Shaykh Ibrahim ibn Hasan
al-Kurani (w. 1101/1689) murid Shaykh Ahmad al-Qushashi yang paling cemerlang,
mempunyai hubungan yang istimewa dengan gurunya, dan menjadi menantu serta salah
seorang daripada pewaris beliau. Shaykh Ibrahim al-Kurani seorang ‘alim mazhab
Shafi’i, dilahirkan di Kurdish tempat di mana beliau memperolehi pengajian
awalnya. Ketika usia muda, beliau meninggalkan tanah tumpah darahnya berkelana
ke Baghdad dan menetap di sana selama dua tahun, kemudiannya ke Damsyik selama
empat tahun, selanjutnya ke Mesir mengikuti halaqah pengajian yang pelbagai.
Kalangan guru beliau ialah Muhammad Sharif al-Kurani di Baghdad, ‘Abd al-Baqi
al-Hanbali dan Najm al-Din al-Ghazzi di Damsyik, dan Sultan al-Mazahi di Mesir.
Shaykh Ibrahim al-Kurani menjejakkan kaki di Madinah setelah selesai mengerjakan
haji, dan seterusnya berguru dengan Shaykh Ahmad al-Qushashi langsung menetap
di Madinah.
Shaykh
Ahmad al-Qushashi merupakan Shaykh yang memberi pengaruh paling besar dalam
hidup beliau. Suatu peristiwa yang berlaku terhadap Shaykh Ibrahim al-Kurani
bersangkutan dengan karamah Shaykh Ahmad al-Qushashi iaitu; ketika beliau
sedang berbicara dalam hatinya mengenai suatu perkara, tiba-tiba Shaykh Ahmad
al-Qushashi berpaling kepadanya dan berkata sesuatu berkaitan dengan perkara
yang difikirkan. Selain itu, Shaykh Ibrahim al-Kurani pernah menulis sesuatu
bersangkutan dengan urusan dunia kepada penduduk Sham setelah diminta oleh
beberapa orang al-Mujawirin di Madinah. Beliau menulis tanpa mendapat kebenaran
terlebih dahulu daripada Shaykhnya. Keadaan ini menyebabkan beliau berasa keluh
kesah apabila berhadapan dengan Shaykhnya. Pada suatu malam apabila beliau
ingin menulis surat untuk menjawab tulisan penduduk Sham, tiba-tiba kelihatan
pada kertasnya sesuatu menyatakan bahawa tulisan itu tidak mendapat redha
Shaykhnya, lalu beliau terus membakar kertas tersebut. Ketika itu perasaan
tenang tiba-tiba menyelubungi hati. Keesokannya apabila beliau bertemu dengan
Shaykhnya, Shaykhnya melihat sambil tersenyum dan mengucapkan selamat
kepadanya.
Shaykh
Ibrahim al-Kurani ‘alim dalam pelbagai ilmu. Pengajian hadith Shaykh Ibrahim
al-Kurani mencakup pengajian hadith yang utama dan sampingan, meliputi hadith
yang jarang ditemui. Beliau juga mahir ilmu fiqh dan tidak terhad hanya kepada
mazhab Shafi’i. ‘Alim dalam tauhid, kesufian dan malahan sejarah. Berikut
beberapa hadis yang dipetik oleh Shaykh Ibrahim al-Kurani dalam kitab beliau:
Sabda Nabi S.A.W:
“Nafas itu suatu jauhar yang
masuk dan keluar dari badan, sehingga apabila menjadi kurang ilmu kepadanya,
maka iaitu jahil namanya, tiada mulia kepada Allah Ta’ala pada hari kiamat, di
dalam kubur dan di dalam titian Sirat al-Mustaqim. Kerana sesungguhnya anfas
tiada masuk ke dalam tubuh dan tanaffas itu tidak keluar daripada badan. Sedang
nafas itu masuk dan keluar daripada badan.”
Sabda Nabi S.A.W:
“Hidup setiap manusia dalam dunia
itu dengan nafas dan hidup setiap manusia itu dalam akhirat dengan tanaffas.”
Wallahua’lam
Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO
0 comments:
Post a Comment