Al-Dawr Al- A'la

Sunday, April 17, 2011

Suatu himpunan zikir yang diilhamkan, setiap satu daripada tiga puluh tiga bait diteraskan dengan suatu siri asma’ Ilahiyah. Setiap ism (nama) mengandungi sir (rahsia) dan keekuatan yang tersendiri: ia perlu terbit pada ketika yang tepat dalam pembacaan demi untuk ianya berkesan. Keberkesanan tersebut bagaimanapun bukanlah sihir. Beberapa keadaan awal (pembaca) adalah diperlukan, yang terutama ialah ketulusan hati.
Al-Damuni merumuskan al-Dawr al-A’la Syeikh Ibn ‘Arabi dengan memulakannya seperti berikut: Aku bermohon kepada Allah agar hizb ini akan bermanfaat kepada sesiapa jua yang membacanya dengan tulus ikhlas dan keyakinan yang teguh, dan dengan itu dia akan mencapai matlamat akhirnya. Kerana Dia yang Esa yang mengurniakan tanpa batas, Yang Esa Yang Maha Mengetahui keadaan mereka yang membacanya . Barangsiapa menggunakan apa yang terdapat dalam hizb ini atau membacanya berserta dengan kesempurnaan iman akan mencapai matlamatnya, tetapi barangsiapa membacanya atau menggunakan kelebihannya sedangkan ianya menentang Allah tidak akan memperolehi apa-apa melainkan bebanan dan kerosakan. Aku sertakan sebahagian daripada kelebihan hizb yang agung ini, berdasarkan kepada kemakbulannya yang tidak pernah gagal bagi yang memiliki hati yang tulus. Antara manfaatnya ialah:
[al-Faqir Fusus: al-Damuni meneruskan dengan menyatakan beberapa kelebihan yang diperolehi kemudian al-Damuni menyambung]
Kami telah nyatakan sebahagian daripada manfaanya, kesemua keberhasilan ini hanya terbit melalui al-anfas (nafas-nafas)
[al-Faqir Fusus: al-anfas suatu terma yang juga digunakan untuk merujuk kepada bau nafas yang menunjukkan kehampiran dengan Allah – Syeikh Ibn ‘Arabi menulis bilamana ahlillah menghidu keharuman al-anfas (nafas-nafas) ini ….mereka segera mengenali orang Ilahi yang memiliki sir (rahsia) yang dicari oleh mereka dan pengetahuan yang ingin mereka capai….(di lain kali insyaAllah mungkin boleh ditambah dengan kisah Syeikh Abdul Qadir Jilani yang dapat mengenal pasti martabat seseorang berdasarkan bau nafas (dengan menghidu) ]
Yakni dengan menerimanya daripada al-sada al-akyas (tuan bagi hikam?). Bagi sesiapa yang tidak memiliki ‘nafas rohani’, ianya seumpama membina tembok tanpa asas. Bagaimanapun , jika dia tidak menemui seseorang yang kamil, dia harus mengikhlaskan niatnya dalam urusan ini, dan kemungkinan dia akan menemui sebahagian daripada manfaatnya, sekira niatnya baik. Apa yang kami nyatakan adalah mencukupi bagi mereka yang mencari, dan manfaatnya adalah tidak tersembunyi bagi seseorang yang kamil.
[al-Faqir Fusus: al-Dawr al-‘Ala merupakan sebahagian daripada sekian banyak yang terkandung dalam tarikat al-Akhbariyyah atau al-Hatimiyyah Syeikh Ibn ‘Arabi. Syeikh Ahmad al-Qushashi telah dikenalpasti sebagai penyambung kepada satu-satu nya ‘pewaris sanad’  bagi ‘khirqa Akhbariyyah’, dan di alam melayu murid Syeikh Ahmad al-Qushashi iaitu Syeikh Abdul Rauf Ali al-Fansuri al-Singkili yang menjadi murid beliau selama dua puluh tahun merupakan ‘pewaris sanad’ khirqa Akhbariyah. Berikut ialah contoh silsilah al-Dawr al-‘Ala atau tarikat Akhbariyyah di alam Melayu yang disambung dari sanad yang disusun oleh Prof Suha Taji Farouqi. Sanad tersebut tidak dipanjangkan sehingga ke masa kini kerana faqir tidak mendapat keizinan untuk membukakannya, di samping bimbang ada yang membuat peniruan dan mengambil kesempatan, sanad tersebut juga tidak ditingkatkan sehingga kepada Rasulullah s.a.w. Jadi sanad yang dibukakan DIHADKAN seperti berikut sebagai suatu makluman akan kewujudan hal ini di alam Melayu]




Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Jawapan Soalan 101

Sunday, March 20, 2011


Soalan: Apakah itu sujud?

Jawapan: Setiap sesuatu yang sujud menyaksikan akan ‘akar’ dirinya yang hilang daripadanya apabila dia menjadi dahan. Apabila sesuatu itu dijauhkan daripada akar (dengan) menjadi dahan, dikatakan kepadanya, “Carilah apa yang hilang daripadamu, akarmu yang daripadanya kamu terbit.” Maka sesuatu itu sujud ke bumi yakni (kepada) akarnya. Roh sujud kepada al-Roh al-Kull (roh semesta) yang daripadanya ia terbit. Sirr yang paling dalam sujud kepada Rabbnya yang melaluiNya ia mencapai martabatnya.

Semua ‘akar’ adalah ghaib (tidak kelihatan). Tidakkah kamu melihat bagaimana akar menzahirkan dirinya pada pepohon? Akar pohon tidak kelihatan, kerana perlakuan ‘menjadikan’ (takwin) adalah tidak kelihatan. Tiada seorang pun yang menyaksikan benih jadi di dalam rahim ibunya, oleh itu ianya adalah tidak kelihatan. Sesetengah haiwan jadi di dalam (cengkerang) telur; apabila haiwan tersebut sempurna, cengkerangnya pecah. ‘Akar’ kewujudan benda-benda adalah al-Haq, dan Dia ghaib (tidak kelihatan) daripada mereka.

Raja disanjung kerana yang lain berdiri di bawahnya. Raja memiliki ketinggian dan kehebatan. Demikian, apabila seseorang yang di bawahnya menghadapnya, dia menundukkan diri di hadapan raja, dikatakan “kedudukan ku dinisbahkan kepada mu adalah kerendahan di bandingkan dengan ketinggian.” Orang ramai mengambil kira (kedudukan) seorang raja berdasarkan kedudukan dan martabat, bukan berdasarkan kemanusiaannya, kerana mereka adalah bersamaan dengannya dari segi kemanusiaan.

Malaikat sujud kepada martabat ilmu. Sujud mereka adalah pada ucapan “kami tidak memiliki pengetahuan” (Quran 2:32), oleh itu mereka tidak tahu.

Bayang-bayang sujud kerana menyaksikan semua yang diluar daripada dirinya, objek (yang melemparkan baying-bayang). Bayang bagi objek terlindung daripada cahaya oleh ‘akar’ tempat terbitnya, jika tidak sudah tentu cahaya akan menfanakannya (menghilangkannya). Demikian baying-bayang tidak kekal dalam wujud melainkan melalui wujudnya ‘akar’. Demikian al-alam tidak kekal melainkan melalui Allah

Apabila hati sujud, ia tidak akan bangun semula, kerana sujudnya adalah pada asma’ Ilahi – bukannya Dzat – kerana asma’ yang menjadikannya ‘qolbu’ (qalb); asma’ menjadikannya berbolak-balik daripada satu keadaan kepada satu keadaan di dunia dan akhirat. Kerana itulah ia dinamakan ‘qolbu’ (qalb).

[al-Faqir Fusus : Hati (qolbu) dinamakan sedemikian kerana salah satu makna bagi qalb ialah berbolak balik, Hadis: Abu Musa al-Ansari menceritakan kepada kami, Muadz bin Muadz memberitahukan kepada kami dari Abi ka’ab pemilik kain sutera berkata: Syahr bin Hausyab menceritakan kepada kami dia berkata: Aku berkata kepada Ummi Salamah: “Ummul Mukminin! Apa doa yang sering di baca oleh Rasulullah s.a.w. jika beliau berada di sisimu?” Dia berkata: “Doa yang sering dibaca Beliau adalah: "Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, tetapkan hatiku atas agama Mu."

Dia berkata: lalu aku bertanya: “Wahai Rasulullah mengapa doamu yang paling sering adalah: "Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, tetapkan hatiku atas agama Mu."

Beliau bersabda: “ Sesungguhnya tidak ada manusia melainkan hatinya berada di antara dua jari dari jari-jari Allah: Barang siapa dikehendaki Allah, maka Dia menetapkan hatinya atas agamanya dan barang siapa dikehendaki Allah, maka Dia menjadikan ia menyimpang dari agamanya”. Lalu Muadz membaca ayat: Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau buat hati kami menyimpang setelah Engkau memberi petunjuk kepada kami (Quran 3:8).”

Dalam bab ini terdapat hadis dari Aisyah dan An Nawas bin Sam’an dan Anas dan Jabir dan Abdillah bin Amr. Hadis ini adalah hadis Hasan]

Apabila al-Haq menzahirkan DiriNya kepada qolbu sebagai sebab bagi berbolak-balik, dia melihat dirinya berada dalam genggaman Dia yang membolak-balikkannya. Dan Dia adalah asma’ Ilahi, yang mana tiada ciptaan yang terpisah (daripadanya). Asma’ menguasai makhluk. Qolbu dia yang menyaksikan asma’ akan sujud kepadanya, tetapi qolbu yang tidak menyaksikan asma’ tidak akan sujud; dialah yang membuat dakwaan (mudda’i) dengan berkata ‘Aku’ pada hari akhirat perhitungan dan soal jawab akan ditujukan kepada dia yang memiliki sifat sedemikian, begitu juga dengan siksaan, jika dia disiksa. Dia yang qolbunya sujud tidak memiliki dakwaan, oleh itu dia tidak punya perhitungan, soal jawab, atau siksaan

Demikianlah tiada keadaan lebih mulia daripada keadaan sujud, kerana ianya merupakan keadaan yang mencapai kepada kearifan ‘akar’. Dan tiada sifat lebih mulia daripada arif kerana ia menuntun kepada sa’ada di dua negeri dan keselesaan di dua maqam.


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Jawapan Soalan 103

Monday, February 28, 2011

[ Fusus: Soalan ke 103 dari Syeikh al-Hakim al-Tirmidzi adalah berlandaskan hadis Nabi s.a.w. “al-‘Izzah (keagungan) itu pakaian Ku, dan Kibriya’ (kemegahan) itu selendang Ku. Barangsiapa yang menanggalkan keduanya dari Ku akan mendapat azab (seksaan)” – Riwayat Muslim dari Abu sa’id dan riwayat Samuwaih dari Abu sa’id dan juga riwayat Tabrani dari ‘Ali r.a. Jawapan ini menjelaskan bahawa makhluk adalah berhubungan dengan kerendahan yang merupakan lawan bagi ‘Izzah, dan hanya al-Haq yang layak memakai ‘Izzah kerana Dia lah wujud al-mutlaq. ]
Soalan: Apakah perkataan Nya, “ Izzah (Keagungan) itu sarung Ku”?
Jawapan: Al-Haq merahmati hamba Nya apabila Dia menyeru mereka untuk mengenali Nya melalui tanazzul (penurunan) untuk memberikan mithal kepada mereka supaya dengan itu mereka memperolehi pengetahuan daripada Nya dalam ukuran yang dikehendaki oleh Nya. Contohnya, seperti, firman Nya, mithal cahaya Nya, seperti sebuah lubang di dinding rumah, di dalamnya ada pelita (Quran 24:35). Ini kerana firman Nya, Allah cahaya langit dan bumi (Quran 24:35) di mana Dia menjadikan Diri Nya cahaya, kerana ianya adalah predikat bagi subjek, iaitu, sifat Nya. Huwiyya (KeDiaan) Nya adalah cahaya merujuk kepada hakikat bahawa Dia adalah Allah, cahaya. Tetapi apa hubungannya cahaya bagi lampu dengan firman Nya, Allah cahaya?
Samalah juga dengan khabar, bahawa apabila berkata-kata melalui wahyu ianya seumpama “gemerincing loceng (genta)” Apa hubungannya perkataan al-Haq dengan gemerincing loceng?
[ Fusus: Hadis dari Aisyah r.a bahawasanya Harits bin Hisyam r.a. bertanya kepada Rasulullah s.a.w “Wahai Rasulullah, bagaimanakah datangnya wahyu kepada Engkau?” Rasulullah menjawab: “Kadang-kadang wahyu itu datang kepada ku bagaikan gemerincingnya loceng (genta) dan itulah yang paling berat atas ku, lalu terputus daripada ku dan aku telah hafal daripadanya tentang apa yang dikatakan. Kadang-kadang malaikat bermithal sebagai laki-laki datang kepada ku lalu ia berbicara kepada ku maka aku hafal apa yang dikatakannya” Aisyah r.a berkata: “Sungguh saya melihat beliau ketika turun wahyu kepada beliau di hari yang sangat dingin dan wahyu itu terputus dari beliau sedang dahi beliau mengalir keringat” - diriwayatkan Bukhari ]
Demikianlah juga perkataan Nya, “’Izzah itu pakaian Ku”. Demi hamba Nya, Dia letakkan Diri Nya pada manzil seseorang yang menerima kelayakan melalui pakaian. Apa yang Dia berkehendak untuk mereka tahu mengenai Diri Nya dalam kesempurnaan ini (adalah) bersesuaian dengan pakaian dan apa yang ditabir oleh nya.
Ketahuilah sarung dipakai atas tiga urusan – pertama, sebagai perhiasan; kedua, sebagai perlindungan dan ketiga, sebagai tabir (sitr). Di antara yang tiga ini, apa yang dimaksudkan dalam khabar ini adalah khusus perlindungan. Ini ditunjukkan oleh perkataan ‘Izzah. Di sini ‘Izzah menuntut kepada kemustahilan untuk mencapai Diri Nya, disebabkan oleh ‘sarung’ yang melindungi daripada dilihat oleh mata.
‘Izzah terlarang melalui ketidaksampaiannya, oleh itu hakikatnya ia tidak boleh menjadi sifat bagi sebarang makhluk atau benda baharu, kerana khuduk (kerendahan diri) merupakan teman sejati bagi makhluk dan benda baharu, dan khuduk berlawanan dengan ‘Izzah. Demikian, bilamana al-Haq mengenakan sarung ‘Izzah akal rasional terhalang daripada mengenalpasti penerimaan ‘ain akan pengurniaan wujud, yang dengannya mereka menjadi layak dan melaluinya mereka menjadi berjarak pada diri mereka. Demikian tiada suatu pun yang terpisah daripada Allah dapat mengetahui bentuk pengurniaan wujud oleh Nya atau penerimaannya, tidak juga bagaimana benda-benda menjadi mahall penzahiran al-Haq, tidak juga bagaimana ianya dinyatakan melalui wujud – kerana dikatakan mengenainya, “benda wujud”, tetapi ianya biasa dipanggil “benda ‘adum” (tidak memiliki wujud).
Demikian al-Haq berkata, “’Izzah itu sarung Ku”, iaitu, ianya suatu tabir ke atas apa yang dijangka dapat dimiliki oleh jiwa.
Kerana itulah Dia berkata, “Barangsiapa menanggalkan keduanya dari Ku, akan mendapat azab (seksaan)”. Dia khabarkan bahawa Dia takluk atas sifat sedemikian yang hanya layak bagi Nya – seperti ‘Izzah, ‘Azama (kebesaran, kehebatan) dan Kibriya’ (kemegahan). Oleh itu ‘Izzah merupakan qudrah yang menguasai yang kamu dapati menghalang tanggapan sirr yang melaluinya al-alam menjadi terzahir.


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Syeikh al-Hakim al-Tirmidhi (2)

Wednesday, February 16, 2011


Al-Hakim al-Tirmidzi telah menyenaraikan sebanyak 157 soalan yang hanya dapat dijawab, sepertimana kata beliau, oleh khusus al-khusus di kalangan awliya Allah. Soalan-soalan al-Hakim al-Tirmidzi dibentuk sebagai satu ‘pengujian’ untuk memisahkan antara muhaqqiqun di kalangan sekian ramai yang berpura-pura memiliki hikmah pengetahuan tersebut yang wujud pada setiap zaman.

Pada tahun 603 hijrah iaitu setelah tiga ratus tahun soalan-soalan tersebut diajukan, sebuah kitab bertajuk “al-Jawab al-Mustaqim ‘amma sa’ala ‘anhu Tirmidhi al-Hakim” (Jawapan yang mustaqim atas soalan-soalan al-Hakim al-Tirmidzi) menyelesaikan setiap persoalan yang diajukan lebih tiga ratus tahun lalu, dan dengan ini membenarkan perkataan Syeikh al-Hakim al-Tirmidzi “hanya dapat dijawab oleh khusus al-khusus di kalangan awliya Allah”.

Antara soalan-soalan dalam kitab Khatm al-Awliya ialah:-

  1. Di manakah manazil ahli qurbah?
  2. Di manakah maqam ahli hadis dan majalis ?
  3. Apakah permulaan wahyu ?
  4. Apakah permulaan roh ?
  5. Apakah permulaan sakinah ?
  6. Apakah al-‘adl ?
  7. Apakah maksud hadis : Allah menciptakan makhluk dalam zulmat (kegelapan) ?-[Fusus : Hadis penuh Al-Hasan bin Arafah menceritakan kepada kami, Ismail bin Ayyasy memberitahukan kepada kami, dari Yahya bin Abi Amr Asy Syaibani dari Abdullah bin Ad Dailami berkata : Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : Sesungguhnya Allah Yang Maha Suci dan Maha Tinggi menciptakan makhluqNya dalam zulmat (kegelapan), lalu Dia melemparkan cahayaNya atas mereka. Barangsiapa terkena cahay itu, maka ia memperoleh petunjuk, dan barangsiapa luput dari cahaya itu maka ia tersesat, kerana itu aku bersabda : Pena telah kering atas pengetahuan Allah (Hadis ini adalah hadis hasan)]
  8. Apakah sifat Adam a.s.?
  9. Apakah al-fitrah?
  10. Di manakah khazanah minna ?
  11. Apakah al-hadis ?
  12. Apakah al-wahyu ?
  13. Bagaimanakah tingkatan awliya dan ambiya pada yaumul ziyarah ?
  14. Apakah bahagian yang di miliki oleh al-‘amma (orang awam) dalam menyaksikan Nya (pada yaumul ziyarah)?
  15. Apakah maqam al-mahmud?
  16. Berapakah juzuk al-nubuwwa?
  17. Apakah nubuwwa?
  18. Berapah juzuk al-siddiqin?
  19. Apakah sakinah al-awliya?
  20. Apakah bahagian yang di miliki oleh orang mukmin berdasarkan firmanNya: "Dia Yang Awal dan Yang Akhir, Yang Zahir dan Yang Batin"? (57:3)
  21. Apakah bahagian yang di miliki oleh orang mukmin berdasarkan firmanNya: "Setiap sesuatu akan binasa kecuali wajahNya"? (28:88)
  22. Apakah itu sujud?
  23. Apakah itu taj al-malik?
  24. Apakah keagungan wajah?
  25. Apakah makna zikir berdasarkan firmanNya: Walazikrullahiakbar? (29:45)
  26. Apakah makna zikir berdasarkan firmanNya: " Maka zikirlah kamu kepada Ku, nescaya Aku ingat kepada mu"? (2:152)
  27. Apakah perkataan Nya : Sombong itu selendang Ku? [Fusus: Hadis qudsi- “Sombong itu selendang-Ku dan keagungan adalah sarung-Ku. Barangsiapa merampas salah satu darinya, Aku lemparkan dia ke Neraka Jahannam.” (Riwayat Abu Daud)]
Kitab Khatm al-Awliya telah lama dianggap hilang dan hanya diketahui mengenainya melalui kitab al-Jawab al-Mustaqim ‘amma sa’ala ‘anhu Tirmidzi al-Hakim dan beberapa petikan daripada kitab Khatm al-Auliya dalam Futuhat al-Makiyya Syeikh Ibn ‘Arabi. Bagaimanapun dengan rahmat Allah dua manuskrip tulen akhirnya ditemui di Istanbul antara tahun 1963 dan 1965 dan dengan ini membolehkan cetakan moden dibuat berdasarkan manuskrip tersebut.

Bersambung InsyaAllah dengan tajuk lain – Jawapan bagi soalan yang ke 103.


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Syeikh al-Hakim al-Tirmidhi

Tuesday, February 8, 2011

Kurun ketiga hijrah melahirkan ramai tokoh-tokoh kerohanian Islam yang terkenal seperti Syeikh al Harith al-Muhasibi, Syeikh al-Junayd, Syeikh Abu Bakr al-Shibli, dan Syeikh Abu Yazid al-Bistami. Kurun yang sama juga menyenarai kan wali dari Tirmidh Muhammad b. ‘Ali b. al-Hasan b. Bishr b. Harun al-Tirmidhi di kenali dengan panggilan al-Hakim al-Tirmidhi yang walaupun mungkin kurang dikenali berbanding yang lain, namun merupakan seorang penulis yang prolifik. Syeikh lahir sekitar tahun 205 dan 215 hijrah dari kalangan keluarga yang mempelajari hadis Nabi s.a.w. Ayah beliau seorang tokoh hadis yang tetap pada bidang periwayatan hadis. Dalam karya-karya beliau al-Tirmidhi banyak meriwayatkan hadis yang bersumber dari ayahnya, bahkan ibunya juga seorang ahli hadis. Al-Tirmidhi beberapa kali meriwayatkan hadis dari jalur ibunya. Ketika berumur dua puluh lapan tahun syeikh musafir ke Mekah bagi menunaikan haji. Telah menjadi kebiasaan bagi mereka yang seumpama beliau, syeikh mengumpulkan hadis ketika musafir. Menulis hampir enam puluh tajuk yang berbeza sepanjang hayat beliau. Antara hasil tulisan al-Hakim al-Tirmidhi ialah:
Nawadir al-Usul: Sebuah penulisan yang tidak menumpu pada satu tema pada keseluruhan strukturnya. Sebaliknya satu hadis yang tertentu diambil dan tafsiran bagi hadis tersebut memulakan isi penulisan yang luas. Kitab tersebut sarat dengan sudut pandangan ‘ilm al-batin.
'Ilal al-Syari’a: memaparkan kewajipan agama menurut syariat berdasarkan hadis-hadis tauhid-syariat.
'Ilm al-Auliya’: Mengkisahkan ilmu para awliya’; mengenai huruf dan Nama (Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar".Quran 2:31), pembahagian ilmu, ubudiyya (kehambaan), zikir, makna dan perbezaan solat malaikat dan solat manusia dan jin (betapa banyak kurniaan kerohanian, bukaan tawhid, makrifat, kurniaan berkah yang terlepas dek kerana meninggalkan solat), makna tasbih (mensucikanNya), makrifat dan lain-lain.
Khatm al-Auliya’: Akan diperncikan kemudian.
Manazil al-‘Ubbad min al-‘Ibadah: Syeikh al-Hakim al-Tirmidhi memulakan tulisan dengan “Hanya kepada Allah kami berserah diri dan memohon segala perlindungan. Selawat dan salam semoga tercurah kepada Nabi Muhammad s.a.w, penutup segala Rasul. Juga kepada seluruh keluarga dan para sahabat Baginda. Segala puji bagi Allah, Rabb semesta alam. Mereka bertanya kepada ku peringkat bagi ahli ibadah. Kemudian aku menjelaskan kepada mereka beberapa peringkat ahli ibadah berlandaskan al-Quran dan hadis. Tiada daya dan kekuatan kecuali semuanya bersumber dari Allah SWT”.
Dimulakan dengan peringkat pertama iaitu taubat kepada Allah (InsyaAllah, akan saya sentuh mengenai tajuk ini berserta dengan seratus lima puluh maqam taharah), dan di akhiri dengan peringkat ketujuh dan terakhir iaitu Qurb (hampir) kepada Allah.
Keahlian al-Tirmidhi dalam menghafal dan memahami al-Quran serta kedalaman ilmu beliau dalam bidang hadis tidak diragukan lagi. Kita dapat temui al-Quran dan hadis menjadi kekuatan, hujah, sikap dan buah fikiran dalam karya beliau. Syeikh meninggal pada usia yang lanjut di awal kurun keempat hijrah. Menurut murid beliau Abu Bakr al-Warraq, syeikh merupakan murid al-khidir a.s. (InsyaAllah akan dikemukakan secara isyarat pada suatu tajuk yang lain bagaimana menentukan ketulenan khidir a.s. berdasarkan hadis Nabi s.a.w.-suatu kemungkinan dan bukan janji untuk menulis mengenai hal ini ) yang selalu menziarahi beliau setiap ahad.
Berbalik kita kepada perincian kitab Khatm al-Auliya’ yang menjadi niat bagi saya mengemukakan  tajuk kali ini.
Kitab Khatm al-Auliya’ dengan dua puluh sembilan babnya, persoalan mengenai khatm al-awliya’ muncul pada bab kelapan, berulang pada bab ketiga belas, dan menjadi teras bab kedua puluh lima. Suatu penulisan yang menakjubkan , yang mengambil bentuk dialog yang berliku-liku antara al-Tirmidhi dan salah seorang pengikut beliau, adalah yang pertama dan terpenting, menjadi rekod perjalanan kerohanian yang kebijaksanaannya diselubungi oleh nada kendiri. Persoalan mengenainya dinyatakan pada perenggan pertama:
Kamu telah menyatakan mengenai perdebatan yang tercetus dikalangan sesetengah orang mengenai walaya, mengenai manazil (tempat akhir berkumpul) bagi awliya’, mengenai kesan bagi orang yang mempercayai pendapat mereka (orang yang berdebat), kamu bertanya samada wali menyedari atau tidak maqam dirinya, kerana kamu telah mendengar perkataan bahawa mereka yang memiliki walaya tidak menyedari akannya. Akhirnya, kamu bertanya mengenai mereka yang menyangka bahawa mereka memiliki walaya sekalipun mereka sebenarnya jauh daripadanya. Ketahuilah, hakikatnya, mereka yang bercakap mengenai walaya tidak mengetahui apa pun jua mengenainya. Mereka cuba mencapainya melalui pengetahuan zahir, dan mereka hanya menyatakan pendapat peribadi mereka atau sebaliknya bergantung pada kekeliruan tamsilan. Orang yang sebegini tidak mendapat nikmat berserta Rabbnya. Mereka tidak memiliki kunci manazil bagi walaya dan tidak mempunyai pengetahuan akan cara bagaimana Allah mengendalikannya".
Bagi al-Hakim al-Tirmidhi adalah menjadi teras untuk tidak terkeliru antara wali haqq Allah dengan wali Allah haqqan. Ini merupakan dua maqam kerohanian, yang satu berasaskan siddiq yang melibatkan penyerahan penuh pada semua kewajiban agama zahir dan batin, terbit dari hubungan antara hamba dan Rabb. Yang satu lagi berasaskan minna. Menurut al-Tirmidhi salah satu daripada sekian banyak ciri-ciri ketulenan walaya, atau kepastian ketulenannya ialah sakina.
Kitab Khatm al-Auliya’ bagaimanapun mengandungi satu bab yang lebih misteri lagi. Siri soalan yang panjang memenuhi bab ke empat. Mencabar dakwaan dari mereka “yang bercakap seperti awliya’ ” tanpa memiliki kelayakan-kelayakan yang sepatutnya, seratus lima puluh tujuh soalan-soalan dikemukakan tanpa diberi jawapan dan komentar. Selama tiga kurun tiada sesiapa pun yang melepasi  ujian tersebut yang di utarakan oleh wali dari Tirmidh kepada sesiapa jua yang merasai dirinya layak memiliki sirr (rahsia) walaya.
Bagaimanapun kitab Khatm al-Auliya’ tidak ditemui dan dianggap hilang oleh generasi selepas Syeikh al-Hakim al-Tirmidhi.
Bersambung InsyaAllah.


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Makar (4)

Tuesday, February 1, 2011

[Fusus: Ciri-ciri makr bagi golongan khusus al-khusus sukar untuk kita lihat saban hari, kerana ia berhubungan dengan perkara 'mencarik adat' yang nyata berjasad terjadi, bukan hanya dalam khayal. Kalau pun mungkin ada kita dengari tetapi kejadian tersebut tidak nyata berjasad (huraian di sini). Kejadian mencarik adat yang dimaksudkan sebagai makr di sini ialah yang tidak melalui perintah dari Allah]

Makr Allah yang berlaku ke atas ‘khusus al-khusus’ pula, terletak pada menzahirkan tanda-tanda dan mencarik adat tanpa perintah daripada Allah atau di luar lingkup yang merupakan neracanya. Awliya diarahkan untuk menyembunyikan perkara ini, sebagaimana Rasul-rasul diarahkan untuk menzahirkannya. Apabila awliya diberikan kemampuan untuk memperlihatkannya dan ‘ayn al-tahkim dalam al-alam akan dikurniakan kepadanya, dia boleh jadi di makr kerana kekurangan bahagian daripada apa yang dikurniakan kepada awliya yang lain dan kerana Allah menghendaki perkara tersebut daripadanya. Allah menempatkan kepada insan tersebut keperluan untuk menzahirkan tanda-tanda ini dengan suatu cara yang mana dia tidak menyedari bahawa ini merupakan suatu makr Ilahi yang menunjukkan kepada kekurangan (bagi dia) bahagian (yang dikurniakan kepada awliya yang lain).
Demikian dia diilhamkan dalam jiwanya untuk menzahirkan tanda-tanda sebagai suatu kebaikan untuk menarik makhluk kepada Allah, untuk mengeluarkan orang yang lemas daripada lautan maksiat, dan untuk menjauhkan daripada kebiasaan mereka. Kerana ini merupakan salah satu tanda-tanda yang terbesar yang dengannya manusia terpanggil kepada Allah, kerana itulah ianya menjadi sifat bagi rasul-rasul dan nabi-nabi. Orang ini melihat dalam dirinya bahawa dia merupakan salah seorang pewaris dan bahawa tanda-tanda ini salah satu daripada pewarisan daripada ‘hal’. Ini menghalangnya daripada menyembunyikan tanda-tanda ini yang menjadi mandat daripada Allah (untuk menyembunyikan tanda-tanda) sebagai adab awliya. Sekalipun mereka memiliki kekuasaan ke atasnya. Ia menyembunyikan daripadanya hakikat bahawa Allah menjadikan penzahiran tanda-tanda sebagai wajib bagi rasul-rasul kerana, dari awal, mereka diarahkan untuk menyeru kepada Allah, sedangkan awliya tidak seperti itu. Awliya hanya menyeru kepada Allah dengan mengkhabarkan seruan dan lidah rasul-rasul. Dia tidak menyeru melalui kemurnian kalam yang berkata kepadanya sebagaimana berkata-kata kepada rasul.

Oleh itu rasul ‘atas basirah’ dalam menyeru kepada Allah melalui hukum syariat yang disampaikan oleh Allah kepadanya, tetapi awliya adalah ‘atas basirah’ dalam menyeru kepada Allah melalui adab sebagai pengikut, tidak melalui kemurnian kurniaan syariat. Demikian dia (awliya) tidak memerlukan kepada tanda-tanda atau bukti yang nyata, kerana jika dia mengucapkan sesuatu yang bercanggah dengan syariat rasul, tiada seorang pun yang akan mengikutinya, tidak jua dia atas basirah. Oleh itu tiada keperluan (baginya) menzahirkan tanda-tanda.
Keadaannya berbeza dengan rasul, kerana rasul mengesahkan syariat dan memansuhkan sebahagian syariat yang disahkan melalui tangan rasul yang sebelumnya. Demikian dia mesti menzahirkan tanda-tanda dan alamat-alamat yang akan menjadi bukti kebenaran ucapannya apabila dia berkata yang dia membawa khabar dari Allah untuk membatalkan syariat yang disahkan oleh Allah melalui lidah rasul yang sebelumnya dan mengumumkan berakhirnya jangka masa dalam persoalan hukum.
Tetapi awliya , disebalik ciri-ciri khususnya, mungkin meninggalkan sesuatu yang wajib (iaitu tidak menunjukkan tanda-tanda) dan hasilnya dia menjadi tidak sempurna dalam martabatnya berdasarkan sejauh mana perkara tersebut, yang mungkin dikurniakan kepadanya jika dia memperhatikan dan bertindak bersesuaian dengan perintah yang wajib tadi.
Tiada apa yang merosak bagi hamba selain mentakwil benda-benda. Semoga Allah menempatkan kita ‘atas basirah’ dalam urusan kita dan tidak membenarkan kita melanggar hukum yang dituntut oleh maqamat kita! Aku bermohon kepada Allah supaya Dia menyediakan buat kita dengan maqamat yang tertinggi di sisi-Nya yang dimiliki oleh awliya yang tertinggi, kerana pintu kerasulan dan kenabian terpateri mati, dan adalah bersesuaian bahawa tiada sesiapa pun dalam alam meminta sesuatu yang mustahil. Selepas perkhabaran Ilahi, pintu ini terpateri mati, oleh itu adalah tidak wajar bahawa kita memohon akannya. Memohon akannya adalah umpama ‘mencanai waja yang sejuk’, oleh itu tiada mukmin yang meminta perkara sebegini. Ini amat diketahui. Adalah mencukupi bagi awliya bahawa dia meminta kepada Allah untuk menempatkannya ‘atas basirah’ dalam menyeru kepada Allah merujuk kepada apa yang perlu oleh maqam awliya dan (sebagai) pengikut. Sebagaimana Dia menjadikan rasul menyeru kepada Allah ‘atas basirah’ merujuk kepada apa yang perlu oleh maqam kerasulan dan pengurniaan syariat.
Semoga Dia menyelamatkan kita daripada makr Nya dan tidak menempatkan kita di kalangan ahli al-naqs (golongan yang tidak sempurna)! Semoga Dia mengurniakan kita dengan penambahan (mazid) dan peningkatan (taraqqi) di dunia dan akhirat!


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Makar (3)

Sunday, January 23, 2011

[Fusus: Golongan ‘al-khusus’ (mengekalkan terma yang digunakan oleh Syeikh Ibn ‘Arabi) – adalah golongan yang memiliki asas dan tidak terlintas bahawa mereka tidak lagi memerlukan syariat, sebagaimana perkataan Syeikh Ibn ‘Arabi di bahagian yang lain dalam Futuhat; “Salik yang tidak benar-benar memiliki asas mungkin berfikir dia tidak lagi memerlukan syariat” . Namun al-khusus di sebalik memiliki asas yang kuat  masih tidak terlepas daripada makr]
Makr Allah kepada ‘al-khusus’ adalah tersembunyi melalui Dia mengekalkan 'hal' mereka di sebalik kebiadaban mereka. Kebiadaban ini ialah mereka merasa lazat pada hal dan terhenti disitu. Ini menyebabkan meningkatnya keangkuhan pada insan yang memiliki hal tersebut, gangguan menuju kepada Allah, dan gagal mencari peningkatan daripada hal tersebut. Allah berfirman kepada Rasul Nya, “"Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku" (20:114), dan Dia membenarkan kita mendengarnya semata-mata untuk menyedarkan kita, supaya dengan itu kita akan ucapkannya dan mencari peningkatan daripada Allah. Jika ini hanyalah khusus untuk Rasul, Dia tentu tidak akan membenarkan kita mendengarnya atau Dia akan menyatakan bahawa ucapan tersebut hanya khusus buatnya (Rasul).
Hal memiliki kelazatan dan kemanisan dalam jiwa, dan hasilnya sesetengah jiwa mendapati sukar untuk beralih daripada hal yang akan memberikannya (dengan peralihan tersebut) peningkatan (kepada) hal (yang baru). Sebaliknya, mereka hanya mengingini peningkatan dalam hal tersebut sahaja. Mereka alpa akan hakikat bahawa hal tersebut merupakan suatu anugerah.
Bersambung dengan makr Allah bagi golongan khusus al-khusus.


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Makar (2)

Saturday, January 15, 2011

[Fusus: Setelah mengetahui takrif Qurb (kehampiran) dilanjutkan dengan keutamaan ilmu pengetahuan yang membezakan antara golongan bahagia (sa’ada) dan golongan sengsara]
Jika seseorang menetapkan dalam dirinya suatu objek sembahan yang disembah melalui zann (sangkaan) tidak dengan kepastian (qat’), ini tidak sedikit pun bermanfaat baginya terhadap Allah, Allah berfirman "Tiada bagi mereka pengetahuan tentang demikian itu; Mereka tidak mengikut kecuali sangkaan sahaja. Sesungguhnya sangkaan itu tidak bermanfaat sedikit pun untuk (menetapkan) kebenaran (Quran 53:28).
Mengenai penyembahan mereka Dia berfirman “Benda-benda yang kamu sembah itu tidak lain hanyalah nama-nama yang kamu dan datuk nenek kamu menamakannya. Allah sekali-kali menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Mereka yang berbuat demikian, tidak menurut melainkan sangkaan-sangkaan dan apa yang diingini oleh hawa nafsunya. Padahal demi sesungguhnya telah datang kepada mereka petunjuk dari Tuhan mereka.” (Quran 53:23)
Allah mensifatkan kepada mereka, bahawa penyembahan mereka kepada selain Allah hanyalah melalui zann (sangkaan), tidak melalui ilmu pengetahuan, kerana pada hakikatnya, perkara tersebut tidak mungkin suatu (bentuk) ilmu pengetahuan.
Demikian  kamu mengetahui bahawa ilmu pengetahuan merupakan sebab bagi keselamatan (najat). Jika seeorang harus menjadi sengsara pada tariq, akhirnya dia kan mencapai keselamatan. Jadi betapa mulianya darjat ilmu pengetahuan! Kerana itulah Allah tidak mengarahkan Rasul Nya untuk mencari peningkatan pada yang lain melainkan ilmu pengetahuan, kerana Dia berkata kepadanya, “Katakan: Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku!” (Quran 20:114). Dia yang memahami isyarat kami akan mengetahui pembezaan antara golongan bahagia dan golongan sengsara.
[Fusus: Demikianlah sangkaan tidak layak dipanggil ilmu pengetahuan kerana tidak menuntun kembali kepada Allah melalui jalan kebahagiaan. Ilmu yang dimaksudkan bukan semata-mata secara teori. Tetapi ilmu yang disertai dengan amal kerana inilah yang dapat menyelamatkan daripada makr]

Dalam bab 231 Syeikh menulis:

Ahlillah menggunakan terma "makr" kepada berterusannya nikmat disebalik pertentangan (dengan perintah Allah), (Dia) menjadikan "hal" kekal di sebalik kebiadaban (hamba), dan penzahiran tanda-tanda (ajaib) tanpa perintah (daripada Ilahi) dan tanpa dihukum (oleh Nya).

Mengikut pandangan kami, Allah makr akan hamba Nya bilamana Dia membekalkannya pengetahuan yang menuntut kepada amal, dan kemudian menjauhkannya daripada amal tersebut; atau Dia membekalkan dengan amal, dan kemudian menjauhkannya daripada ikhlas dalam beramal. Bilamana kamu perhatikan ini dalam diri kamu atau mengenalpastinya pada seseorang yang lain, ketahuilah bahawa dia yang memiliki sifat sebegini merupakan alat bagi makr.

Ketika aku di Baghdad pada tahun 608 Hijrah, aku melihat dalam suatu peristiwa bahawa langit terbuka dan gudang bagi makr Ilahi turun umpama hujan di merata-rata. Aku mendengar malaikat berkata, "Makr apakah yang turun malam ini!" Dan aku terjaga dalam ketakutan. Aku mengenalpasti jalan keselamatan daripadanya (makr), dan aku tidak menemuinya melainkan dalam pengetahuan yang di tetapkan oleh neraca syariat. Oleh itu jika sesiapa berkehendak bahawa Allah mengurniakannya kebaikan dan melindunginya daripada bencana makr, janganlah sesekali neraca syariat terlepas dari pegangannya!

Bersambung dengan makr Allah bagi golongan al-khusus.


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO