka berkata-kata. Jika jawapan sangat diperlukan seseorang itu hendaklah memberikan seadanya sahaja, dan tidak lebih dari itu. Jika jawapan tidak diperlukan seseorang itu hendaklah mendiamkan diri dan tetaplah dengan apa yang dikerjakan (zikir). Apabila mereka melihat seseorang dalam keadaan sebegini, mereka akan menjauhkan diri daripadanya dan tidak akan menghalanginya dan akan menghilangkan diri mereka daripadanya. Kerana mereka tahu barangsiapa yang mengganggu seseorang yang sibuk dengan Allah daripada pekerjaannya dengan Dia akan dihukum oleh Allah azzawajalla.

[Fusus: Ada terlalu banyak jenis zikir; zikir 4 juta, zikir sebanyak makhluk, zikir malaikat; berikut adalah apa yang dikenali sebagai zikir malaikat ]
Ahmad bin Ibrahim ad-Dauraqi menceritakan kepada kami, Ismail bin Ibrahim memberitahukan kepada kami, al-Jurairi memberitahukan kepada kami dari Abi Abdillah al-Jasri dari Abdillah bin ash-Shamit dari Abi-Zarr :  Bahawa Rasulullah menjenguknya atau Abu zarr menjenguk Rasulullah s.a.w. lalu ia berkata: “Engkau (tebusanmu) adalah dengan ayah ibuku wahai Rasulullah: “Apakah kalimat yang paling dicintai Allah?” Beliau bersabda: “Zikir yang dipilihkan Allah bagi para malaikatNya: Subhanarabbi wabihamdihi Subhanarabbi wabihamdihi (Maha suci Rabb ku dan pujian untukNya , Maha suci Rabb ku dan pujian untukNya) – Hadis ini adalah Hasan Sahih.


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Mengenang Allah Dan Zikir Malaikat

Monday, November 22, 2010

Dari bab al-Hikmah Nafasiyyah pada kalimah Yunus a.s  kitab Fusus al-Hikam Syeikh al-Akhbar Ibn ‘Arabi yang antaranya memperihalkan tentang zikir kepada Allah.
…Betapa indahnya sabda Rasulullah s.a.w. “Mahukah aku ceritakan kepada kamu sesuatu yang lebih baik daripada memerangi musuh, menyerang mereka dan diserang oleh mereka; iaitu zikir kepada Allah.”
[Fusus: Hadis penuh al-Husain bin Huraits menceritakan kepada kami, al-Fadhi bin Musa memberitahukan kepada kami dari Abdullah bin Said, dia adalah Abu  Hindun dari Ziyad iaitu sahaya dari Ibnu Ayyas dari Abi Bahriyyah dari Abid Darda’ berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: “Mahukah aku ceritakan kepada mu tentang sebaik-baik yang paling suci amal perbuatanmu di sisi Rajamu dan paling tinggi darjatmu dan lebih baik bagimu daripada mengeluarkan infaq berupa emas dan perak dan lebih baik bagimu daripada kamu menjumpai musuh-musuhmu dan kamu memenggal leher mereka dan mereka memenggal lehermu.” Mereka menjawab: “ Tentu,” Beliau bersabda: “Zikir kepada Allah.”]
Ini kerana hanya dia yang mengingati Allah dengan sempurna akan menghargai nilai sebenar penciptaan manusia, kerana Allah adalah teman bagi seseorang yang mengingatiNya, dan teman ditanggap oleh dia yang mengingat. Jika yang berzikir tidak menanggap Allah, yakni temannya, dengan itu dia bukanlah sebenar-benar orang yang berzikir, kerana ingat akan Allah akan mengalir melalui setiap bahagian hamba (yang sebenar-benar hamba). Ini tidaklah bermakna seseorang menyebutNya dengan lidahnya sahaja, supaya dengan itu hanya lidah yang menanggap Dia, yang mana tidak sama sepertimana tanggapan keseluruhan insan (jasad). Kamu seharusnya cuba memahami rahsia yang tersirat dalam zikir bagi mereka yang benar-benar alpa. Sesungguhnya, bahagian tertentu bagi seseorang yang alpa yang mengingati Allah adalah tanpa ragu hadir berteman Allah, dan Dia yang diingati adalah temannya.
[Fusus: Hadis Qudsi “Allah S.W.T. mewahyukan kepada Nabi Musa a.s.” “Ya Musa! Apakah engkau suka aku tinggal bersamamu dalam rumahmu?” (Mendengar itu) Nabi Musa tunduk sujud kepada Allah kemudian berkata: “Wahai Tuhanku, bagaimana mungkin perkara itu?” Allah berfirman kepada Musa: “Ya Musa! Apakah tidak engkau ketahui bahawa Aku teman (jalisu) bagi orang yang berzikir pada Ku? Dan (lebih dari itu) di mana pun hambaKu mencari Aku, maka ia pasti menjumpaiKu” – Hadis riwayat Ibnu Syahin dari Jabir r.a.]
Orang yang alpa (keseluruhannya) bagaimana pun, tidak mengingati, dan Dia tidak menemani seseorang yang alpa. Manusia itu berbilang-bilang (pada anggota) dan tidak tunggal pada zat, sementara Allah tunggal pada zat, tetapi memiliki asma’ yang pelbagai. Demikianlah manusia dengan berbilang-bilangnya anggota, dan ingatan oleh satu anggota tidaklah menandakan ingatan oleh bahagian anggotanya yang lain. Allah berteman dengan bahagian tersebut yang mengingatNya, sementara yang lain dinyatakan sebagai alpa.
Adalah perlu untuk adanya satu bahagian pada manusia yang mengingat Allah dan dengannya Allah hadir, oleh itu yang lain terselamat dalam perlindunganNya.
Bersambung....


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Bagaimana Bersikap Jika Iblis Menyeru Kepada Tauhid

Tuesday, November 9, 2010

Tajuk kali ini diletakkan dibawah label Ma'rifat al-Syaitan. Mudah-mudahan dimasa akan datang akan ada yang  dapat memenuhkan sedikit sebanyak isi kandungan keempat-empat Rukun Ma'rifat iaitu: Ma'rifatullah, ma'rifat al-Nafs, ma'rifat al-Dunya, dan ma'rifat al-Syaitan. Wama tasha-una illa ayyasha Allahu Rabbul'alamin (tidak berkehendak kamu melainkan kehendak Rabb semesta alam - Quran 81:29). Dari Futuhat al-Makiyyah Syeikh al-Akhbar Ibn 'Arabi:

Iman ialah qawl (pengucapan), ‘amal, dan I’tiqad. Hakikatnya ialah i’tiqad, jika berdasarkan kepada kedua-duanya iaitu syariat dan bahasa; ianya terzahir dalam pengucapan dan ‘amal berdasarkan syariat, tetapi tidak berdasarkan bahasa. Orang mukmin ialah dia yang pengucapannya dan perbuatannya (fi’l) menuruti dengan apa yang dii’tiqadkannya. Inilah kenapa Allah berfirman mengenai orang mukmin:

“ Wahai orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha (yang sejati), mudah-mudahan Rab (Tuhan) kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari Allah tidak menghinakan nabi dan orang yang beriman bersama dengannya, sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Rabbana (wahai Tuhan kami)! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami. Sesungguhnya Engkau (Allah) terhadap segala sesuatu adalah al-Qadir (Maha Kuasa).” (Q 66:8).

Di sini Dia maksudkan dengan “cahaya” sebagai ‘amal yang baik di sisi Allah yang mereka persembahkan.

“Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang Muslim, dan laki-laki dan perempuan yang Mukmin, dan laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, dan laki-laki dan perempuan yang siddiq (benar), dan laki-laki dan perempuan yang sabar, dan laki-laki dan perempuan yang khusyuk, dan laki-laki dan perempuan yang bersedekah, dan laki-laki dan perempuan yang berpuasa, dan laki-laki dan perempuan yang memelihara kemaluannya, dan laki-laki dan perempuan yang banyak mengingati Allah; Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar”.(Q 33:35)

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Orang mukmin itu, di mana orang-orang mukmin merasa aman daripadanya, terhadap diri dan harta mereka.”

[Fusus: Hadis penuh ialah Nabi s.a.w bersabda: “Adakah kamu ketahui, siapakah muslim itu?”, lalu para sahabat menjawab: “Allah dan Rasul Nya yang lebih mengetahui”. Lalu Nabi s.a.w bersabda: “Orang muslim ialah orang yang selamat orang muslim lainnya dari lidah dan tangannya”. Maka mereka bertanya: “Siapakah orang mukmin itu?” Nabi s.a.w menjawab: Iaitu orang, di mana orang-orang mukmin merasa aman daripadanya, terhadap diri dan harta mereka”. Lalu mereka bertanya lagi: “Siapakah orang yang berhijrah itu?”. Nabi s.a.w. menjawab: “Iaitu, orang yang berhijrah (meninggalkan) yang jahat dan menjauhkan diri daripadanya”. – dirawikan ath-Thabrani dan al-Hakim dari Fadlalah bin ‘Ubaid, hadis sahih.]

Baginda juga bersabda, “ Orang beriman itu, di mana tetangganya aman dari kejahatan-kejahatannya.”

[Fusus: Hadis penuh ialah Nabi s.a.w bersabda: “Tiada beriman seorang hamba sebelum tetangganya aman dari kejahatan-kejahatannya”. – dirawikan al-Bukhari dari Abu Syuraih. Bahagian seterusnya menunjukkan perbezaan antara iman dengan pengetahuan yang serupa dengan perkara yang diimani tersebut. Iman menuntut kepada menyatakan haq kepada Allah, sedangkan pengetahuan yang serupa mengenai kebenaran tersebut tidak menuntut pernyataan kepada sesiapa pun]

Iblis datang kepada ‘Isa a.s. dalam bentuk seorang lelaki tua yang zahirnya indah.....dia berkata kepada ‘Isa a.s. “Wahai ‘Isa, katakan LA ILAHA ILLA ALLAH!”, merasa cukup yakin dan puas bahawa ‘Isa a.s. akan mematuhi arahannya kali ini.

‘Isa a.s. menjawab, “Aku akan katakannya, tetapi bukan berasaskan pengucapan mu”. “LA ILAHA ILLA ALLAH!”. Dengan itu iblis pun berlalu dalam keadaan dikalahkan.....

Dari sini kamu dapat mengetahui perbezaan antara mengetahui sesuatu dengan beriman akannya, dan kamu akan mengetahui bahawa kebahagiaan terletak pada iman. Iman ialah menyatakan apa yang kamu tahu atau apa yang biasa kamu katakan daripada Rasul kamu – iaitu (sebagai contoh) Musa a.s. – berasaskan perkataan Rasul seterusnya, iaitu Muhammad s.a.w. Kamu tidak katakannya berasaskan pengetahuan kamu ketika pertama kali kamu lafazkannya. Dengan itu kamu akan disaksikan sebagai beriman dan kebahagaiaan akan datang kepada mu. Tetapi apabila kamu tidak katakannya berasaskan perkataannya (Rasul), kamu dengan itu adalah munafiq.

Allah berfirman, “Wahai orang-orang beriman”, bermakna mana-mana ahli kitab (yang berpegang pada wahyu yang tulen) kerana mereka katakan apa yang telah mereka katakan berasaskan Rasul mereka ‘Isa atau Musa – atau sesiapa jua yang beriman berasaskan wahyu yang sebelumnya; demikian Dia berfirman, “Wahai orang-orang beriman”, kemudian Dia katakan kepada mereka, “Wahai orang yang beriman! Berimanlah kepada Allah dan rasul-Nya (rasul Allah) dan kepada kitab yang Dia (Allah) turunkan sebelum itu. Dan sesiapa yang kafir terhadap Allah, para malaikat-Nya (malaikat Allah), kitab-kitab-Nya (kitab-kitab Allah), para rasul-Nya (rasul Allah) dan hari akhirat maka sesatlah dia sesesat-sesatnya”. (Q 4:136)

Dalam lain perkataan: katakan “LA ILAHA ILLA ALLAH” berasaskan perkataan Muhammad s.a.w., bukannya berasaskan pengetahuan mu mengenainya, tidak jua berasaskan imanmu terhadap Rasul mu yang pertama ( bagi ahli kitab terdahulu ). Kamu akan menyatukan (bagi ahli kitab) dua keimanan, dan kamu akan memperolehi dua ganjaran.


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Alam al-Amthal, Pecahan Diri, Dan Ubahan Bentuk Diri (4)

Monday, November 1, 2010

Apabila hijab disingkap bagi golongan awam ketika ajal dan peralihan ke barzakh, ketika itu mereka berkeadaan sama serupa sepertimana keadaan ketika mereka berjasad di alam ini, kecuali mereka akan berubah daripada satu hadrat kepada suatu hadrat yang lain, atau daripada suatu keadaan kepada keadaan  yang lain. Tetapi al - 'arifun - naib al-Haq - telah pun memiliki kedaan ini ketika hayat di dunia.
[Fusus: ‘Keadaan’ yang dimaksudkan oleh Syeikh Ibn ‘Arabi ialah samada ilmu yaqin, ‘ainul yaqin atau pun haqqul yaqin, ketika beliau menghuraikan tentang Niyaba ke sepuluh daripada sepuluh niyaba yang dikurniakan Allah kepada insan al-kamil ]
Di sini niyaba hanyalah niyaba bagi tawhid kerana hukm tidak zahir sehinggalah selepas ilqa’. Dengan lain perkataan, apabila kejadian ‘meninggalkan’ dia yang meng ilqa’, dan Allah berperanan melalui sifat-sifat ‘wikala’ (wakil) bagi golongan naib dan melalui sifat-sifat nyata (pada khayal penglihatan) bagi golongan ahli sihir. Ini mengekalkan ghayra Ilahiyyah (cemburu Ilahi), supaya dengan itu tiada suatu pun selain Dia yang mempunyai hukm terhadap benda-benda melainkan Allah.
Maka tetap lah bagi ahli niyaba pada hadrat ini berterusan pada tasarruf, sebagaimana yang telah kami nyatakan. Orang awam menamakannya "karamat", "alamat-alamat", dan "mencarik adat". Bagi al- muhaqqiqun, perlakuan ini bukanlah "mencarik adat", melainkan suatu perlakuan mengeluarkan kepada wujud al-mumkin. Hakikat nya tiada tabiat, kerana tiadanya pengulangan, jadi tiada apa yang menjadi tabiat. Inilah firman Allah mengenai golongan (yang berpegang pada) tabiat, "(sudah tentu tidak), tetapi mereka dalam keraguan, tentang kejadian yang baru" (Q 50:15). Dia berkata: mereka tidak mengetahui pada setiap kerdipan mata mereka adalah dalam penciptaan yang baru, yakni apa yang mereka lihat pada kerdipan yang pertama adalah tidak bersamaan dengan apa yang mereka lihat pada kerdipan yang kedua, oleh itu mereka meraguinya.
[Fusus:Mengenai penciptaan dalam tempoh kerdipan mata, sedara-sedari boleh dapati dengan banyak dalam kisah Syeikh Abdul Qadir al-Jilani. Salah satunya ialah kisah ketika Syeikh Abdul Qadir sedang menagmbil wuduk di Baghdad, beliau berhenti dari berwuduk, dengan marah mengambil terompah beliau dan dibaling ke udara. Orang ramai yang melihat tidak nampak terompah jatuh semula. Sedangkan terompah tersebut mengenai kepala seorang lelaki yang berada beribu batu dari Baghdad yang cuba untuk memperkosa seorang gadis muda yang merupakan murid Syeikh lalu membunuh lelaki tadi. Syeikh Ibn ‘Arabi pula menyatakan, ini merupakan salah satu daripada enam fasal yang dihuraikan oleh Dhu al-Nun al-Misri, sementara di dalam Futuhat Syeikh menukilkan kisah Jauhari bagi menjelaskan keadaan ini dan dalam kitab Fusus al-Hikam Syeikh menyatakan….
"Akan hal kelebihan manusia mengatasi jin (ifrit) mengenai rahsia sifat dan keistimewaan fitrah benda-benda, dapat diketahui melalui ukuran masa, kerana “pandangan mata” adalah lebih cepat daripada perlakuan bangun daripada duduk (Berkata 'Ifrit daripada (golongan) jin: "Aku akan datangkan kepada engkau singgahsana itu sebelum engkau berdiri daripada tempat duduk engkau. Dan sesungguhnya aku atasnya (membawa singgahsana itu), benar-benar kuat lagi boleh dipercayai Q 27:39) (Berkata orang  di sisinya yang ada ilmu dari Kitab: Saya boleh membawanya kepadamu dalam sekelip mata – Q 27:40) , pergerakan mata dalam menanggap benda adalah lebih pantas daripada bergeraknya jasad daripada tempat diamnya. Ini kerana masa yang diambil untuk nampak adalah sama dengan ketika jatuhnya pandangan pada benda, tidak kira apa jua jarak antara yang melihat dengan yang dilihat, kerana ia mengambil masa tidak lebih daripada masa bukaan mata untuk jatuhnya pandangan hatta bagi melihat bintang yang jauh, sebagaimana tertutupnya mata tidak lebih daripada masa hilangnya pandangan (pada benda yang dilihat). Berdirinya seseorang adalah tidak sama dan tidaklah sepantas. Demikian Asaf Ibn Barkhiyah membuktikan lebih baik daripada Ifrit, kerana pengucapan dan perlakuannya mengambil masa hanya satu detik. Pada ketika itu Sulaiman a.s. menyaksikan dengan mata Baginda singgahsana Balqis tertonggok di hadapan Baginda.

Fusus: Sedetik khayal akal takkan sama sedetik penciptaan dan kejadian baru. Munculnya singgahsana adalah bersamaan dengan ketika hilangnya singgahsana. Sebagaimana hilangnya terompah bersamaan dengan ketika munculnya terompah . Tetapi mereka dalam keraguan, tentang kejadian yang baru” (Q 50:15) ]
Tiada pengulangan semula, oleh itu tiadanya “mencarik adat”. Demikianlah bagaimana al-muhaqqiqun di kalangan ahlillah menanggap hal ini, dan tiada yang lain melainkan sebagaimana yang telah kami nyatakan. Selanjutnya, melalui semua ini penciptaan adalah berterusan dan selamanya dalam keadaan faqir, dan al-Haq merupakan Pencipta dan Pengekal wujud kerana wujud ini berterusan (faqir), kerana penciptaan yang baru yang Dia keluarkan kepada wujud antaranya supaya dengan itu ia (penciptaan) kekal berterusan (faqir).




Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Alam al-Amthal, Pecahan Diri, Dan Ubahan Bentuk Diri (3)

Friday, October 22, 2010


[Fusus : Ditambah sedikit dari manakib Syeikh Abdul Qadir Jilani : Suatu hari syeikh dan sebahagian murid beliau melalui sebuah padang pasir sambil berjalan kaki. Ianya berlaku dalam bulan Ramadhan dan padang pasir tersebut begitu panas. Syeikh bercerita: “Aku begitu letih dan haus. Murid-murid ku berjalan di hadapan ku. Tiba-tiba awan muncul di atas kami, umpama payung yang melindungi kami daripada panas mentari. Di hadapan kami muncul mata air yang memancar dan pohon tamar dengan buah yang masak. Akhirnya muncul cahaya, lebih terang daripada mentari dan berada tidak jauh daripada semua tadi. Suara terbit daripada arah nya (cahaya tadi) dan bekata “Wahai orang Abdul Qadir, akulah Rab mu! Makan dan minumlah kerana aku telah menjadikan halal bagi kamu apa yang aku haramkan bagi yang lain!” Murid-murid ku yang berada di hadapan ku, berkejar ke mata air untuk minum, dan ke pohon tamar untuk makan. Aku bertempik supaya berhenti, dan mengangkat kepala ke arah suara tersebut dan berkata dengan suara yang keras, “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam!”

Awan, cahaya, mata air yang memancar dan pohon tamar semuanya hilang. Iblis berdiri di hadapan kami semua dengan rupa yang hodoh. Dia berkata, “Bagaimana kamu tahu bahawa itu adalah aku?” Aku memberitahu kepada dia yang dilaknat yang terlempar jauh dari rahmat Allah bahawa Allah bukanlah suara yang didengar dengan telinga, tidak jua suara yang terbit dari luar. Selanjutnya aku mengetahui syariat Allah adalah kekal dan takluk atas semua. Dia tidak akan merubahnya, atau menukarkan apa yang haram menjadi halal kepada seseorang yang dia cintai.

Mendengar ini, iblis mencuba helahnya yang terakhir iaitu menimbulkan megah. Wahai Abdul Qadir, dia berkata “Aku telah memperdayakan tujuh puluh orang Nabi dengan helah ini. Ilmu mu adalah luas, hikmahmu adalah lebih besar daripada Rasul!” kemudian sambil menuding kearah murid-murid ku dia berlalu sambil berkata. “Adakah si tolol yang sebanyak ini yang menjadi pengikut mu? Seluruh dunia seharusnya mengikuti mu, kerana kamu adalah setara Rasul!” Aku berkata “Aku berlindung dari engkau dengan Rab yang Maha mendengar dan Maha mengetahui – kerana ianya bukan ilmu ku, tidak jua hikmah ku, yang menyelamatkan daku daripada kamu, tetapi rahmat daripada Rab ku!”]

Dia yang mengenali suara tidak akan menderita keliru dengan bentuk, tetapi amat sedikit yang mengenalpasti mereka. Oleh itu, manusia selalu tertipu akan kebenaran apa yang terzahir dari bentuk-bentuk tadi

[Fusus: Sambungan dari Futuhat].

Demikian ada sesuatu yang dikuasai oleh manusia yang tidak dikuasai oleh (makhluq) alam ghaib. Kerana ianya takluk pada keupayaan manusia merujuk kepada rohnya untuk muncul pada alam zahir dalam bentuk mithal selain daripada bentuk asalnya. Demikian manusia zahir sebagaimana kehendaknya, dalam apa jua bentuk anak Adam seperti dirinya atau dalam bentuk yang lain. Perkara ini berlaku di kalangan syeikh-syeikh.

Aku pernah membincangkan perkara ini dengan salah seorang syeikh yang mengikuti tariq Allah yang pada pandanganku seorang yang terpercaya dan jujur. Beliau berkata kepada ku: “Aku akan kisahkan apa yang aku saksikan bagi mengesahkan kata-kata mu”. Aku merupakan teman seorang syeikh yang memiliki maqam ini, sekalipun aku tidak menyedarinya. Aku diminta untuk menemaninya dalam musafir daripada Baghdad ke Mosul dalam satu pedati jemaah haji yang baru pulang. Syeikh berkata kepada ku,”Jika kau ditakdirkan untuk ikut serta, jangan pedulikan aku pada makan dan minum, tetapi tunggulah sehingga aku maklumkan pada mu. Aku pun berjanji padanya. Beliau seorang tua, oleh itu beliau menaiki pedati yang di tengah, sementara aku berjalan di belakangnya supaya beliau tidak berhadapan dengan keperluan kepada ku”.

“Kemudian syeikh jatuh sakit dan lemah di sebabkan oleh diarrhea. Ini sangat menyukarkan aku. Tetapi beliau tidak mengambil sebarang ubat yang dapat menghentikan sakit dan memberikan kerehatan kepada dirinya. Aku berkata kepada beliau,”Tuan, benarkan aku pergi menjumpai sipolan yang merupakan ketua pusat kesihatan Sinjar dan mengambil darinya ubat”. Syeikh memandang kepada ku seolah-olah aku tidak berpuashati dan berkata kepada ku,”tetaplah pada janji mu!” dan tidak menjawab permintaan ku.

Kesihatan Syeikh semakin buruk dan aku tidak mampu lagi untuk berdiam diri. Pedati berhenti pada waktu malam, unggun akan dinyalakan, dan orang ramai menjadikannya sebagai panduan untuk melalui jalan Sinjar. Ketua pusat perubatan merupakan seorang yang berkulit gelap dan orang ramai terpaksa menunggunya. Mereka yang sakit menemuinya untuk mendapatkan ubat. Aku berkata,”Tuan, tenangkanlah hatiku dan permudahkanlah daku dengan mengarahkan ku membawa pulang ubat untukmu daripada lelaki itu”. Syeikh tersenyum dan berkata kepadaku. ”Pergilah kepadanya”.

Aku pun pergi menemuinya, dan dia tidak pernah mengenaliku sebelum ini, tidak juga aku berkedudukan yang dapat menjadikan dia mementingkan diriku. Jadi aku berjalan menuju kepadanya, takut-takut dia akan menolak dan menyisihkan aku di sebabkan kesibukannya. Aku berdiri di hadapannya di kalangan orang ramai. Apabila pandangannya jatuh kepada ku, dia berdiri menghormati ku dan menjemput aku duduk. Dia menyambut ku dengan gembira, mesra serta bertanyakan keperluan ku. Aku memberitahunya mengenai keadaan Syeikh dan kesihatannya. Dia meminta pembantunya mendapatkan ubat yang terbaik. Dia meminta izin beredar sambil berkata, “Saya keletihan, dan tidak kah kamu juga dihantar kepadaku dalam keadaan sedemikian? Aku bangun untuk meninggalkan khemah dan dia juga berdiri tanda hormat dan meminta pembawa jamong mendahuluiku. Aku ucapkan selamat kepadanya setelah ia berjalan beberapa langkah bersaman ku, dan dia mengarahkan pembawa jamong untuk berjalan dihadapanku buat menyuluh jalan. Aku berkata kepadanya tidak perlulah sampai sebegitu, takut Syeikh mendapati hal ini melampaui batas. Jadi pembawa jamong pun pulang. Aku kembali dan mendapati Syeikh berada dalam keadaan yang sama sepertimana ketika aku tinggalkan beliau. Dia bertanyakan ku apa yang telah aku lakukan. Aku menjawab,” Melalui berkat mu dia memuliakan aku, sekalipun tidak pernah mengenaliku, tidak jua aku mengenalinya: Aku terangkan dengan terperinci apa yang berlaku. Syeikh tersenyum dan berkata “wahai Hamid, aku memuliakan kamu. Tanpa ragu bukanlah al-makhsi (sida-sida) itu yang memuliakan mu. Aku dapati kamu begitu mengambil berat akan daku disebabkan oleh sakit ku dan aku berkehendak meringankan fikiran mu. Oleh itu aku arahkan kau menemuinya, tetapi aku khuatir dia tidak akan mempedulikan kamu dan menolak permintaan mu, sebagaimana dia lakukan kepada orang lain, dan kamu akan pulang dengan hampa. Oleh itu aku pisahkan (tajarrud) diriku daripada jasadku (haykal) dan muncul dihadapan mu dalam bentuk dirinya melalui mithal. Aku muliakan kamu dan menghormati mu dan lakukan apa yang kamu telah lihat tadi sehinggalah kamu beredar pergi. Ini ubat kamu, yang tidak akan aku gunakan.

Aku melopong. Dia berkata kepadaku,”Jangan terburu-buru (mempercayai nya) –
[Fusus: Ini menunjukkan sikap Syeikh-syeikh yang tidak menolak untuk dibuktikan].
Pergi kembali kepadanya dan lihat apa yang akan dia lakukan terhadap mu”. Oleh itu aku kembali kepadanya dan menyapanya, tetapi dia tidak mempedulikan aku dan menolak untuk berjumpa dengan ku. Aku pun berlalu dalam keadaan tertanya-tanya. Aku kembali kepada Syeikh dan memberitahu beliau apa yang berlaku. Syeikh berkata, “Bukankah sudah aku katakan? Aku menjawab “Sungguh menakjubkan! Bagaimana tuan tukarkan diri tuan menjadi sida-sida yang hitam? Beliau menjawab, “keadaannya adalah sepertimana yang telah engkau lihat”. Kisah sebegini mengenai Syeikh-syeikh terdapat dalam jumlah yang banyak.

Ianya seakan-akan al-ilm al-simiya’
[Fusus – Ibn ‘Arabi berpendapat simiya’ terbit daripada perkataan arab ‘sima’ bermakna symbol/tanda. Suatu ilmu yang dengannya pengamal mampu menampakkan seolah-olah karamat atau perlakuan luarbiasa terjadi. Ibn ‘Arabi berkata “ dalam lain perkataan, ianya suatu simbol/tanda yang terhasil daripada tindakbalas yang terbit daripada mencantumkan huruf-huruf dan nama-nama dan perkataan-perkataan ( yang tak difahami dan berunsur pemujaan) Syeikh mengambil contoh simiya’ iaitu sihir yang dibuat oleh ahli sihir Firaun yang mampu menyilap mata orang ramai dan menjadikan orang-orang itu merasa gerun, serta mereka melakukan sihir yang besar (keadaan dan caranya). (Q 7:116) dan mampu manjadikan Musa a.s terkhayal, dengan sihir mereka, tiba-tiba tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka terkhayal kepadanya seolah-olah benda-benda berjalan, disebabkan sihir mereka bahawa tali dan tongkat mereka menjalar (Q 20:66) Ibn ‘Arabi juga menyatakan bahawa jin memberikan sesetengah orang ilmu khasiat tumbuhan, batu, nama, dan huruf – inilah ilmu simiya’ (berbeza dengan al-ilm al-huruf yang dihuraikan oleh Dhu al-Nun al-Misri, al-Hakim al-Tirmidzi, dan Ibn ‘Arabi sendiri)]

[Fusus: Mari kita teliti perbezaan antara simiya’ dengan karamat. Istilah apa pun yang digunakan samada khayal atau karamat yang penting adalah ciri-cirinya jika sesuatu perlakuan itu di istilahkan karamat tetapi bercirikan khayal maka ia tetap khayal. Begitulah juga jika sesuatu perlakuan itu diistilahkan khayal tetapi bercirikan karamat maka ianya bukanlah simiya’. Perbezaannya ialah:]

Perbezaan antara kami dalam maqam ini dan ilmu simiya’ ialah, apabila kamu makan sesuatu melalui simiya’, kamu memang memakannya (pada khayal), tetapi kamu tidak merasa kenyang. Apa yang kamu ambil untuk dirimu melalui ilmu simiya’ ini hanya berlaku dalam penglihatan kamu sahaja. Kemudian apabila kamu mencarinya, kamu tidak akan mendapatinya ada. Pengamal ilmu ini menunjukkan yang kamu memasuki bilik air dan mandi, tetapi apabila kamu ‘kembali pada diri kamu’ kamu tidak akan dapati sebarang kenyataan akan perkara tersebut (apa yang dia tunjukkan pada kamu). Sebaliknya, apa yang kamu lihat melalui cara simiya’ adalah sepertimana orang yang berkhayal nampak; apabila tersedar, dia mendapati tiada nyata apa yang dia lihat. Pengamal simiya’ memiliki kekuasaan dan kawalan atas khayal kamu melalui sifat-sifat khusus nama-nama, atau huruf-huruf, atau qalfatirat (tangkal, azimat), kerana simiya’ mempunyai pelbagai jenis, yang paling kejam adalah qalfatirat dan yang paling halus adalah pengucapan kata-kata yang melaluinya dia mengalih penglihatan pendengar dari alam deria dan menukarnya kepada khayal dirinya, jadi pendengar akan melihat apa yang dilihat oleh orang yang bermimpi, sekalipun ia jaga.

Tetapi maqam yang kami maksudkan bukanlah begitu, kerana jika kamu makan, kamu akan kenyang, dan jika kamu menerima sesuatu pada maqam ini seperti emas atau pakaian atau apa jua, ianya kekal disisi mu sepertimana keadaan asal nya tanpa berubah. Kami telah memperolehi maqam ini pada diri kami, kami merasai nya melalui dhawq pada permulaan suluk kami.

Ini menjelaskan jawapan Rasulullah s.a.w. apabila Baginda melarang berpuasa pada malam hari di bulan ramadhan  dan dikatakan kepada Baginda, “Tetapi Tuan berpuasa sepanjang malam?” : Aku tidak memiliki keadaan seperti kamu kerana aku ada pemberi makan yang memberi makan kepada ku dan pemberi minum yang memberi minum kepada ku”, atau mengikut riwayat yang lain, “Rab memberi makan dan memberi aku minum”.

[ Fusus : Hadis penuh dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim dan diriwayatkan pula oleh Ahmad, adalah seperti berikut ; Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. katanya: Nabi s.a.w. telah melarang dari menyambung puasa. Sahabat bertanya: Bukankah kamu sendiri melakukan puasa seperti itu?. Nabi s.a.w. menjawab: Aku tidak seperti kamu. Aku diberi makan dan minum oleh Allah. Atau mengikut riwayat yang lain oleh Rab]

Kumpulan sahabat yang baginda s.a.w. berikan jawapan kepada mereka ketika itu, tiada seorang pun yang mencapai maqam ini, kerana itu baginda s.a.w tidak katakan, “Aku tidak seperti semua orang”. Oleh itu apabila baginda s.a.w makan, baginda kenyang dan meneruskan puasa, kerana makan tersebut berlaku tidak secara nyata dan bukannya dari pandangan deria, dengan itu baginda dapat berpuasa sepanjang malam.

