Maqam Dan Hal

Tuesday, September 28, 2010

Ketika berbual-bual bersama Syeikh Qolbu dan salah seorang temannya, kami ada menyentuh sedikit mengenai maqam dan hal di sekitar topik perbincangan kami yang pelbagai. Begitu juga secara sambil lalu tentang kebolehan roh yang satu mengawal jasad yang pelbagai (jika dilapangkan, akan saya sentuh secara kulit pada tajuk akan datang). Saya fikirkan ada manfaat juga jika ditambah sedikit huraian bagi maqam dan hal buat renungan saya dan pembaca seperti yang tertulis dalam Futuhat Syeikh Ibn ‘Arabi.
Maqamat adalah setiap sifat yang telah berakar (pada diri) dan tidak dapat ditinggalkan, sepertimana tawbah.
Hal adalah setiap sifat yang kamu perolehi pada satu-satu masa tetapi tidak pada masa-masa yang lain, seperti sakr, mahw, ghaib, dan redha, atau wujudnya (hal) bergantung kepada keadaan, oleh itu ia akan lenyap apabila keadaan tadi enggan wujud; seumpama sabar dalam mehnah, atau syukur dalam rahmat.
Keadaan ini terdiri daripada dua bentuk. Kesempurnaan bentuk yang pertama terdapat pada dimensi zahir dan batin seseorang, seperti wara’ atau tawbah. Kesempurnaan bentuk yang satu lagi didapati dalam dimensi batin seseorang (sahaja), dan jika dimensi zahir mengikutinya, tidak mengapa; contohnya zuhd dan tawakkul. Tiada maqamat pada tariq Allah yang hanya wujud pada dimensi zahir tetapi tidak pada batin.
Antara maqamat juga ialah yang layak bagi manusia di dunia dan akhirat, seperti shuhud, jalal, jamal, uns, haibah, dan bast. Antaranya juga ialah yang layak bagi hamba hinggalah saat kematian, sehingga ketika kiamat, atau sehingga langkah pertama ke syurga, yang selepas itu ia  (maqamat) akan lenyap; ini termasuklah khauf, qabd, hazan, dan raja’.
Antara yang tersebut juga ialah yang layak bagi hamba sehinggalah saat kematian, seperti tanazzul, tawbah,  mujahadah, takhalli, dan tahalli dalam cara mencapai kehampiran. Antaranya juga ialah yang lenyap dengan lenyapnya keadaan (mereka) dan kembali dengan kembalinya keadaan (mereka) seperti sabar, syukr, dan menahan nafsu.
Wallahu'alam


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Warna Cahaya Tingkatan Nafs

Friday, September 17, 2010

Ditulis dalam kitab Sirrul Asrar Syeikh Abdul Qadir al- Jilani, bab ke dua puluh empat dalam menyatakan khatimah. Dinyatakan oleh Syeikh akan pembahagian maqamat-maqamat, tingkatan nafs, jenis jalan, 'alam bagi maqamat, tempat bagi zikir, warid-warid, warna cahaya bagi maqamat.

Saya hanya ingin menarik perhatian pembaca kepada 'warna cahaya bagi maqamat' dibandingkan dengan sifat nafs sahaja InsyaAllah :

i. Ammarah = cahaya biru
ii. Lawwamah = cahaya merah
iii. Mulhamah = cahaya hijau
iv. Mutmainnah = cahaya putih
v. Radhiah = cahaya kuning
vi. Mardiah = cahaya hitam
vii. Safiah = cahaya merah jambu
viii Kamilah = cahaya tidak ianya cahaya

Sirrul Asrar Syeikh Abdul Qadir al-Jilani



Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Takbir Solat I'dil Fitri

Tuesday, September 7, 2010

….Kerana hari ini merupakan hari bergembira bagi ummat, Allah menetapkan sebutan Allahuakbar digandakan dalam solat ‘Idil Fitri supaya hati hamba-hambaNya tetap dalam keagungan dan kehebatan seperti yang dikehendaki oleh Allah. Demikianlah supaya mereka tidak terganggu daripada memandang haq Allah ta’ala dengan melaksanakan solat sepanjang hari tersebut : iaitu zohor, asar, dan solat-solat wajib yang lain. Allah ta’ala berfirman : “ Walazikrullahiakbar (29:45), yakni keutamaannya.

….Tujuh takbir mengambil kira sifatNya. Adanya pengucapan Allahuakbar bagi setiap sifat. Hamba diperjelaskan dengan tujuh sifat yang dengannya Allah menyatakan diriNya. (lihat ruangan asma’ sifat dengan tujuh pembahagian pada tajuk asma’ zat, asma’ sifat, asma’ afa’al). DIA mendakwa keagungan diriNya, kerana hubungan sifat-sifat ini tadi kepada Allah tidaklah sepertimana hubungan sifat-sifat tadi kepada hamba (sebagai pinjaman/nisbah). Dia berfirman : “Allahuakbar” yakni, daripadanya (kebesaran) dalam setiap sifat.

Apabila hamba menyebut “Allahuakbar” lima kali dalam solat I’dil Fitri, dia memandang akan zat dan empat sifat yang diperlukan oleh al-alam daripada Allah kerana Dia diperjelaskan oleh mereka (al-alam) dan melalui mereka ianya mengesahkan bahawa Dialah Allah. DIA mendakwa keagungan diriNya dengan satu pengucapan “Allahuakbar” bagi zatNya kerana “Tiada suatu pun yang sebanding denganNya”. DIA mendakwa keagungan diriNya dengan yang empat bagi empat sifat sebagaimana DIA mendakwa keagungan diriNya dalam yang tujuh kerana tiada tashbih (penyerupaan) dalam hubungan. Ketahuilah oleh mu.

Wallahu'alam
Kami sekeluarga mengucapkan selamat menjalani ibadah berpuasa dan selamat berhari raya I’dil Fitri. Mohon ampun dan maaf daripada kami sekeluarga kepada semua yang mengenali dan pembaca sekelian.


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Solat I'lliyyin

Sunday, September 5, 2010

Dipetik dari al-Futuhat al-Makiyya bab 560. Mudah-mudahan kita dapat melaksanakannya dan dipermudahkan oleh Allah s.w.t untuk memperolehinya InsyaAllah.

Rasulullah s.a.w bersabda : Seseorang yang solat wajib kemudian diikuti dengan solat wajib yang lain tanpa melakukan sebarang perbuatan sia-sia - samada pada perkataan atau perbuatan diantara dua solat pada ketika dimana ianya solat, sebaliknya kekal sibuk dengan apa yang memberatkan timbangan dalam bentuk perkara-perkara sunat seperti zikir dan lain-lain, dan kemudiannya menunaikan solat wajib yang lain pula, akan dicatat di I'lliyyin kerana dia tidak melakukan sebarang perbuatan sia-sia langsung antara dua solat wajib. Ini sesungguhnya jarang-jarang berlaku.

Keadaan terbaik orang ramai pada hari ini adalah bilamana seseorang itu melakukan perbuatan yang mubah, oleh itu tiada suatupun yang menyalahinya. Situasi yang banyak berlaku kini ialah orang ramai melakukan perbuatan yang tidak disukai atau terlarang. Disebabkan inilah aku menasihati anda untuk memerhatikan masa antara dua solat wajib. Aku tidak dapati sesiapapun yang menarik perhatian orang ramai kepadanya dan perkara ini tidak sampai kepada kami melainkan daripada Rasulullah s.a.w dan kami mengambil ini daripada Baginda s.a.w.

Hadis ini termasuklah solat nafilah selepas solat nafilah, solat nafilah selepas solat wajib, dan solat wajib selepas solat wajib yang satu lagi.

Bahagian berikut ini tidak terdapat dalam Futuhat. Saya petik dari Sunan Abi Daud:

Dari Qasim Abi Abdurrahman dari Abi Umamah r.a , bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : "Suatu solat yang dilakukan sesudah suatu solat, diantara keduanya tidak ada kata-kata batil, adalah satu amal yang tercatat di syurga I'lliyyin"

Wallahu'alam


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Ubat Hilang Dendam Dalam Hati

Dari Amru bin Syahrabil dari seorang sahabat Nabi s.a.w katanya : ketika ditanyakan pada Nabi tentang seorang yang berpuasa abadi, maka sabda Beliau : "Sungguh aku ingin bila ia tidak sempat makan dan minum selama hidupnya"......selanjutnya beliau bersabda : "Maukah kalian aku tunjukkan dengan sesuatu yang dapat menghilangkan rasa dendam di dalam hati seseorang?, iaitu berpuasa tiga hari setiap bulan". (An-Nasai)

Diterangkan di dalam Futuhat Ibn 'Arabi terdapat tiga golongan ahlillah yang mengamalkan hadis diatas :

1. Golongan yang berpuasa pada tiga hari yang pertama setiap bulan
2. Golongan yang berpuasa pada hari putih 13, 14, dan 15 haribulan.
3. Golongan yang mengambil kedua-duanya.

Saya cuma akan kisahkan sudut pandangan golongan yang pertama sahaja yang dipetik dari Futuhat :

Ketahuilah bahawa setiap bulan yang hadir merupakan tetamu yang datang daripada al-Haq. Oleh itu adalah perlu bagi manusia untuk melaksanakan tanggungjawabnya yang dipanggil 'meraikan / memuliakan' dan 'meraikan / memuliakan' itu adalah untuk tetamu. Hak bagi tetamu adalah tiga hari. Kerana itulah Baginda s.a.w memulakan dengan apa yang disarankan iaitu tiga hari bagi setiap bulan. Rasulullah s.a.w pada kebiasaannya berpuasa pada setiap awal bulan.

al-Nasai meriwayatkannya daripada Ibn Mas'ud. Berpuasa merupakan sifat Allah dan Dia memisahkannya daripada semua ibadah yang lain. Ianya merupakan ibadah yang dikhususkan, yang tidak diperolehi oleh malaikat. Oleh itu malaikat yang hampir dengan Allah tidak musyahadah akan Allah s.w.t - dalam musyahadah puasa, tidak jua Allah bukakan bagi malaikat tajallaNya dalam mushahadah akan puasa.

Puasa merupakan sifat istimewa bagi manusia. Memuliakan tetamu adalah selama tiga hari bagi setiap bulan kerana ianya datang daripada Allah dan kembali kepadaNya, merahmati seseorang mengikut cara bagaimana ia menerima nya atau menyalahinya berdasarkan cara bagaimana ia menerimanya. Cara terbaik seseorang itu menerimanya adalah dengan apa yang menjadi sifat Ilahiyyah, dan ianya adalah puasa.

Wallahu'alam


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Malam al-Qodar

Thursday, September 2, 2010

BAB 71 : FUTUHAT SYAIKH IBN ‘ARABI

Barangsiapa yang berdiri untuk solat demi malam al-Qodar adalah berdiri untuk dirinya, sekalipun berdirinya dia kerana rindukan Allah untuk menemuinya (malam al-Qodar). Barangsiapa yang berdiri demi asma’ yang menjadikannya berdiri pada Ramadhan atau asma’ yang lain, berdirinya adalah kerana Allah, bukan kerana dirinya, dan inilah yang terlebih lengkap. ‘Sesungguhnya tiap-tiap orang telah mengetahui tempat minum masing-masing’ (Q 2:60)

….sinar cahaya matahari terpadam daripada jisim matahari pada pagi malam al-Qodar bagi menyatakan bahawa malam tersebut adalah ketikanya ia hadir dan siang harinya merupakan pernyataan QodarNya. Demikianlah kamu temui malam tersebut atas QodarNya. Barangsiapa yang terlepas daripada menemuinya pada malam hari hendaklah memerhatikan matahari. Sekiranya dia melihat tandanya bolehlah dia membuat permohonan apa yang ingin dipohonnya ketika malam hari, jikalau lah dia mengenal pasti tandanya.

Padamnya sinar cahaya matahari oleh cahaya al-Qodar adalah sepertimana cahaya planet-planet apabila matahari muncul: mereka (planet-planet) tidak lagi memiliki cahaya pada penglihatan mata.

....fajar pada siang, malam al-Qodar bukanlah daripada cahaya matahari. Ianya adalah cahaya malam al-Qodar yang muncul pada jisim matahari, sebagaimana cahaya bulan adalah cahaya matahari yang muncul pada jisim bulan. Jikalau ianya adalah cahaya bulan itu sendiri, ianya pasti akan memiliki pancaran sinar sepertimana matahari. Memandangkan ianya terbit daripada matahari, ia tidak memiliki sebarang sinar. Demikianlah matahari yang memiliki cahayanya sendiri pasti memiliki sinar.

Apabila malam al-Qodar memadamkan sinar matahari, matahari akan kekal tanpa sinar sepertimana bulan, ia mempunyai cahaya pada benda-benda wujud tanpa sinar sedangkan pencahayaannya wujud. Pencahayaan tersebut adalah cahaya malam al-Qodar sehinggalah ianya (matahari) setinggi tombak atau kurang daripada itu. Kemudian cahayanya (matahari) akan kembali kepada matahari.

Kamu akan melihat matahari terbit pada paginya, yakni pada pagi malam al-Qodar seumpama cakera bulat tanpa sinar daripada punca pencahayaannya, seperti terbitnya bulan tanpa sebarang sinar.Aku nyatakan hal ini kepada kamu supaya kamu mengetahui cahaya apakah yang menyinari pada pagi malam al-Qodar, supaya kamu tahu penilaian tersebut pada semua cahaya kepunyaan DIA yang menyinari langit dan bumi. Dia turunkan cahaya yang tidak memerlukan jirim, dan itulah pagi hari tersebut. Oleh itu apabila Allah turunkan cahayaNya diumpamakan sebagai lampu (pelita) iaitu cahaya yang memerlukan jirim, dibantu oleh minyak (Q 24:35)

Jadi apakah yang lebih tinggi daripadanya bagi cahaya ialah hampir pada perumpamaan dan tinggi pada pembezaan. Allah memberitahu kita hal tersebut dan menggunakan ‘kaf’ sifat dalam firmanNya “umpama lampu (pelita)….(Q 24:35) untuk memberitahu bahawa Dialah cahaya bagi segala cahaya, bahkan Dialah segala cahaya, dan dianjurkan kepada kamu untuk memperolehi sifat ini (cahaya). Rasulullah s.a.w. selalu berdoa: “Jadikan daku cahaya”. Sesungguhnya Baginda s.a.w. adalah sedemikian (cahaya).

Bahagian berikut merupakan doa yang diucapkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. dan bahagian ini tidak terdapat dalam Futuhat. Mengikut bidang rawatan, digunakan sebagai kota cahaya.

“Ya Allah, jadikan pada hatiku cahaya, pada pandanganku cahaya, pada pendengaranku cahaya, di sebelah kananku cahaya, di sebelah kiriku cahaya, di sebelah belakangku cahaya, dari bahagian depanku cahaya, bahagian atasku cahaya, dan dari bahagian bawahku cahaya. Ya Allah anugerahkan daku cahaya, jadikan bagiku cahaya, pada uratku cahaya, pada dagingku cahaya, pada darahku cahaya, pada rambutku cahaya, pada kulitku cahaya, pada lidahku cahaya, dan jadikanlah pada diriku cahaya, dan besarkanlah untukku cahaya, dan anugerahkan daku cahaya”

WALLAHUA’lAM


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO