Asma' Zat, Asma' Sifat, Asma' Afa'al

Thursday, August 26, 2010

Dipetik dari kitad Insha' al-Dawair Wal Jadawil karangan Syeikh al-Akhbar Ibn 'Arabi, yang beliau memulakan penulisannya semasa berada di rumah sahabat beliau al-Mahdawi, di bandar Tunis, pada tahun 589H. Syeikh Ibn 'Arabi ada menyebut tentang kitab tersebut di dalam Futuhatnya:

"....dalam kitab kami Insha' al-Dawair yang sebahagian daripadanya telah kami siapkan penulisannya di rumah al-Mahdawi semasa kami menziarahi beliau pada tahun 589H, dalam perjalanan kami untuk mengerjakan haji. Hamba beliau Abd al-Jabbar telah menyalin untuk beliau bahagian yang telah kami tulis, sedangkan naskhah asalnya kami bawa bersama ke Makkah di mana kami sudahkan semuanya di sana".

"....Semua Syeikh menetapkan bahawa ciri-ciri andaian bagi asma'-asma' adalah mengambil tempat. Demikian insan melalui mereka (asma'-asma') layak digelar hayy, 'alim, iradah, sama', basar, kalam, qudrah. Semua asma' Ilahiyyah, samada asma' tanzih atau asma' afa'al, terbit di bawah kelompok tujuh asma'-asma' tadi. Tiada satu pun yang terlepas daripada mereka (asma'). demikian kami tidak menyatakan dengan terperinci disini. Kami telah nyatakan dengan lengkap akan bahagian-bahagian mereka itu dalam kitab kami Insya' al-Dawair wal Jadawil".

Petikan kitab Insha' al-Dawair Ibn 'Arabi



Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Sentiasa Dalam Khayr

Wednesday, August 25, 2010

Sunat bersegera berbuka puasa, berapakah jangkamasa segeranya berbuka puasa? Tiga puluh minit, atau lima minit, atau ada golongan yang lakukannya dlm jangkamasa yang lebih singkat?

BAB 71 FUTUHAT

Muslim meriwayatkan bahawa Abu Atiyya berkata, “Masruq dan aku pergi berjumpa Ayisha dan kami berkata; Wahai Umm al-Mukminin! Ada dua golongan sahabat Muhammad (s.a.w). Salah satunya lekas-lekas berbuka puasa dan bersegera solat, sementara yang satu lagi melengahkan (berlama-lama) berbuka puasa dan melewatkan solat.’Ayisha berkata, ‘Yang mana satu antara mereka yang bersegera berbuka puasa dan bersegera solat?’ Kami menjawab,’Abdullah ibn Masud’, Ayisha berkata,’Seperti itulah Rasulullah (s.a.w) lakukan’.

Kerana Allah menjadikan Baginda (s.a.w), sebagai contoh, baginda seharusnya diikuti. Allah Ta’ala berfirman “Sesungguhnya pada Rasulullah (Muhammad) ada ikutan yang baik bagimu (33:21). Baginda biasa berbuka puasa dengan tamar segar atau kering, atau dengan beberapa sisip air sebelum Baginda solat maghrib dan kemudiannya selepas solat Baginda akan makan apa yang direzekikan buatnya.

Abu Dawud berkata dalam sunannya daripada Anas ibn Malik bahawa Rasulullah biasanya berbuka dengan kurma segar sebelum solat. Jika tidak didapati kurma segar, dengan kurma kering, jika tiada kurma kering dengan beberapa sisip air. Baginda mendahulukan kurma segar kerana mempunyai hubungan langsung dengan Rab berbanding kurma kering. Seperti itulah Baginda lakukan ketika hujan turun. Baginda mendedahkan dirinya kepada hujan dan menanggalkan sebahagian pakaiannya supaya hujan mengenai Baginda, ketika ditanya akan hal tersebut Baginda (s.a.w), bersabda: “Ia memiliki hubungan langsung dengan Rab”.

Bahagian berikut ini bukan sebahagian daripada Futuhat, saya petik daripada Sunan at-Tirmidzi:

Ishaq bin Musa al-Anshari menceritakan kepada kami, al-Walid bin Muslim memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari al-Auza’I dari Qurrah dari az-Zuhriu dari Abu Salamah dari Abu Hurairah di mana ia berkata: “Hamba yang paling Aku cintai adalah orang yang paling bersegera berbuka di antara mereka”.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Manusia itu selalu berada dalam kebaikan selama mereka bersegera untuk berbuka”.

Selamat Berbuka Puasa Buat Semua Muslimin dan Muslimat.



Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

I`tiqad Umum La Ilaha illa Allah Menurut Futuhat (3)

Sunday, August 22, 2010

Demikian pula, Dia mendengar dan melihat apa yang bergerak atau apa yang diam, [Dia mendengar dan melihat] apa yang berbicara dari kalangan makhluk dari alam paling rendah hingga alam paling tinggi. Kejauhan tidak menutupi pendengaran-Nya, kerana Dia sesungguhnya dekat. Kedekatan tidak menghalang penglihatan-Nya, kerana Dia sesungguhnya jauh. Dia mendengar kata-jiwa dalam diri dan suara sentuhan yang tersembunyi ketika persentuhan (kalam al-nafs fi ’l-nafs wa sawt al-mumasah al-khafiyyah `inda ‘l-lams). Dia melihat yang hitam dalam kegelapan, dan (melihat) air di dalam air. Tidak menghijabi-Nya percampuran, kegelapan, dan cahaya. Dia Mahamendengar dan Mahamelihat.

Dia berbicara—tidak dari kebisuan yang mendahului dan tidak dari diam yang disangkakan—dengan kalam qadim dan azali, sebagaimana sifat-sifat-Nya yang lain [juga qadim dan azali]: seumpama Ilmu, Iradah dan Qudrah- Nya. Dia berbicara kepada Musa. Dia menamakan [kalam- Nya] al-Tanzil, Zabur, Taurah dan Injil. (Dia berbicara) tanpa huruf, suara, bisikan (nagham) atau bahasa; bahkan, Dia-lah yang menciptakan suara, huruf dan bahasa.

Kerana itu, Kalam-Nya tanpa anak tekak dan lidah, sebagaimana Pendengaran-Nya tanpa kuping dan anak telinga, sebagaimana Penglihatan-Nya tanpa biji dan kelopak mata, sebagaimana Iradah-Nya tanpa hati dan kalbu, sebagaimana Ilmu-Nya tanpa keperluan kepada penjelasan (burhan) dan pengamatan kepada burhan tersebut, sebagaimana Hayat-nya tanpa udara yang keluar dari rongga dada yang terbentuk dari percampuran beberapa unsur, dan sebagaimana Dhat-Nya tidak menerima tambahan dan pengurangan. Mahasucilah Dia—Mahasucilah Dia dari yang jauh dan yang dekat.

Dialah yang agung kekuasaan-Nya, Yang menyeluruh kebaikan-Nya, Yang besar kurnia-Nya. Segala sesuatu selain-Nya mendapat limpahan kemurahan-Nya. Kurnia dan keadilan-Nya mengembang dan mengecut. Dia menyempurnakanpenciptaanalam,danDiamengibda’kannya ketika Dia menjadikannya dan mengikhtira’ kannya. Tiada sekutu bagi-Nya dalam kerajaan-Nya, dan tiada pentadbir bersama-Nya dalam kerajaan-Nya.

Jika Dia memberi ni`mat dan kesenangan, maka Dia menjadikannya menyenangkan; itulah anugerah-Nya. Jika Dia menguji, maka Dia menyiksa; yang demikian itu, keadilan-Nya. Dia bukan bertindak terhadap kepunyaan yang selain-Nya hingga dinisbahkan kepada kezaliman dan kesewenang-wenangan. Hukum selain-Nya tidak ditujukan kepada-Nya, lantas menjadikan-Nya bersifat cemas dan takut [kepada hukum tersebut]. Segala sesuatu selain- Nya berada di bawah kekuasaan-Nya dan bertindak atas kehendak dan perintah-Nya. Dialah yang mengilhamkan kepada jiwa-jiwa mukallaf taqwa dan kedurhakaan. Dialah yang mengampuni kejahatan siapa sahaja yang Dia kehendaki, dan menghukum siapa yang Dia kehendaki, di dunia ini dan di Hari Kebangkitan nanti. Keadilan- Nya tidak membatasi kurnia-Nya, dan kurnia-Nya tidak membatasi keadilan-Nya.

Dia mengeluarkan alam (manusia) pada dua genggaman, dan menciptakan bagi mereka dua tempat. Maka Dia berfirman, “Mereka itu untuk syurga, dan Aku tidak peduli. Dan mereka itu untuk neraka, dan Aku tidak peduli.” Di sana pemberontak tidak membantah, kerana di sana tiada mawjud selain-Nya. Semuanya berada di bawah pengaturan asma’-Nya: satu genggaman berada di bawah asma’ hukuman-Nya, dan genggaman yang lain berada di bawah asma’ keni`matan-Nya. Jika Dia menghendaki seisi alam bahagia atau sengsara, niscaya jadilah ia. Jika Dia tidak menghendaki, maka segala sesuatu yang ada adalah seperti yang Dia kehendaki. Di antara mereka ada yang sengsara dan ada pula yang bahagia, di dunia ini dan di akhirat nanti.

Tiada jalan untuk mengganti apa yang Dia sediakala tetapkan. (Allah) Ta’ala berfirman mengenai salat: Ia adalah lima sedangkan ia adalah lima puluh. Bagi-Ku perkataan itu tidak ditukar, dan Aku tidak menganiaya hamba (Qaf, 50:29) kerana kebebasan-Ku untuk bertindak dalam milik-Ku dan pelaksanaan kehendak-Ku (mashi’ah) dalam kerajaan- Ku.

Sungguh, yang demikian itu merupakan suatu hakikat yang tiada terlihat oleh mata dan hati (al-absar wa ‘l- basa’ir), dan tiada terbuka oleh pemikiran dan damir - melainkan dengan kurnia Ilahi dan kemurahan Rahmani, bagi mereka yang ditentukan oleh Allah dengan [kurnia dan kemurahan] di kalangan hamba-hamba-Nya (`ibad). Mendahului bagi diri hamba itu perkara tersebut pada hadrat dituntut kesaksiannya (ishhad). Maka tahulah dia ketika diberitahukan, bahawa uluhah mengurniakan bahagian itu, dan bahawa dia antara raqa’iq yang qadim (raqa’iq al-qadim).

Mahasuci Allah Yang tiada pelaku selain-Nya, dan tiada mawjud dengan sendirinya melainkan Dia. Padahal Allah- lah yang menciptakan kamu dan apa yang kamu perbuat (al-Saffat, 37: 96), Dia tidak ditanya tentang apa yang Dia buat, dan merekalah yang akan ditanyai (al-Anbiya’, 21: 23), Allah mempunyai hujjah yang jelas lagi kuat, maka jika Dia menghendaki, pasti Dia memberi petunjuk kepada kamu semuanya (al-An`am, 6: 149).


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

I`tiqad Umum La Ilaha illa Allah Menurut Futuhat (2)

Saturday, August 21, 2010

Yang berbuat sekehendak diri (fa``al lima yurid) (al-Buruj, 85: 16). Dia yang Mahaberkehendak (al-Murid) atas segala yang dicipta (al-ka’inat) di alam bumi dan langit berganda. Kekuasaan-Nya tidak tertakluk pada sesuatu hingga Dia menghendakinya, sebagaimana Dia tidak menghendakinya sehingga Dia mengetahuinya. Sebab, mustahil dalam akal bahawa Dia menginginkan apa yang tidak Dia ketahui; mustahil juga dalam akal bahawa Yang bebas memilih - iaitu Yang berkuasa untuk tidak melakukan sesuatu - melakukan apa yang tidak dikehendaki-Nya.

Seperti itu pula mustahil terdapat pernisbahan (nisab) Hakikat-Hakikat yang tersebut tadi [seperti Hakikat Uluhiyyah, Mencipta, Berilmu, Berkehendak, Berkuasa] pada yang tidak Hidup (hayy); begitu juga, adalah mustahil bahawa Sifat-Sifat Allah berdiri tanpa Dhat yang bersifat dengan Sifat-Sifat tersebut.

Maka, dalam wujud: Tiada ketaatan dan kemaksiatan, Tiada keuntungan dan kerugian, Tiada hamba dan orang merdeka, Tiada dingin dan panas, Tiada hidup dan mati, Tiada penghasilan dan kehilangan, Tiada siang dan malam, Tiada lurus dan bengkok, Tiada daratan dan lautan, Tiada genap dan ganjil, Tiada jawhar dan tiada `arad, Tiada sihat dan sakit, Tiada suka dan sedih, Tiada ruh dan jasad, Tiada gelap dan terang, Tiada bumi dan langit, Tiada percantuman (tarkib) dan penguraian (tahlil), Tiada banyak dan sedikit, Tiada pagi dan petang, Tiada putih dan hitam, Tiada tidur dan jaga, Tiada zahir dan batin, Tiada gerak dan diam, Tiada kering dan basah, Tiada kulit dan isi, Dan tiada sesuatu dari bentuk-bentuk hubungan ini, sama ada yang berlawanan, yang berbeda mahupun yang serupa, kecuali ia dikehendaki oleh al-Haqq Ta`ala. Bagaimana mungkin perkara itu bukan kehendak-Nya, sedang Dialah yang menjadikannya (awjadahu) Bagaimana mungkin Yang bebas berkehendak, menciptakan sesuatu yang tidak Dia kehendaki?

Dialah Yang tiada yang menolak perintah-Nya (amri- Hi) dan tidak ada ganti bagi hukum-Nya. Dia memberikan kekuasaan kepada siapa yang Dia kehendaki, dan menarik kekuasaan dari siapa yang Dia kehendaki. Dia memuliakan siapa yang Dia kehendaki, dan menghinakan siapa yang Dia kehendaki (Ali `Imran, 3: 26). Dia menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki [kerana berniat jahat], dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki [kerana niatnya baik] (al-A`raf, 7: 155). Apa yang Dia kehendaki pastilah jadi, dan yang tidak Dia kehendaki tidak akan jadi (al-Hadith). Kalau seluruh makhluk berkumpul untuk menghendaki sesuatu yang Allah tidak menghendaki mereka menghendakinya, maka mereka tidak akan menghendakinya. Atau mereka melakukan sesuatu yang Allah tidak menghendaki jadinya dan Dia tidak memberikan kuasa ke atas mereka [atas yang demikian itu], maka mereka tidak dapat mengerjakannya dan tidak mampu atas yang demikian itu. Maka kufur dan iman dan taat dan maksiat berasal dari kehendak, kebijaksanaan (hukum) dan iradah-Nya.

Dan senantiasalah Allah disifatkan Berkehendak (iradah) secara azali serta `alam itu ma`dum bukan mawjud, kalaupun `alam itu semata-mata thabit dalam Ilmu- Nya. Kemudian Dia menciptakan alam tanpa berfikir dan tanpa merencanakan - sama ada kerana kejahilan mahupun tiada ilmu, lalu pemikiran dan perencanaan ini memberikan padaNya pengetahuan ehwal apa yang tidak Dia ketahui. Dia Mahatinggi dan Mahaagung dari yang demikian itu. Bahkan Dia menciptakan `alam dari ilmu yang mendahului, dan dari ketentuan Kehendak yang suci lagi azali, yang menetapkan pada alam apa yang ia (`alam) dijadikan atasnya, umpama zaman, tempat, keadaan dan warna. Tiada Yang Berkehendak dalam wujud secara Hakiki yang selain-Nya. Kerana Dia berfirman, Kamu tidak menghendaki kecuali Allah menghendaki (al-Insan, 76: 30). Sesungguhnya Mahasuci Dia. Sepertimana Dia Mahatahu, Dia memutuskan; dan sepertimana Dia kehendaki Dia mengkhususkan; dan kerana Dia menentukan qadarnya, Dia menciptakan.


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

I`tiqad Umum La Ilaha illa Allah Menurut Futuhat (1: 36-38)

Allah `azza wa jalla adalah Tuhan Yang Mahaesa (ilah wahid), tiada yang kedua baginya dalam uluhiyyah-Nya. Yang Mahasuci dari berpasangan dan beranak. Mahapenguasa yang tiada sekutu bagi-Nya. Maharaja yang tiada menteri bagi-Nya. Mahapencipta (Sani`) yang tiada pengatur lain bersama-Nya.

 
Mawjud dengan Dhat-Nya sendiri tanpa berhajat kepada pencipta yang mewujudkan-Nya (mujid yujidu-Hu). Bahkan tiap-tiap yang mawjud selain-Nyalah yang dalam wujudnya perlu kepada-Nya. Justeru, seluruh alam mawjud melalui- Nya (mawjud bi-Hi). Dan Dia satu-satu-Nya Yang bersifat dengan sendiri-Nya Wujud (Huwa wahdahu muttasif bi ’l- wujud li-nafsi-Hi). Tidak ada permulaan bagi wujud-Nya dan tidak ada penghujung bagi kekekalan-Nya (baqa’). Bahkan Dia Wujud Yang Mutlak tiada terikat (ghayr muqayyad).


Yang berdiri dengan Sendiri-Nya (Qa’im bi-nafsi-Hi), bukan sebagai jawhar yang menempati ruang (mutahayyiz) sehingga tertentu bagi-Nya tempat, bukan `arad yang memustahilkan Dia kekal (baqa’), dan bukan juga jisim sehingga ada bagi-Nya arah dan titik-pertemuan (jihah wa ’l- tilqa’). Yang Mahasuci daripada arah (jihat) dan sisi (aqtar). Yang boleh dipandang dengan kalbu dan penglihatan (al- qulub wa ’l-absar), jika Dia menghendaki. Dia bersemayam atas `Arsh-Nya sebagaimana firman-Nya dan atas makna yang Dia kehendaki. Milik-Nya akhirat dan dunia (Al- Najm, 53: 25).

 
Tiada bagi-Nya keserupaan dalam akal: akal tidak menunjukkan pada-Nya; waktu tidak membatasi-Nya [Dia Yang tiada terketika]. Dan tempat tidak melingkungi-Nya; bahkan, Dia ada tanpa tempat (kana wa la makan); bahkan, Dia ber-ada dalam ke-ada-anNya (Huwa `ala ma `alay-Hi kana). Dia menciptakan yang-bertempat dan tempat (al- mutamakkin wa al-makan), dan Dia menciptakan zaman.


Dia menyatakan (Al-Baqarah, 2: 255): Aku Mahaesa, Yang Mahahidup, Yang tiada merasa berat memelihara segala makhluk. Tidak dirujukkan pada-Nya sifat yang tidak layak bagi-Nya dari rekaan para ciptaan-Nya (sun`at al-masnu`at). Yang Mahatinggi dari ditempati yang baharu [ciptaan-Nya], atau dari menempati yang baharu, atau ciptaan-Nya ada selepas-Nya, atau Dia sebelum ciptaan-Nya. Bahkan dikatakan [dalam al-Hadith]: Dia ada tanpa sesuatu bersama-Nya (kana wa la shay’ ma`a-Hu); kerana sesungguhnya “sebelum” dan “sesudah” merupakan bentuk waktu yang diciptakan-Nya (siyagh al-zaman alladhi abda`a-Hu). Dialah Yang Mahakekal terus-menerus (al- Qayyum) Yang tidak tidur. Yang Mahakuasa (al-Qahhar) Yang tidak terkalahkan.


Tiada sesuatu pun menyerupai-Nya (al-Shura, 42: 11). Dia menciptakan `Arsh dan menjadikannya batasan Istiwa’, menciptakan Kursi yang meliputi bumi dan langit yang tinggi. Dia menciptakan (ikhtara`a) lawh dan qalam yang luhur. Yang menjadikannya (ajra) [qalam] penulis dengan ilmu- Nya berkenaan ciptaan-Nya (khalq) hingga Hari Perpisahan dan Penentuan. Dia menciptakan (abda`) alam seluruhnya tanpa model (mithal) yang terdahulu. Dia menciptakan makhluk (khalaqa al-khalq), dan Dia menghapuskan (akhlaqa) apa yang dicipta. Dia menurunkan ruh-ruh yang diberi amanah pada tubuh-tubuh [insan], menjadikan mereka ini di bumi sebagai khalifah, dan menundukkan bagi kita apa yang ada di langit dan di bumi seluruhnya. Tidak bergerak suatu zarahpun melainkan kepada-Nya dan dari-Nya. Dia menciptakan segala tanpa berhajat kepadanya, tiada yang mewajibkan-Nya (menciptakan) yang demikian itu. Namun, ilmu-Nya mendahului bahawa Dia menciptakan apa yang Dia ciptakan. Dialah Yang Awal dan Yang Akhir, Yang Zahir dan Yang Batin (al-Hadid, 57: 3), dan Dia Mahaberkuasa atas segala sesuatu (al-Ma’idah, 5: 120, dll).


Ilmu-Nya meliputi segala sesuatu (al-Talaq, 65: 12). Dia menghitung segala sesuatu (al-Jinn, 72: 28). Dia mengetahui yang rahsia dan yang lebih tersembunyi [dari yang rahsia] (Ta Ha, 20: 7). Dia mengetahui pengkhianatan mata dan yang tersembunyi dalam dada (Ghafir, 40: 19). Bagaimana Dia tidak mengetahui sesuatu, padahal Dialah yang menciptakannya? Apakah Yang menciptakan itu tidak mengetahui, padahal Dia Mahahalus Mahamengetahui? (al-Mulk, 67: 14). Dia mengetahui segala sesuatu sebelum wujudnya, kemudian Dia memberinya wujud (awjada) atas had yang Dia ketahui akannya. Dia senantiasa mengetahui segala sesuatu. Tidak menjadi baharu ilmu-Nya tatkala membaharu penciptaan (tajaddud al-insha’). Dengan ilmu- Nya Dia mengerjakan dan menyempurnakan (atqana wa ahkama) segala sesuatu. Dan dengannya [iaitu Ilmu] Dia menetapkan dan menentukannya kepada siapa yang Dia kehendaki. Dia mengetahui segala kulliyat secara mutlak, sebagaimana Dia mengetahu juz’iyyat, menurut kesepakatan (ijma`) dan persetujuan (ittifaq) ahli nazar yang sahih. Dia mengetahui yang ghaib dan yang nyata; maka, Mahasuci Allah dari apa yang mereka sekutukan (al- Mu’minun, 23: 92).


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO