Maqam Dan Hal

Tuesday, September 28, 2010

Ketika berbual-bual bersama Syeikh Qolbu dan salah seorang temannya, kami ada menyentuh sedikit mengenai maqam dan hal di sekitar topik perbincangan kami yang pelbagai. Begitu juga secara sambil lalu tentang kebolehan roh yang satu mengawal jasad yang pelbagai (jika dilapangkan, akan saya sentuh secara kulit pada tajuk akan datang). Saya fikirkan ada manfaat juga jika ditambah sedikit huraian bagi maqam dan hal buat renungan saya dan pembaca seperti yang tertulis dalam Futuhat Syeikh Ibn ‘Arabi.
Maqamat adalah setiap sifat yang telah berakar (pada diri) dan tidak dapat ditinggalkan, sepertimana tawbah.
Hal adalah setiap sifat yang kamu perolehi pada satu-satu masa tetapi tidak pada masa-masa yang lain, seperti sakr, mahw, ghaib, dan redha, atau wujudnya (hal) bergantung kepada keadaan, oleh itu ia akan lenyap apabila keadaan tadi enggan wujud; seumpama sabar dalam mehnah, atau syukur dalam rahmat.
Keadaan ini terdiri daripada dua bentuk. Kesempurnaan bentuk yang pertama terdapat pada dimensi zahir dan batin seseorang, seperti wara’ atau tawbah. Kesempurnaan bentuk yang satu lagi didapati dalam dimensi batin seseorang (sahaja), dan jika dimensi zahir mengikutinya, tidak mengapa; contohnya zuhd dan tawakkul. Tiada maqamat pada tariq Allah yang hanya wujud pada dimensi zahir tetapi tidak pada batin.
Antara maqamat juga ialah yang layak bagi manusia di dunia dan akhirat, seperti shuhud, jalal, jamal, uns, haibah, dan bast. Antaranya juga ialah yang layak bagi hamba hinggalah saat kematian, sehingga ketika kiamat, atau sehingga langkah pertama ke syurga, yang selepas itu ia  (maqamat) akan lenyap; ini termasuklah khauf, qabd, hazan, dan raja’.
Antara yang tersebut juga ialah yang layak bagi hamba sehinggalah saat kematian, seperti tanazzul, tawbah,  mujahadah, takhalli, dan tahalli dalam cara mencapai kehampiran. Antaranya juga ialah yang lenyap dengan lenyapnya keadaan (mereka) dan kembali dengan kembalinya keadaan (mereka) seperti sabar, syukr, dan menahan nafsu.
Wallahu'alam


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

0 comments:

Post a Comment