[ Fusus :Petikan berikut merupakan sebahagian daripada kisah dalam kitab Roh al-Quds. Saya tambahkan sebagai rujukan silang, untuk membezakan karamat dengan khayal simiya’]

Abu Muhammad ‘Abdallah, anak Syeikh al-Mawruri: ….oleh itu, apabila Abu Muhammad tiba, orang ramai pun berkumpul di rumah untuk menemui beliau dan sebuah meja terhidang dengan makanan yang terdiri daripada dadih dan madu. Anak tuan rumah bagaimanapun, telah keluar sejak awal pagi ke kampung bersebelahan dan dia menyampaikan salam kepada kami dan menyatakan yang ia tidak dapat ikut serta makan bersama kami.

Selepas Syeikh dan semua yang hadir selesai memakan bahagian masing-masing, Abu Muhammad berkata, “Jika kamu suka, aku akan makan untuknya (anak tuan rumah) di sini dan dia akan kekenyangan walau di mana pun dia”. Apabila mereka mendengarkan ini mereka nampak ragu akan kemungkinan perkara sebegitu berlaku, oleh itu Abu Marwan mengalu-alukan dan meminta supaya Syeikh meneruskannya dan lakukan apa yang beliau telah janjikan. Selepas menyebut nama Allah, beliau pun makan seolah-olah beliau tidak merasa apa-apa. Setelah selesai beliau berkata, “Sahabat kita sekarang kekenyangan, jika dia makan lagi, dia akan mati”. Orang ramai merasa kagum dan enggan pulang sehinggalah anak tuan rumah kembali.

Lewat petang dia pun pulang, dan selepas disambut kepulangannya, mereka sedar yang dia masih lagi mempunyai bekal yang dia bawa bersamanya pagi tadi. Kemudian dia menjelaskan: “Saudara ku, suatu perkara yang pelik berlaku keatas ku hari ini. Apabila aku tiba ke tempat yang di tuju dan duduk, aku tiba-tiba merasa dadih dan madu dimasukkan ke dalam tekakku dan memenuhi perut ku sehingga aku terlalu kenyang, aku berkemungkinan mati jika aku terus makan lagi. Aku masih lagi kenyang dan sendawa sehingga kini”. Orang ramai gembira kerana dapat bertemu dengan Syeikh.

[ Fusus :Sambung kembali dengan Futuhat]

Kita nampak malaikat Jibrail bermithal sebagai seorang lelaki yang dikenali, seperti pemithalannya dalam rupa Dihya, dan pada ketika yang lain dalam rupa lelaki yang tidak dikenali.

[ Fusus : Hadis adalah seperti berikut ;Dari Aisyah r.a. bahawasanya Harits bin Hisyam bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: Wahai Rasulullah bagaimanakah datangnya wahyu kepada tuan? Rasulullah s.a.w. menjawab:….kadang –kadang malaikat bermithal (yatamaththalu liyal malaku rajulan) sebagai seorang lelaki datang kepada ku lalu ia berbicara kepada ku maka saya hafal apa yang dikatanya” – hingga akhir hadis – Sahih Bukhari ]

Tetapi tidak sampai riwayat pada kita yang dia bermithal dalam alam ghaib dikalangan malaikat-malaikat dalam rupa malaikat yang lain. Oleh itu Jibrail tidak menjelma di kalangan malaikat di alam ghaib sebagai Mikail atau Israfil. Dengan itu Allah mengkhabarkan bahawa Jibrail berkata, “Tiada (seorang pun) antara kami (malaikat) melainkan mempunyai kedudukan yang termaklum (tertentu)” (Q 37:164)  dan kami melihat manusia memiliki kemampuan menanggap rupa mithal, oleh itu seseorang boleh menjelma di kalangan manusia dalam rupa orang lain, selain rupanya. Demikian Zayd menjelma dalam rupa ‘Amir. Tetapi malaikat tidak memiliki kemampuan ini di alam ghaib.

[Fusus : Syeikh Ibn ‘Arabi di bahagian yang lain dalam Futuhat  menambah huraian tentang karamat dan simiya’]

Bahagian yang terhampir bagi keupayaan ini dicapai oleh ahli sihir iaitu, golongan yang difirmankan oleh Allah, dia, yakni Musa terkhayal disebabkan oleh sihir mereka bahawa (tali-tali dan tongkat-tongkat) sedang menjalar (Q 20:66), tetapi tiada yang menjalar pada hakikatnya, sekalipun mereka (tali dan tongkat) menjalar pada pandangan Musa dan semua yang hadir – kecuali ahli sihir, yang melihat mereka sebagai tali dan tongkat. Jika seseorang yang baru (yang tidak mengikuti kejadian dari mula) masuk, dia akan Nampak tali dan tongkat sebagaimana ahli sihir melihat mereka.

Ini berbeza dengan keadaan bagi yang memiliki ‘niyaba’ keatas ke atas alam al-amthal dan hadratnya – seseorang yang seperti Musa a.s. – kerana dia tidak melihat ma’na yang menjasad sebagai jisim jasad sepertimana yang dijasadkan oleh ahli sihir. Sebaliknya, dia melihatnya sebagai ma’na. Ini hanyalah kerana ahli sihir tiada kekuasaan. Tiada suatu pun antara ahli sihir dan ahli niyaba ini, seumpama Musa, melainkan hakikatnya al-Haq menjadikan Musa naibNya, dan dia mengambil DIA sebagai wakilnya. Kemudian Musa ilqa’ tongkatnya (Q 26:45) berasaskan perintah al-Haq, yakni arahanNya yang dia ambil sebagai wakil.

Allah berfirman kepada Musa, ilqa’ tongkat mu (Q 7:117) dan dia melihatnya sebagai ular (ada khabar mengatakan naga), sehingga dia menjadi takut. Allah merakamkan mengenai ahli sihir bahawa mereka melemparkan tali dan tongkat mereka (Q 26:44 – bi’izzati fir’aun), tetapi bukannya atas perintah Ilahiyyah. Sebaliknya mereka lakukan berasaskan sifat-sifat nama-nama yang tertentu yang mengambil sifat menjadikan mata orang yang melihat Nampak apa yang dikehendaki oleh ahli sihir untuk zahir. Melalui nama-nama tersebut mereka memiliki pengubahan penglihatan, bukannya pengubahan objek yang dilihat. Melalui perintah Ilahiyyah, objek yang kelihatan akan berubah, dan penglihatan akan mengikutinya (ikut nampak).

Demikianlah, halnya dengan ‘naib’, bukanlah penglihatan yang berubah. Perlakuan dalam penglihatan dan apa yang dilihat berlaku hanya selepas ilqa’. Apabila benda di ilqa’, Allah berperanan untuk mengubah objek yang dilihat – dalam halnya naib, dan untuk mengubah peglihatan (objek tidak diubah) bagi dia yang bukan naib (ahli simiya’) dan yang memiliki pengetahuan tentang nama-nama tersebut, iaitu simiya’ yakni alamat ke atas apa yang zahir pada mata mereka yang melihat.

[Fusus : Bersambung InsyaAllah dengan bahagian akhir]


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Alam al-Amthal, Pecahan Diri, Dan Ubahan Bentuk Diri (2)

Friday, October 15, 2010

Apabila jin melakukan hubungan kelamin, mereka mengambil bentuk berbelit / berpilin (iltiwa’), seumpama asap yang keluar dari serombong atau tempat pembakaran tembikar. Setiap satu antara mereka meresap ke dalam pasangannya, dan kedua-duanya mendapat nikmat daripada peresapan tadi. Penciptaan baru berlaku melalui pancaran hawa (ilqa’ al-hawa’), sepertimana manusia melalui pancaran air. Apa yang mereka pancarkan adalah seperti debunga kurma, yang berterbangan hanya dengan hembusan angin sepoi-sepoi.
Makanan bagi jin adalah aroma daripada tulang. Ibn ‘Arabi memetik dua hadis dan satu khabar daripada ahli al-kashf, yang mengkhabarkan kepada beliau bahawa dia nampak sesetengah jin mendapatkan tulang dan menghidunya, seperti haiwan liar. Kemudian mereka pergi setelah kenyang. Ini membantu untuk membezakan mereka daripada malaikat yang tidak makan, sebagaimana kisah Nabi Ibrahim dan tetamu Baginda (Q: 11:70 Maka tatkala dilihatnya tangan mereka tidak menjamahnya, Ibrahim memandang aneh perbuatan mereka, dan merasa takut kepada mereka. Malaikat itu berkata: “Jangan kamu takut, sesungguhnya kami adalah (malaikat-malaikat) yang diutus kepada kaum Luth”).
Iblis mempunyai banyak puak, sekalipun asasnya dikatakan ada dua belas puak, yang kemudiannya dipecahkan lagi. Peperangan yang dahsyat berlaku di kalangan mereka, dan sebahagian, bukan semua taufan dan angin puting beliung adalah hasil dari peperangan mereka. Suatu kisah yang masyur dan seringkali diceritakan iaitu kisah ‘Amr al-Jinni, yang muncul selepas luka dalam angin ribut yang merupakan peperangan di kalangan jin.
Ibn ‘Arabi ada menyatakan satu hadis gharib: “Aku ada menerima satu hadis gharib terbit daripada salah seorang dari kelompok jin. Diriwayatkan kepada ku oleh seorang buta, Ibrahim Ibn Sulayman di Aleppo. Dia berasal dari Dayr al-Ruman salah satu daerah bagi Kharbur. Dia memperolehi nya daripada seorang yang dipercayai, seorang pemotong kayu, yang telah membunuh seekor ular. Dia kemudiannya dicolek oleh jin, yang membawanya kehadapan seorang syeikh yang sangat tua, iaitu ketua kumpulan jin itu.
Mereka berkata, “ Lelaki ini telah membunuh anak pakcik kami”. Tukang kayu menjawab; “Aku tidak tahu apa yang kamu maksudkan. Aku hanyalah si pemotong kayu, dan seekor ular datang mengganggu ku, jadi aku bunuh ia”. Kumpulan tersebut berkata, “Itu anak pakcik kami”. Kemudian syeikh tersebut - semoga Allah merahmatinya - berkata, “Lepaskan dia dan kembalikan ketempatnya. Kamu tidak boleh berbuat apa-apa terhadapnya, kerana aku mendengar Rasulullah bersabda, ketika berkata kepada kami, “Dia yang mengambil rupa selain daripada rupanya dan dibunuh tidak punya akal, dan tiadalah pembalasan untuknya”. Anak pakcik kamu mengambil rupa ular, yang merupakan salah satu musuh manusia”.
Tukang kayu berkata, “Aku bertanya kepadanya, Tuan, aku dapati kamu berkata yang kamu mendengar sabda Rasulullah. Adakah kamu bertemu dengan Baginda?” Dia menjawab, “Ya, aku salah seorang daripada jin Nasibin yang menghadap Rasulullah. Jadi kami mendengar dari Baginda. Tetapi hanya aku yang tinggal daripada kumpulan itu. Aku berhukum dikalangan kaum ku berdasarkan apa yang aku dengar daripada Rasulullah”. Tetapi periwayat tidak menyatakan nama syeikh jin tersebut, tidak pula aku bertanya kepadanya.
Fusus (penulis): Ibn ‘Arabi juga menjelaskan beberapa mara bahaya yang didatangkan oleh jin kepada salik yang melalui tariq Allah. Yang terendah di kalangan mereka ialah yang duduk-duduk bersama jin lalu mengundang bahaya:
Sebahagian di antara mereka menjadi sahabat (julasa’) di kalangan jin, tetapi ini merupakan kumpulan yang terendah pada martabat. Alasannya ialah jin adalah begitu hampir kepada  manusia pada campurtangan. Orang yang bijaksana akan berlepas diri dari jin sebagaimana mereka berlepas diri dari manusia, kerana duduk-duduk bersama mereka adalah sangat keji; sangat sedikit yang mendapat manfaat daripadanya. Ini kerana asal mereka daripada api, dan api mempunyai pergerakan yang cepat. Sesiapa yang mempunyai pergerakan yang cepat adalah segera untuk campurtangan dalam semua perkara. Demikian sebagai sahabat mereka lebih menjadi fitnah kepada manusia, kerana mereka boleh berada di antara manusia untuk membuka aib yang seharusnya orang yang ‘arif mengelak.
Selanjutnya, jika seseorang duduk bersama manusia, ini tidak meninggalkan kesan angkuh padanya, di sebalik bersahabat dengan jin. Fitrahnya mereka (jin) meninggalkan kesan keangkuhan kepada sahabatnya, manusia , dan setiap hamba Allah. Jika mana-mana hamba Allah dangan angkuhnya melihat dirinya lebih hebat dari yang lain, Allah membencinya sedangkan dia tidak sedar....dia menyangka bahawa dia telah mencapai sesuatu, sedangkan dia sebenarnya kehilangan.
Ketahuilah juga jin merupakan makhluk yang paling angkuh. Mereka menceritakan kepada sahabat mereka perkara-perkara yang bakal berlaku dan kejadian dalam alam, dan mereka memperolehi ini dengan cara mengintip di langit. Kemudian salik akan mengkhayalkan kejadian-kejadian, dan dia menyangka Allah memuliakannya, tetapi dia seharusnya berhati-hati akan sangkaannya itu! Inilah kenapa kamu tidak akan melihat sahabat jin yang mencapai pengetahuan akan Allah (ilm al-Ilahi) apa pun jua.
Tahap tertinggi seseorang itu boleh dapati dari jin adalah pengetahuan tentang sifat-sifat tumbuhan, batuan, nama-nama dan huruf-huruf. Inilah ‘Ilm al-Simiya’ [Fusus: berbeza dengan ‘Ilm al-Huruf yang berteraskan tauhid dan menuntun kepada ma’rifah yang dibahaskan oleh al-Hakim al-Tirmidzi, Dzu al-Nun al-Misri dan Ibn ‘Arabi] – inilah ilmu yang dimiliki oleh ahli sihir Firaun. Demikian kita tidak akan memperolehi apa-apa daripada mereka melainkan ilmu yang dipersalahkan oleh lidah syariat. Oleh itu jika seseorang mendakwa bersahabat dengan mereka – dan jika dia berkata benar pada dakwaannya – tanyalah dia soalan mengenai al-‘ilm al-Ilahi. Kamu akan dapati yang dia tidak memiliki dhawq akannya barang sedikit pun.
Ahlillah berlepas diri daripada bersahabat dengan jin lebih daripada bersahabat dengan manusia, kerana menjadi sahabat jin tidak, melainkan membawa kedalam jiwa orang yang bersahabat itu angkuh kepada yang lain pada tabiatnya (bil-tab’) dan memandang hina pada sesiapa yang tidak sekumpulan dengannya.
Aku pernah melihat suatu golongan yang benar-benar bersahabat dengan jin dan menzahirkan kesahihan persahabatan yang mereka dakwa. Mereka semuanya adalah golongan yang tekun, berusaha, dan beribadah, tetapi pada peribadinya mereka tidak memiliki sedikit pun Ilm al-Ilahi. Aku lihat mereka bersikap menyanjung diri dan angkuh. Aku tidak tinggalkan mereka sehinggalah aku berada diantara mereka dan persahabatan mereka dengan jin, kerana mereka ini mencari kebaikan dan adil dalam pertimbangan (supaya mereka meninggalkan persahabatan dengan jin). Tetapi aku juga pernah menemui mereka yang tidak sebegitu (yakni degil). Oleh itu dia yang berkata benar dalam dakwaannya memiliki sifat ini tidak berjaya, tidak juga dia akan berjaya. Bagi dia yang menipu (memiliki persahabatan ini) kami tidak risau akan dirinya.
Fusus (Penulis): Melanjutkan lagi tipu daya jin pada salik. Ibn ‘Arabi menerangkan tentang salah satu daripada beberapa kaedah yang digunakan oleh sesetengah orang untuk memanipulasi khayal yang mana sebenar-benarnya bersamaan dengan apa yang dilakukan oleh jin. Kaedahnya seperti berikut:-
....kaedah yang lain ialah seseorang itu menjadikan udara disekelilingnya mengambil rupa dengan sebarang rupa yang ia kehendaki, sedangkan dia kekal berada di bahagian dalam bentuk rupa (yang dia bentuk daripada udara). Demikian pandangan jatuh pada rupa udara tadi yang dibentuk dalam rupa yang dikehendakinya untuk zahir. Bagaimanapun jika bentuk itu berkata-kata, ini hanya akan berlaku melalui lidah yang dikenalpasti oleh orang yang melihat (yakni lidah orang yang berada dalam lingkungan udara yang dibentuk tadi). Dia akan mendengar bunyi dan mengenalinya, tetapi dia melihat rupa yang tidak dikenalinya. Seseorang yang memiliki ilmu ini tidak dapat mengubah suaranya sendiri.
Kekuasaan jin keatas mereka yang mengenali jin adalah sepertimana tadi, kerana mereka zahir dalam apa jua bentuk yang mereka mahu, tetapi suaranya tetap suara jin. Mereka tidak punya kekuasaan ke atas sesuatu yang lain. Dia yang tidak mengetahui sebanyak ini tentang jin tidak mengetahui apa-apa.
Ada sesetengah orang yang fikirannya dipermainkan jin. Mereka menjadikan mata mereka mengkhayalkan rupa bentuk, sepertimana ahli sihir (di zaman Musa a.s), membuatkan orang berkhayal yang mereka melihat tali dalam bentuk ular yang menjalar. Orang yang sebegini mengira bahawa mereka melihat jin, sedangkan ianya bukan jin. Bentuk yang mereka khayalkan berkata-kata dengan mereka, sedangkan bentuk tidak berkata-kata, berbeza dengan jin apabila mereka tajassud (mengambil bentuk jasad). Mereka dikalangan ‘Arifin yang mengenali suara bagi setiap puak (jin) akan mengenali apa yang mereka  nampak dan tidak akan dikuasai oleh kekeliruan (talbis) dengan apa yang mereka nampak.
Aku mengenali sekumpulan Ahlillah di Andalusia yang biasa melihat jin samada mereka mengambil rupa bentuk atau pun tidak. Di antaranya ialah Fatima bint Ibn al-Muthanna’ (Mungkin Syeikh Qolbu akan siarkan dalam siri Roh al-Quds di blog nya. Sama-sama kita tunggu)  dari Cordova, yang mengenali mereka tanpa ragu.
Di bandar Fez, aku melihat sekumpulan yang mata mereka dijadikan oleh jin mengkhayalkan melihat rupa. Rupa tersebut akan mengarah mereka sebagaimana yang mereka mahu untuk mempersonakan mereka, sekalipun bentuk tersebut bukannya jin, tidak juga mereka adalah jin yang mengambil bentuk. Diantara mereka ialah Abu’l – ‘Abbas al-Zaqqaq di Fez. Keseluruhan perkara adalah kekeliruan baginya. Dia dijadikan berkhayal bahawa jin memberi arahan kepadanya dan dia diyakini oleh keadaan tersebut.
Alasan bagi perkara ini ialah kejahilannya mengenalpasti suara mereka. Apabila dia duduk bersama ku dan hadir dalam majlisku, dia akan menjadi kebingungan. Kemudian dia akan memperincikan apa yang dia lihat, dengan itu aku tahu yang dia telah dibuat (oleh jin) untuk mengkhayalkan benda-benda. Disini dia mencapai keadaan dipermainkan, persahabatan, dan perbualan. Ada ketika wujud pertengkaran dan permusuhan antara dia dan apa yang dia nampak. Jin akan menyusahkannya dengan suatu cara dan dia akan mengkhayalkan kesusahan tersebut terbitnya daripada bentuk-bentuk tadi. Dia telah sepenuhnya dikuasai oleh keadaan ini – semoga Allah mengasihaninya! Abul – ‘Abbas al-Dahlan dan kesemua sahabat ku biasa menyaksikan keadaan yang sebegini berlaku padanya.
Dia yang mengenali suara tidak akan menderita keliru dengan bentuk, tetapi amat sedikit yang mengenalpasti mereka. Oleh itu, manusia selalu tertipu akan kebenaran apa yang terzahir dari bentuk-bentuk tadi.
Saya rasa untuk tajuk ini tidak perlulah diperjelaskan tentang pembahagian khayal / jenis-jenis khayal, mungkin ditajuk yang lain yang khusus untuk pembahagian khayal sahaja (wa ma tashauna illa ayyasha Allahurabbul 'alamin). Akan bersambung InsyaAllah dengan ciri-ciri karamat yang membezakan dengan simiya'


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Alam al-Amthal, Pecahan Diri, Dan Ubahan Bentuk Diri (1)

Friday, October 8, 2010

Bismillahi hasbiyAllah
Bismillahi wabillah
Bismillahi tawakkaltu’alAllah
Bismillahi saaltuminAllah
Bismillahi walahaulawalaquwwataillabillahil’aliyyil ‘azim
Sollallahu ‘ala Muhammad.
Makluman kali ini hanyalah secara kulit sahaja. Hanya untuk menyatakan kurniaan ilmu dari Allah yang dimiliki oleh golongan yang hampir dengan Allah yang dipetik dari al-Futuhat al-Makiyyah al-Syeikh al-Akhbar Muhyiddin Ibn ‘Arabi. Firman Allah Yusuf : 76; Kami (Allah) tinggikan kedudukan sesiapa yang Kami (Allah) kehendaki. Dan di atas tiap-tiap orang yang berilmu ada (lagi) yang lebih mengetahui.
Allah Ta’ala berfirman: “Sebagaimana Allah menciptakan kamu pada permulaan kejadianmu begitu juga kamu akan kembali kepadanya” (Q. 7:26) dan FirmanNya: “Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui kejadian yang pertama, maka mengapakah kamu tidak mengambil peringatan (daripadanya tentang kejadian yang kedua)? (Q. 56:62). Dia ciptakan kita tanpa sebarang contoh dan kita mengetahuinya. Demikianlah Dia kembalikan kita tanpa sebarang contoh.
Seseorang Itu Boleh Berada Di Tempat Yang Berbeza Pada Waktu Yang Sama
Ketahuilah barangsiapa yang mengetahui ganjaran di akhirat dan hubungan seseorang itu dengannya akan mengetahui penciptaan semula. Adalah tidak mustahil bagi seseorang itu berada di beberapa tempat yang berbeza pada waktu sama sekalipun logik mengambil kira perkara ini sebagai mustahil. Kashf mengesahkan kesahihannya sekalipun ianya mustahil pada logik. Apa yang tidak mustahil Ialah hubungan Ilahiyyah dengan setiap seorang yang solat dan berbual dengan Rab. Manusia diciptakan merujuk kepada hakikatnya yang di atasnya dia akan diciptakan semula di akhirat ‘atas bentuk tersebut’.
Aku tidak pernah temui sesiapapun yang mengkhabarkan mengenai maqam sebegini melainkan Abu Bakr al-Siddiq r.a. mengenai perihal memasuki kesemua lapan pintu syurga pada satu masa yang sama. Mengenai hadis tentang Abu Bakr, al-Bukhari menyatakannya dalam sahih beliau, Abu Hurayra berkata bahawa dia mendengar Rasulullah bersabda: “….dan bagi syurga itu ada lapan pintu. Maka siapa yang termasuk dari orang yang menegakkan solat nescaya ia dipanggil dari pintu solat. Siapa yang termasuk dari orang yang mengerjakan puasa, nescaya ia dipanggil dari pintu puasa, siapa yang termasuk dari orang yang bersedekah, nescaya ia dipanggil dari pintu sedekah. Dan siapa yang termasuk dari orang yang berjihad nescaya ia dipanggil dari pintu jihad” Lalu Abu Bakr r.a. bertanya: “Demi Allah! Tiada atas seseorang pun yang termasuk darurat dari pintu mana ia dipanggil. Adakah seseorang itu dipanggil dari pintu-pintu itu semuanya?” Nabi s.a.w. menjawab: “Ada! Dan aku berharap bahawa adalah engkau dari mereka itu”. (Muttafaq – ‘alaih dirawikan al-Bukhari & Muslim).
Ketika hari akhirat, Allah akan menyeru manusia untuk masuk dengan satu panggilan bagi memasuki syurga. Seseorang itu akan masuk melalui satu pintu, yang lain melalui dua pintu, dan yang lain lagi melalui tiga pintu. Yang paling sempurna dikalangan mereka ialah dia yang masuk melalui lapan pintu kerana anggota badan yang takluk pada kewajipan adalah lapan. Setiap anggota ada gerbang untuknya. Jangan ragu mengenainya dalam ganjaran pada waktu yang sama kerana perbuatan mengandungi perlakuan dan bukan perlakuan, seperti menundukkan pandangan ketika mendengar peringatan amaran, ketika membaca al-Quran, ketika berpuasa, ketika bersedekah, ketika meneliti, ketika menjaga kesucian. Kesemua ini adalah dengan niat hampir kepada Allah Ta’ala.
Setiap pintu mengandungi maqamat, seperti beriman kepada Allah yang mempunyai tujuh puluh cabang. Yang tertinggi ialah “Lailaha illAllah” dan yang terendah ialah membuang duri di jalanan. Tiada yang lebih mudarat daripada menyembah berhala, dan tiada jalan yang lebih utama selain jalan iman. Oleh itu dia tutupkannya dengan cara yang sama sebagaimana dia memulainya, dengan “Lailaha illAllah” Iaitu penafian kepada selain Allah yang mendakwa atau punya dakwaan ketuhanan padanya. Menghilangkan duri dijalanan merupakan penafian bagi bahaya di jalanan. Akhiran bulatan (dawr) bersatu dengan awalnya dan kami cenderung kepada ini. Apa yang terdapat di antara dua ini merupakan lain-lain cabang iman.
Barangsiapa yang tahu apa yang kami katakan akan memasuki kesemua pintu syurga pada masa yang sama. Bentuk yang zahir di akhirat akan membenarkan perkara seumpama ini sebagaimana bentuk kita di dunia ini membolehkan semua cabang iman berada pada satu orang pada masa yang sama. Ini tidaklah mustahil.



Tajuk asal di dalam Futuhat Ibn 'Arabi ialah:
Satu Roh Dapat Mengawal Beberapa Jasad Melalui Karamat

Satu roh dapat mengawal beberapa jasad apabila dikurniakan keupayaan untuk melakukannya. Di dunia ini, itulah (apa yang dipanggil) karamat Auliya Allah, dan di akhirat, pembentukan insan (tersebut) bersepakat dengannya. Qadib al-Ban memiliki keupayaan ini sebagaimana juga Dhu al-Nun al-Misri.

Perkara ini samalah sepertimana cara satu roh mengawal kesemua ahli bagi satu jasad - tangan, kaki, pendengaran, penglihatan, dan seterusnya. Oleh itu sebagaimana jiwa dihukum atas pelakuan anggota badan, samalah juga dengan jasad-jasad (yang berbeza) yang dikawal oleh satu roh. Roh yang satu itu perlu menjawab apa yang dilakukannya. Apa jua yang dilakukan oleh jasad ini adalah sepertimana apa yang dilakukan oleh jasad yang lain; oleh itu hukuman yang lazim bagi perlakuan salah satu jasad adalah juga patut bagi perlakuan jasad yang lain. Sekalipun ianya sama serupa (roh yang satu).

Akan Bersambung InsyaAllah dengan 'Ubahan Bentuk Diri' yang merupakan kebolehan Auliya Allah dan salah satu mu'jizat Nabi Musa a.s. serta perbezaannya dengan Simiya' iaitu ilmu ahli sihir Fir'aun. Sebelum itu elok juga dimulakan dengan menjelaskan serba sedikit perihal jin dan tipu daya mereka terhadap salik untuk menunjukkan perbezaan antara simiya' dan karamat dan meningkatkan kefahaman. Rabbizidni 'ilma.


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Maqam Dan Hal

Tuesday, September 28, 2010

Ketika berbual-bual bersama Syeikh Qolbu dan salah seorang temannya, kami ada menyentuh sedikit mengenai maqam dan hal di sekitar topik perbincangan kami yang pelbagai. Begitu juga secara sambil lalu tentang kebolehan roh yang satu mengawal jasad yang pelbagai (jika dilapangkan, akan saya sentuh secara kulit pada tajuk akan datang). Saya fikirkan ada manfaat juga jika ditambah sedikit huraian bagi maqam dan hal buat renungan saya dan pembaca seperti yang tertulis dalam Futuhat Syeikh Ibn ‘Arabi.
Maqamat adalah setiap sifat yang telah berakar (pada diri) dan tidak dapat ditinggalkan, sepertimana tawbah.
Hal adalah setiap sifat yang kamu perolehi pada satu-satu masa tetapi tidak pada masa-masa yang lain, seperti sakr, mahw, ghaib, dan redha, atau wujudnya (hal) bergantung kepada keadaan, oleh itu ia akan lenyap apabila keadaan tadi enggan wujud; seumpama sabar dalam mehnah, atau syukur dalam rahmat.
Keadaan ini terdiri daripada dua bentuk. Kesempurnaan bentuk yang pertama terdapat pada dimensi zahir dan batin seseorang, seperti wara’ atau tawbah. Kesempurnaan bentuk yang satu lagi didapati dalam dimensi batin seseorang (sahaja), dan jika dimensi zahir mengikutinya, tidak mengapa; contohnya zuhd dan tawakkul. Tiada maqamat pada tariq Allah yang hanya wujud pada dimensi zahir tetapi tidak pada batin.
Antara maqamat juga ialah yang layak bagi manusia di dunia dan akhirat, seperti shuhud, jalal, jamal, uns, haibah, dan bast. Antaranya juga ialah yang layak bagi hamba hinggalah saat kematian, sehingga ketika kiamat, atau sehingga langkah pertama ke syurga, yang selepas itu ia  (maqamat) akan lenyap; ini termasuklah khauf, qabd, hazan, dan raja’.
Antara yang tersebut juga ialah yang layak bagi hamba sehinggalah saat kematian, seperti tanazzul, tawbah,  mujahadah, takhalli, dan tahalli dalam cara mencapai kehampiran. Antaranya juga ialah yang lenyap dengan lenyapnya keadaan (mereka) dan kembali dengan kembalinya keadaan (mereka) seperti sabar, syukr, dan menahan nafsu.
Wallahu'alam


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Warna Cahaya Tingkatan Nafs

Friday, September 17, 2010

Ditulis dalam kitab Sirrul Asrar Syeikh Abdul Qadir al- Jilani, bab ke dua puluh empat dalam menyatakan khatimah. Dinyatakan oleh Syeikh akan pembahagian maqamat-maqamat, tingkatan nafs, jenis jalan, 'alam bagi maqamat, tempat bagi zikir, warid-warid, warna cahaya bagi maqamat.

Saya hanya ingin menarik perhatian pembaca kepada 'warna cahaya bagi maqamat' dibandingkan dengan sifat nafs sahaja InsyaAllah :

i. Ammarah = cahaya biru
ii. Lawwamah = cahaya merah
iii. Mulhamah = cahaya hijau
iv. Mutmainnah = cahaya putih
v. Radhiah = cahaya kuning
vi. Mardiah = cahaya hitam
vii. Safiah = cahaya merah jambu
viii Kamilah = cahaya tidak ianya cahaya

Sirrul Asrar Syeikh Abdul Qadir al-Jilani



Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Takbir Solat I'dil Fitri

Tuesday, September 7, 2010

….Kerana hari ini merupakan hari bergembira bagi ummat, Allah menetapkan sebutan Allahuakbar digandakan dalam solat ‘Idil Fitri supaya hati hamba-hambaNya tetap dalam keagungan dan kehebatan seperti yang dikehendaki oleh Allah. Demikianlah supaya mereka tidak terganggu daripada memandang haq Allah ta’ala dengan melaksanakan solat sepanjang hari tersebut : iaitu zohor, asar, dan solat-solat wajib yang lain. Allah ta’ala berfirman : “ Walazikrullahiakbar (29:45), yakni keutamaannya.

….Tujuh takbir mengambil kira sifatNya. Adanya pengucapan Allahuakbar bagi setiap sifat. Hamba diperjelaskan dengan tujuh sifat yang dengannya Allah menyatakan diriNya. (lihat ruangan asma’ sifat dengan tujuh pembahagian pada tajuk asma’ zat, asma’ sifat, asma’ afa’al). DIA mendakwa keagungan diriNya, kerana hubungan sifat-sifat ini tadi kepada Allah tidaklah sepertimana hubungan sifat-sifat tadi kepada hamba (sebagai pinjaman/nisbah). Dia berfirman : “Allahuakbar” yakni, daripadanya (kebesaran) dalam setiap sifat.

Apabila hamba menyebut “Allahuakbar” lima kali dalam solat I’dil Fitri, dia memandang akan zat dan empat sifat yang diperlukan oleh al-alam daripada Allah kerana Dia diperjelaskan oleh mereka (al-alam) dan melalui mereka ianya mengesahkan bahawa Dialah Allah. DIA mendakwa keagungan diriNya dengan satu pengucapan “Allahuakbar” bagi zatNya kerana “Tiada suatu pun yang sebanding denganNya”. DIA mendakwa keagungan diriNya dengan yang empat bagi empat sifat sebagaimana DIA mendakwa keagungan diriNya dalam yang tujuh kerana tiada tashbih (penyerupaan) dalam hubungan. Ketahuilah oleh mu.

Wallahu'alam
Kami sekeluarga mengucapkan selamat menjalani ibadah berpuasa dan selamat berhari raya I’dil Fitri. Mohon ampun dan maaf daripada kami sekeluarga kepada semua yang mengenali dan pembaca sekelian.


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO