Jawapan Soalan 103

Monday, February 28, 2011

[ Fusus: Soalan ke 103 dari Syeikh al-Hakim al-Tirmidzi adalah berlandaskan hadis Nabi s.a.w. “al-‘Izzah (keagungan) itu pakaian Ku, dan Kibriya’ (kemegahan) itu selendang Ku. Barangsiapa yang menanggalkan keduanya dari Ku akan mendapat azab (seksaan)” – Riwayat Muslim dari Abu sa’id dan riwayat Samuwaih dari Abu sa’id dan juga riwayat Tabrani dari ‘Ali r.a. Jawapan ini menjelaskan bahawa makhluk adalah berhubungan dengan kerendahan yang merupakan lawan bagi ‘Izzah, dan hanya al-Haq yang layak memakai ‘Izzah kerana Dia lah wujud al-mutlaq. ]
Soalan: Apakah perkataan Nya, “ Izzah (Keagungan) itu sarung Ku”?
Jawapan: Al-Haq merahmati hamba Nya apabila Dia menyeru mereka untuk mengenali Nya melalui tanazzul (penurunan) untuk memberikan mithal kepada mereka supaya dengan itu mereka memperolehi pengetahuan daripada Nya dalam ukuran yang dikehendaki oleh Nya. Contohnya, seperti, firman Nya, mithal cahaya Nya, seperti sebuah lubang di dinding rumah, di dalamnya ada pelita (Quran 24:35). Ini kerana firman Nya, Allah cahaya langit dan bumi (Quran 24:35) di mana Dia menjadikan Diri Nya cahaya, kerana ianya adalah predikat bagi subjek, iaitu, sifat Nya. Huwiyya (KeDiaan) Nya adalah cahaya merujuk kepada hakikat bahawa Dia adalah Allah, cahaya. Tetapi apa hubungannya cahaya bagi lampu dengan firman Nya, Allah cahaya?
Samalah juga dengan khabar, bahawa apabila berkata-kata melalui wahyu ianya seumpama “gemerincing loceng (genta)” Apa hubungannya perkataan al-Haq dengan gemerincing loceng?
[ Fusus: Hadis dari Aisyah r.a bahawasanya Harits bin Hisyam r.a. bertanya kepada Rasulullah s.a.w “Wahai Rasulullah, bagaimanakah datangnya wahyu kepada Engkau?” Rasulullah menjawab: “Kadang-kadang wahyu itu datang kepada ku bagaikan gemerincingnya loceng (genta) dan itulah yang paling berat atas ku, lalu terputus daripada ku dan aku telah hafal daripadanya tentang apa yang dikatakan. Kadang-kadang malaikat bermithal sebagai laki-laki datang kepada ku lalu ia berbicara kepada ku maka aku hafal apa yang dikatakannya” Aisyah r.a berkata: “Sungguh saya melihat beliau ketika turun wahyu kepada beliau di hari yang sangat dingin dan wahyu itu terputus dari beliau sedang dahi beliau mengalir keringat” - diriwayatkan Bukhari ]
Demikianlah juga perkataan Nya, “’Izzah itu pakaian Ku”. Demi hamba Nya, Dia letakkan Diri Nya pada manzil seseorang yang menerima kelayakan melalui pakaian. Apa yang Dia berkehendak untuk mereka tahu mengenai Diri Nya dalam kesempurnaan ini (adalah) bersesuaian dengan pakaian dan apa yang ditabir oleh nya.
Ketahuilah sarung dipakai atas tiga urusan – pertama, sebagai perhiasan; kedua, sebagai perlindungan dan ketiga, sebagai tabir (sitr). Di antara yang tiga ini, apa yang dimaksudkan dalam khabar ini adalah khusus perlindungan. Ini ditunjukkan oleh perkataan ‘Izzah. Di sini ‘Izzah menuntut kepada kemustahilan untuk mencapai Diri Nya, disebabkan oleh ‘sarung’ yang melindungi daripada dilihat oleh mata.
‘Izzah terlarang melalui ketidaksampaiannya, oleh itu hakikatnya ia tidak boleh menjadi sifat bagi sebarang makhluk atau benda baharu, kerana khuduk (kerendahan diri) merupakan teman sejati bagi makhluk dan benda baharu, dan khuduk berlawanan dengan ‘Izzah. Demikian, bilamana al-Haq mengenakan sarung ‘Izzah akal rasional terhalang daripada mengenalpasti penerimaan ‘ain akan pengurniaan wujud, yang dengannya mereka menjadi layak dan melaluinya mereka menjadi berjarak pada diri mereka. Demikian tiada suatu pun yang terpisah daripada Allah dapat mengetahui bentuk pengurniaan wujud oleh Nya atau penerimaannya, tidak juga bagaimana benda-benda menjadi mahall penzahiran al-Haq, tidak juga bagaimana ianya dinyatakan melalui wujud – kerana dikatakan mengenainya, “benda wujud”, tetapi ianya biasa dipanggil “benda ‘adum” (tidak memiliki wujud).
Demikian al-Haq berkata, “’Izzah itu sarung Ku”, iaitu, ianya suatu tabir ke atas apa yang dijangka dapat dimiliki oleh jiwa.
Kerana itulah Dia berkata, “Barangsiapa menanggalkan keduanya dari Ku, akan mendapat azab (seksaan)”. Dia khabarkan bahawa Dia takluk atas sifat sedemikian yang hanya layak bagi Nya – seperti ‘Izzah, ‘Azama (kebesaran, kehebatan) dan Kibriya’ (kemegahan). Oleh itu ‘Izzah merupakan qudrah yang menguasai yang kamu dapati menghalang tanggapan sirr yang melaluinya al-alam menjadi terzahir.


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Syeikh al-Hakim al-Tirmidhi (2)

Wednesday, February 16, 2011


Al-Hakim al-Tirmidzi telah menyenaraikan sebanyak 157 soalan yang hanya dapat dijawab, sepertimana kata beliau, oleh khusus al-khusus di kalangan awliya Allah. Soalan-soalan al-Hakim al-Tirmidzi dibentuk sebagai satu ‘pengujian’ untuk memisahkan antara muhaqqiqun di kalangan sekian ramai yang berpura-pura memiliki hikmah pengetahuan tersebut yang wujud pada setiap zaman.

Pada tahun 603 hijrah iaitu setelah tiga ratus tahun soalan-soalan tersebut diajukan, sebuah kitab bertajuk “al-Jawab al-Mustaqim ‘amma sa’ala ‘anhu Tirmidhi al-Hakim” (Jawapan yang mustaqim atas soalan-soalan al-Hakim al-Tirmidzi) menyelesaikan setiap persoalan yang diajukan lebih tiga ratus tahun lalu, dan dengan ini membenarkan perkataan Syeikh al-Hakim al-Tirmidzi “hanya dapat dijawab oleh khusus al-khusus di kalangan awliya Allah”.

Antara soalan-soalan dalam kitab Khatm al-Awliya ialah:-

  1. Di manakah manazil ahli qurbah?
  2. Di manakah maqam ahli hadis dan majalis ?
  3. Apakah permulaan wahyu ?
  4. Apakah permulaan roh ?
  5. Apakah permulaan sakinah ?
  6. Apakah al-‘adl ?
  7. Apakah maksud hadis : Allah menciptakan makhluk dalam zulmat (kegelapan) ?-[Fusus : Hadis penuh Al-Hasan bin Arafah menceritakan kepada kami, Ismail bin Ayyasy memberitahukan kepada kami, dari Yahya bin Abi Amr Asy Syaibani dari Abdullah bin Ad Dailami berkata : Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : Sesungguhnya Allah Yang Maha Suci dan Maha Tinggi menciptakan makhluqNya dalam zulmat (kegelapan), lalu Dia melemparkan cahayaNya atas mereka. Barangsiapa terkena cahay itu, maka ia memperoleh petunjuk, dan barangsiapa luput dari cahaya itu maka ia tersesat, kerana itu aku bersabda : Pena telah kering atas pengetahuan Allah (Hadis ini adalah hadis hasan)]
  8. Apakah sifat Adam a.s.?
  9. Apakah al-fitrah?
  10. Di manakah khazanah minna ?
  11. Apakah al-hadis ?
  12. Apakah al-wahyu ?
  13. Bagaimanakah tingkatan awliya dan ambiya pada yaumul ziyarah ?
  14. Apakah bahagian yang di miliki oleh al-‘amma (orang awam) dalam menyaksikan Nya (pada yaumul ziyarah)?
  15. Apakah maqam al-mahmud?
  16. Berapakah juzuk al-nubuwwa?
  17. Apakah nubuwwa?
  18. Berapah juzuk al-siddiqin?
  19. Apakah sakinah al-awliya?
  20. Apakah bahagian yang di miliki oleh orang mukmin berdasarkan firmanNya: "Dia Yang Awal dan Yang Akhir, Yang Zahir dan Yang Batin"? (57:3)
  21. Apakah bahagian yang di miliki oleh orang mukmin berdasarkan firmanNya: "Setiap sesuatu akan binasa kecuali wajahNya"? (28:88)
  22. Apakah itu sujud?
  23. Apakah itu taj al-malik?
  24. Apakah keagungan wajah?
  25. Apakah makna zikir berdasarkan firmanNya: Walazikrullahiakbar? (29:45)
  26. Apakah makna zikir berdasarkan firmanNya: " Maka zikirlah kamu kepada Ku, nescaya Aku ingat kepada mu"? (2:152)
  27. Apakah perkataan Nya : Sombong itu selendang Ku? [Fusus: Hadis qudsi- “Sombong itu selendang-Ku dan keagungan adalah sarung-Ku. Barangsiapa merampas salah satu darinya, Aku lemparkan dia ke Neraka Jahannam.” (Riwayat Abu Daud)]
Kitab Khatm al-Awliya telah lama dianggap hilang dan hanya diketahui mengenainya melalui kitab al-Jawab al-Mustaqim ‘amma sa’ala ‘anhu Tirmidzi al-Hakim dan beberapa petikan daripada kitab Khatm al-Auliya dalam Futuhat al-Makiyya Syeikh Ibn ‘Arabi. Bagaimanapun dengan rahmat Allah dua manuskrip tulen akhirnya ditemui di Istanbul antara tahun 1963 dan 1965 dan dengan ini membolehkan cetakan moden dibuat berdasarkan manuskrip tersebut.

Bersambung InsyaAllah dengan tajuk lain – Jawapan bagi soalan yang ke 103.


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Syeikh al-Hakim al-Tirmidhi

Tuesday, February 8, 2011

Kurun ketiga hijrah melahirkan ramai tokoh-tokoh kerohanian Islam yang terkenal seperti Syeikh al Harith al-Muhasibi, Syeikh al-Junayd, Syeikh Abu Bakr al-Shibli, dan Syeikh Abu Yazid al-Bistami. Kurun yang sama juga menyenarai kan wali dari Tirmidh Muhammad b. ‘Ali b. al-Hasan b. Bishr b. Harun al-Tirmidhi di kenali dengan panggilan al-Hakim al-Tirmidhi yang walaupun mungkin kurang dikenali berbanding yang lain, namun merupakan seorang penulis yang prolifik. Syeikh lahir sekitar tahun 205 dan 215 hijrah dari kalangan keluarga yang mempelajari hadis Nabi s.a.w. Ayah beliau seorang tokoh hadis yang tetap pada bidang periwayatan hadis. Dalam karya-karya beliau al-Tirmidhi banyak meriwayatkan hadis yang bersumber dari ayahnya, bahkan ibunya juga seorang ahli hadis. Al-Tirmidhi beberapa kali meriwayatkan hadis dari jalur ibunya. Ketika berumur dua puluh lapan tahun syeikh musafir ke Mekah bagi menunaikan haji. Telah menjadi kebiasaan bagi mereka yang seumpama beliau, syeikh mengumpulkan hadis ketika musafir. Menulis hampir enam puluh tajuk yang berbeza sepanjang hayat beliau. Antara hasil tulisan al-Hakim al-Tirmidhi ialah:
Nawadir al-Usul: Sebuah penulisan yang tidak menumpu pada satu tema pada keseluruhan strukturnya. Sebaliknya satu hadis yang tertentu diambil dan tafsiran bagi hadis tersebut memulakan isi penulisan yang luas. Kitab tersebut sarat dengan sudut pandangan ‘ilm al-batin.
'Ilal al-Syari’a: memaparkan kewajipan agama menurut syariat berdasarkan hadis-hadis tauhid-syariat.
'Ilm al-Auliya’: Mengkisahkan ilmu para awliya’; mengenai huruf dan Nama (Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar".Quran 2:31), pembahagian ilmu, ubudiyya (kehambaan), zikir, makna dan perbezaan solat malaikat dan solat manusia dan jin (betapa banyak kurniaan kerohanian, bukaan tawhid, makrifat, kurniaan berkah yang terlepas dek kerana meninggalkan solat), makna tasbih (mensucikanNya), makrifat dan lain-lain.
Khatm al-Auliya’: Akan diperncikan kemudian.
Manazil al-‘Ubbad min al-‘Ibadah: Syeikh al-Hakim al-Tirmidhi memulakan tulisan dengan “Hanya kepada Allah kami berserah diri dan memohon segala perlindungan. Selawat dan salam semoga tercurah kepada Nabi Muhammad s.a.w, penutup segala Rasul. Juga kepada seluruh keluarga dan para sahabat Baginda. Segala puji bagi Allah, Rabb semesta alam. Mereka bertanya kepada ku peringkat bagi ahli ibadah. Kemudian aku menjelaskan kepada mereka beberapa peringkat ahli ibadah berlandaskan al-Quran dan hadis. Tiada daya dan kekuatan kecuali semuanya bersumber dari Allah SWT”.
Dimulakan dengan peringkat pertama iaitu taubat kepada Allah (InsyaAllah, akan saya sentuh mengenai tajuk ini berserta dengan seratus lima puluh maqam taharah), dan di akhiri dengan peringkat ketujuh dan terakhir iaitu Qurb (hampir) kepada Allah.
Keahlian al-Tirmidhi dalam menghafal dan memahami al-Quran serta kedalaman ilmu beliau dalam bidang hadis tidak diragukan lagi. Kita dapat temui al-Quran dan hadis menjadi kekuatan, hujah, sikap dan buah fikiran dalam karya beliau. Syeikh meninggal pada usia yang lanjut di awal kurun keempat hijrah. Menurut murid beliau Abu Bakr al-Warraq, syeikh merupakan murid al-khidir a.s. (InsyaAllah akan dikemukakan secara isyarat pada suatu tajuk yang lain bagaimana menentukan ketulenan khidir a.s. berdasarkan hadis Nabi s.a.w.-suatu kemungkinan dan bukan janji untuk menulis mengenai hal ini ) yang selalu menziarahi beliau setiap ahad.
Berbalik kita kepada perincian kitab Khatm al-Auliya’ yang menjadi niat bagi saya mengemukakan  tajuk kali ini.
Kitab Khatm al-Auliya’ dengan dua puluh sembilan babnya, persoalan mengenai khatm al-awliya’ muncul pada bab kelapan, berulang pada bab ketiga belas, dan menjadi teras bab kedua puluh lima. Suatu penulisan yang menakjubkan , yang mengambil bentuk dialog yang berliku-liku antara al-Tirmidhi dan salah seorang pengikut beliau, adalah yang pertama dan terpenting, menjadi rekod perjalanan kerohanian yang kebijaksanaannya diselubungi oleh nada kendiri. Persoalan mengenainya dinyatakan pada perenggan pertama:
Kamu telah menyatakan mengenai perdebatan yang tercetus dikalangan sesetengah orang mengenai walaya, mengenai manazil (tempat akhir berkumpul) bagi awliya’, mengenai kesan bagi orang yang mempercayai pendapat mereka (orang yang berdebat), kamu bertanya samada wali menyedari atau tidak maqam dirinya, kerana kamu telah mendengar perkataan bahawa mereka yang memiliki walaya tidak menyedari akannya. Akhirnya, kamu bertanya mengenai mereka yang menyangka bahawa mereka memiliki walaya sekalipun mereka sebenarnya jauh daripadanya. Ketahuilah, hakikatnya, mereka yang bercakap mengenai walaya tidak mengetahui apa pun jua mengenainya. Mereka cuba mencapainya melalui pengetahuan zahir, dan mereka hanya menyatakan pendapat peribadi mereka atau sebaliknya bergantung pada kekeliruan tamsilan. Orang yang sebegini tidak mendapat nikmat berserta Rabbnya. Mereka tidak memiliki kunci manazil bagi walaya dan tidak mempunyai pengetahuan akan cara bagaimana Allah mengendalikannya".
Bagi al-Hakim al-Tirmidhi adalah menjadi teras untuk tidak terkeliru antara wali haqq Allah dengan wali Allah haqqan. Ini merupakan dua maqam kerohanian, yang satu berasaskan siddiq yang melibatkan penyerahan penuh pada semua kewajiban agama zahir dan batin, terbit dari hubungan antara hamba dan Rabb. Yang satu lagi berasaskan minna. Menurut al-Tirmidhi salah satu daripada sekian banyak ciri-ciri ketulenan walaya, atau kepastian ketulenannya ialah sakina.
Kitab Khatm al-Auliya’ bagaimanapun mengandungi satu bab yang lebih misteri lagi. Siri soalan yang panjang memenuhi bab ke empat. Mencabar dakwaan dari mereka “yang bercakap seperti awliya’ ” tanpa memiliki kelayakan-kelayakan yang sepatutnya, seratus lima puluh tujuh soalan-soalan dikemukakan tanpa diberi jawapan dan komentar. Selama tiga kurun tiada sesiapa pun yang melepasi  ujian tersebut yang di utarakan oleh wali dari Tirmidh kepada sesiapa jua yang merasai dirinya layak memiliki sirr (rahsia) walaya.
Bagaimanapun kitab Khatm al-Auliya’ tidak ditemui dan dianggap hilang oleh generasi selepas Syeikh al-Hakim al-Tirmidhi.
Bersambung InsyaAllah.


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Makar (4)

Tuesday, February 1, 2011

[Fusus: Ciri-ciri makr bagi golongan khusus al-khusus sukar untuk kita lihat saban hari, kerana ia berhubungan dengan perkara 'mencarik adat' yang nyata berjasad terjadi, bukan hanya dalam khayal. Kalau pun mungkin ada kita dengari tetapi kejadian tersebut tidak nyata berjasad (huraian di sini). Kejadian mencarik adat yang dimaksudkan sebagai makr di sini ialah yang tidak melalui perintah dari Allah]

Makr Allah yang berlaku ke atas ‘khusus al-khusus’ pula, terletak pada menzahirkan tanda-tanda dan mencarik adat tanpa perintah daripada Allah atau di luar lingkup yang merupakan neracanya. Awliya diarahkan untuk menyembunyikan perkara ini, sebagaimana Rasul-rasul diarahkan untuk menzahirkannya. Apabila awliya diberikan kemampuan untuk memperlihatkannya dan ‘ayn al-tahkim dalam al-alam akan dikurniakan kepadanya, dia boleh jadi di makr kerana kekurangan bahagian daripada apa yang dikurniakan kepada awliya yang lain dan kerana Allah menghendaki perkara tersebut daripadanya. Allah menempatkan kepada insan tersebut keperluan untuk menzahirkan tanda-tanda ini dengan suatu cara yang mana dia tidak menyedari bahawa ini merupakan suatu makr Ilahi yang menunjukkan kepada kekurangan (bagi dia) bahagian (yang dikurniakan kepada awliya yang lain).
Demikian dia diilhamkan dalam jiwanya untuk menzahirkan tanda-tanda sebagai suatu kebaikan untuk menarik makhluk kepada Allah, untuk mengeluarkan orang yang lemas daripada lautan maksiat, dan untuk menjauhkan daripada kebiasaan mereka. Kerana ini merupakan salah satu tanda-tanda yang terbesar yang dengannya manusia terpanggil kepada Allah, kerana itulah ianya menjadi sifat bagi rasul-rasul dan nabi-nabi. Orang ini melihat dalam dirinya bahawa dia merupakan salah seorang pewaris dan bahawa tanda-tanda ini salah satu daripada pewarisan daripada ‘hal’. Ini menghalangnya daripada menyembunyikan tanda-tanda ini yang menjadi mandat daripada Allah (untuk menyembunyikan tanda-tanda) sebagai adab awliya. Sekalipun mereka memiliki kekuasaan ke atasnya. Ia menyembunyikan daripadanya hakikat bahawa Allah menjadikan penzahiran tanda-tanda sebagai wajib bagi rasul-rasul kerana, dari awal, mereka diarahkan untuk menyeru kepada Allah, sedangkan awliya tidak seperti itu. Awliya hanya menyeru kepada Allah dengan mengkhabarkan seruan dan lidah rasul-rasul. Dia tidak menyeru melalui kemurnian kalam yang berkata kepadanya sebagaimana berkata-kata kepada rasul.

Oleh itu rasul ‘atas basirah’ dalam menyeru kepada Allah melalui hukum syariat yang disampaikan oleh Allah kepadanya, tetapi awliya adalah ‘atas basirah’ dalam menyeru kepada Allah melalui adab sebagai pengikut, tidak melalui kemurnian kurniaan syariat. Demikian dia (awliya) tidak memerlukan kepada tanda-tanda atau bukti yang nyata, kerana jika dia mengucapkan sesuatu yang bercanggah dengan syariat rasul, tiada seorang pun yang akan mengikutinya, tidak jua dia atas basirah. Oleh itu tiada keperluan (baginya) menzahirkan tanda-tanda.
Keadaannya berbeza dengan rasul, kerana rasul mengesahkan syariat dan memansuhkan sebahagian syariat yang disahkan melalui tangan rasul yang sebelumnya. Demikian dia mesti menzahirkan tanda-tanda dan alamat-alamat yang akan menjadi bukti kebenaran ucapannya apabila dia berkata yang dia membawa khabar dari Allah untuk membatalkan syariat yang disahkan oleh Allah melalui lidah rasul yang sebelumnya dan mengumumkan berakhirnya jangka masa dalam persoalan hukum.
Tetapi awliya , disebalik ciri-ciri khususnya, mungkin meninggalkan sesuatu yang wajib (iaitu tidak menunjukkan tanda-tanda) dan hasilnya dia menjadi tidak sempurna dalam martabatnya berdasarkan sejauh mana perkara tersebut, yang mungkin dikurniakan kepadanya jika dia memperhatikan dan bertindak bersesuaian dengan perintah yang wajib tadi.
Tiada apa yang merosak bagi hamba selain mentakwil benda-benda. Semoga Allah menempatkan kita ‘atas basirah’ dalam urusan kita dan tidak membenarkan kita melanggar hukum yang dituntut oleh maqamat kita! Aku bermohon kepada Allah supaya Dia menyediakan buat kita dengan maqamat yang tertinggi di sisi-Nya yang dimiliki oleh awliya yang tertinggi, kerana pintu kerasulan dan kenabian terpateri mati, dan adalah bersesuaian bahawa tiada sesiapa pun dalam alam meminta sesuatu yang mustahil. Selepas perkhabaran Ilahi, pintu ini terpateri mati, oleh itu adalah tidak wajar bahawa kita memohon akannya. Memohon akannya adalah umpama ‘mencanai waja yang sejuk’, oleh itu tiada mukmin yang meminta perkara sebegini. Ini amat diketahui. Adalah mencukupi bagi awliya bahawa dia meminta kepada Allah untuk menempatkannya ‘atas basirah’ dalam menyeru kepada Allah merujuk kepada apa yang perlu oleh maqam awliya dan (sebagai) pengikut. Sebagaimana Dia menjadikan rasul menyeru kepada Allah ‘atas basirah’ merujuk kepada apa yang perlu oleh maqam kerasulan dan pengurniaan syariat.
Semoga Dia menyelamatkan kita daripada makr Nya dan tidak menempatkan kita di kalangan ahli al-naqs (golongan yang tidak sempurna)! Semoga Dia mengurniakan kita dengan penambahan (mazid) dan peningkatan (taraqqi) di dunia dan akhirat!


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO