Alam al-Amthal, Pecahan Diri, Dan Ubahan Bentuk Diri (3)

Friday, October 22, 2010


[Fusus : Ditambah sedikit dari manakib Syeikh Abdul Qadir Jilani : Suatu hari syeikh dan sebahagian murid beliau melalui sebuah padang pasir sambil berjalan kaki. Ianya berlaku dalam bulan Ramadhan dan padang pasir tersebut begitu panas. Syeikh bercerita: “Aku begitu letih dan haus. Murid-murid ku berjalan di hadapan ku. Tiba-tiba awan muncul di atas kami, umpama payung yang melindungi kami daripada panas mentari. Di hadapan kami muncul mata air yang memancar dan pohon tamar dengan buah yang masak. Akhirnya muncul cahaya, lebih terang daripada mentari dan berada tidak jauh daripada semua tadi. Suara terbit daripada arah nya (cahaya tadi) dan bekata “Wahai orang Abdul Qadir, akulah Rab mu! Makan dan minumlah kerana aku telah menjadikan halal bagi kamu apa yang aku haramkan bagi yang lain!” Murid-murid ku yang berada di hadapan ku, berkejar ke mata air untuk minum, dan ke pohon tamar untuk makan. Aku bertempik supaya berhenti, dan mengangkat kepala ke arah suara tersebut dan berkata dengan suara yang keras, “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam!”

Awan, cahaya, mata air yang memancar dan pohon tamar semuanya hilang. Iblis berdiri di hadapan kami semua dengan rupa yang hodoh. Dia berkata, “Bagaimana kamu tahu bahawa itu adalah aku?” Aku memberitahu kepada dia yang dilaknat yang terlempar jauh dari rahmat Allah bahawa Allah bukanlah suara yang didengar dengan telinga, tidak jua suara yang terbit dari luar. Selanjutnya aku mengetahui syariat Allah adalah kekal dan takluk atas semua. Dia tidak akan merubahnya, atau menukarkan apa yang haram menjadi halal kepada seseorang yang dia cintai.

Mendengar ini, iblis mencuba helahnya yang terakhir iaitu menimbulkan megah. Wahai Abdul Qadir, dia berkata “Aku telah memperdayakan tujuh puluh orang Nabi dengan helah ini. Ilmu mu adalah luas, hikmahmu adalah lebih besar daripada Rasul!” kemudian sambil menuding kearah murid-murid ku dia berlalu sambil berkata. “Adakah si tolol yang sebanyak ini yang menjadi pengikut mu? Seluruh dunia seharusnya mengikuti mu, kerana kamu adalah setara Rasul!” Aku berkata “Aku berlindung dari engkau dengan Rab yang Maha mendengar dan Maha mengetahui – kerana ianya bukan ilmu ku, tidak jua hikmah ku, yang menyelamatkan daku daripada kamu, tetapi rahmat daripada Rab ku!”]

Dia yang mengenali suara tidak akan menderita keliru dengan bentuk, tetapi amat sedikit yang mengenalpasti mereka. Oleh itu, manusia selalu tertipu akan kebenaran apa yang terzahir dari bentuk-bentuk tadi

[Fusus: Sambungan dari Futuhat].

Demikian ada sesuatu yang dikuasai oleh manusia yang tidak dikuasai oleh (makhluq) alam ghaib. Kerana ianya takluk pada keupayaan manusia merujuk kepada rohnya untuk muncul pada alam zahir dalam bentuk mithal selain daripada bentuk asalnya. Demikian manusia zahir sebagaimana kehendaknya, dalam apa jua bentuk anak Adam seperti dirinya atau dalam bentuk yang lain. Perkara ini berlaku di kalangan syeikh-syeikh.

Aku pernah membincangkan perkara ini dengan salah seorang syeikh yang mengikuti tariq Allah yang pada pandanganku seorang yang terpercaya dan jujur. Beliau berkata kepada ku: “Aku akan kisahkan apa yang aku saksikan bagi mengesahkan kata-kata mu”. Aku merupakan teman seorang syeikh yang memiliki maqam ini, sekalipun aku tidak menyedarinya. Aku diminta untuk menemaninya dalam musafir daripada Baghdad ke Mosul dalam satu pedati jemaah haji yang baru pulang. Syeikh berkata kepada ku,”Jika kau ditakdirkan untuk ikut serta, jangan pedulikan aku pada makan dan minum, tetapi tunggulah sehingga aku maklumkan pada mu. Aku pun berjanji padanya. Beliau seorang tua, oleh itu beliau menaiki pedati yang di tengah, sementara aku berjalan di belakangnya supaya beliau tidak berhadapan dengan keperluan kepada ku”.

“Kemudian syeikh jatuh sakit dan lemah di sebabkan oleh diarrhea. Ini sangat menyukarkan aku. Tetapi beliau tidak mengambil sebarang ubat yang dapat menghentikan sakit dan memberikan kerehatan kepada dirinya. Aku berkata kepada beliau,”Tuan, benarkan aku pergi menjumpai sipolan yang merupakan ketua pusat kesihatan Sinjar dan mengambil darinya ubat”. Syeikh memandang kepada ku seolah-olah aku tidak berpuashati dan berkata kepada ku,”tetaplah pada janji mu!” dan tidak menjawab permintaan ku.

Kesihatan Syeikh semakin buruk dan aku tidak mampu lagi untuk berdiam diri. Pedati berhenti pada waktu malam, unggun akan dinyalakan, dan orang ramai menjadikannya sebagai panduan untuk melalui jalan Sinjar. Ketua pusat perubatan merupakan seorang yang berkulit gelap dan orang ramai terpaksa menunggunya. Mereka yang sakit menemuinya untuk mendapatkan ubat. Aku berkata,”Tuan, tenangkanlah hatiku dan permudahkanlah daku dengan mengarahkan ku membawa pulang ubat untukmu daripada lelaki itu”. Syeikh tersenyum dan berkata kepadaku. ”Pergilah kepadanya”.

Aku pun pergi menemuinya, dan dia tidak pernah mengenaliku sebelum ini, tidak juga aku berkedudukan yang dapat menjadikan dia mementingkan diriku. Jadi aku berjalan menuju kepadanya, takut-takut dia akan menolak dan menyisihkan aku di sebabkan kesibukannya. Aku berdiri di hadapannya di kalangan orang ramai. Apabila pandangannya jatuh kepada ku, dia berdiri menghormati ku dan menjemput aku duduk. Dia menyambut ku dengan gembira, mesra serta bertanyakan keperluan ku. Aku memberitahunya mengenai keadaan Syeikh dan kesihatannya. Dia meminta pembantunya mendapatkan ubat yang terbaik. Dia meminta izin beredar sambil berkata, “Saya keletihan, dan tidak kah kamu juga dihantar kepadaku dalam keadaan sedemikian? Aku bangun untuk meninggalkan khemah dan dia juga berdiri tanda hormat dan meminta pembawa jamong mendahuluiku. Aku ucapkan selamat kepadanya setelah ia berjalan beberapa langkah bersaman ku, dan dia mengarahkan pembawa jamong untuk berjalan dihadapanku buat menyuluh jalan. Aku berkata kepadanya tidak perlulah sampai sebegitu, takut Syeikh mendapati hal ini melampaui batas. Jadi pembawa jamong pun pulang. Aku kembali dan mendapati Syeikh berada dalam keadaan yang sama sepertimana ketika aku tinggalkan beliau. Dia bertanyakan ku apa yang telah aku lakukan. Aku menjawab,” Melalui berkat mu dia memuliakan aku, sekalipun tidak pernah mengenaliku, tidak jua aku mengenalinya: Aku terangkan dengan terperinci apa yang berlaku. Syeikh tersenyum dan berkata “wahai Hamid, aku memuliakan kamu. Tanpa ragu bukanlah al-makhsi (sida-sida) itu yang memuliakan mu. Aku dapati kamu begitu mengambil berat akan daku disebabkan oleh sakit ku dan aku berkehendak meringankan fikiran mu. Oleh itu aku arahkan kau menemuinya, tetapi aku khuatir dia tidak akan mempedulikan kamu dan menolak permintaan mu, sebagaimana dia lakukan kepada orang lain, dan kamu akan pulang dengan hampa. Oleh itu aku pisahkan (tajarrud) diriku daripada jasadku (haykal) dan muncul dihadapan mu dalam bentuk dirinya melalui mithal. Aku muliakan kamu dan menghormati mu dan lakukan apa yang kamu telah lihat tadi sehinggalah kamu beredar pergi. Ini ubat kamu, yang tidak akan aku gunakan.

Aku melopong. Dia berkata kepadaku,”Jangan terburu-buru (mempercayai nya) –
[Fusus: Ini menunjukkan sikap Syeikh-syeikh yang tidak menolak untuk dibuktikan].
Pergi kembali kepadanya dan lihat apa yang akan dia lakukan terhadap mu”. Oleh itu aku kembali kepadanya dan menyapanya, tetapi dia tidak mempedulikan aku dan menolak untuk berjumpa dengan ku. Aku pun berlalu dalam keadaan tertanya-tanya. Aku kembali kepada Syeikh dan memberitahu beliau apa yang berlaku. Syeikh berkata, “Bukankah sudah aku katakan? Aku menjawab “Sungguh menakjubkan! Bagaimana tuan tukarkan diri tuan menjadi sida-sida yang hitam? Beliau menjawab, “keadaannya adalah sepertimana yang telah engkau lihat”. Kisah sebegini mengenai Syeikh-syeikh terdapat dalam jumlah yang banyak.

Ianya seakan-akan al-ilm al-simiya’
[Fusus – Ibn ‘Arabi berpendapat simiya’ terbit daripada perkataan arab ‘sima’ bermakna symbol/tanda. Suatu ilmu yang dengannya pengamal mampu menampakkan seolah-olah karamat atau perlakuan luarbiasa terjadi. Ibn ‘Arabi berkata “ dalam lain perkataan, ianya suatu simbol/tanda yang terhasil daripada tindakbalas yang terbit daripada mencantumkan huruf-huruf dan nama-nama dan perkataan-perkataan ( yang tak difahami dan berunsur pemujaan) Syeikh mengambil contoh simiya’ iaitu sihir yang dibuat oleh ahli sihir Firaun yang mampu menyilap mata orang ramai dan menjadikan orang-orang itu merasa gerun, serta mereka melakukan sihir yang besar (keadaan dan caranya). (Q 7:116) dan mampu manjadikan Musa a.s terkhayal, dengan sihir mereka, tiba-tiba tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka terkhayal kepadanya seolah-olah benda-benda berjalan, disebabkan sihir mereka bahawa tali dan tongkat mereka menjalar (Q 20:66) Ibn ‘Arabi juga menyatakan bahawa jin memberikan sesetengah orang ilmu khasiat tumbuhan, batu, nama, dan huruf – inilah ilmu simiya’ (berbeza dengan al-ilm al-huruf yang dihuraikan oleh Dhu al-Nun al-Misri, al-Hakim al-Tirmidzi, dan Ibn ‘Arabi sendiri)]

[Fusus: Mari kita teliti perbezaan antara simiya’ dengan karamat. Istilah apa pun yang digunakan samada khayal atau karamat yang penting adalah ciri-cirinya jika sesuatu perlakuan itu di istilahkan karamat tetapi bercirikan khayal maka ia tetap khayal. Begitulah juga jika sesuatu perlakuan itu diistilahkan khayal tetapi bercirikan karamat maka ianya bukanlah simiya’. Perbezaannya ialah:]

Perbezaan antara kami dalam maqam ini dan ilmu simiya’ ialah, apabila kamu makan sesuatu melalui simiya’, kamu memang memakannya (pada khayal), tetapi kamu tidak merasa kenyang. Apa yang kamu ambil untuk dirimu melalui ilmu simiya’ ini hanya berlaku dalam penglihatan kamu sahaja. Kemudian apabila kamu mencarinya, kamu tidak akan mendapatinya ada. Pengamal ilmu ini menunjukkan yang kamu memasuki bilik air dan mandi, tetapi apabila kamu ‘kembali pada diri kamu’ kamu tidak akan dapati sebarang kenyataan akan perkara tersebut (apa yang dia tunjukkan pada kamu). Sebaliknya, apa yang kamu lihat melalui cara simiya’ adalah sepertimana orang yang berkhayal nampak; apabila tersedar, dia mendapati tiada nyata apa yang dia lihat. Pengamal simiya’ memiliki kekuasaan dan kawalan atas khayal kamu melalui sifat-sifat khusus nama-nama, atau huruf-huruf, atau qalfatirat (tangkal, azimat), kerana simiya’ mempunyai pelbagai jenis, yang paling kejam adalah qalfatirat dan yang paling halus adalah pengucapan kata-kata yang melaluinya dia mengalih penglihatan pendengar dari alam deria dan menukarnya kepada khayal dirinya, jadi pendengar akan melihat apa yang dilihat oleh orang yang bermimpi, sekalipun ia jaga.

Tetapi maqam yang kami maksudkan bukanlah begitu, kerana jika kamu makan, kamu akan kenyang, dan jika kamu menerima sesuatu pada maqam ini seperti emas atau pakaian atau apa jua, ianya kekal disisi mu sepertimana keadaan asal nya tanpa berubah. Kami telah memperolehi maqam ini pada diri kami, kami merasai nya melalui dhawq pada permulaan suluk kami.

Ini menjelaskan jawapan Rasulullah s.a.w. apabila Baginda melarang berpuasa pada malam hari di bulan ramadhan  dan dikatakan kepada Baginda, “Tetapi Tuan berpuasa sepanjang malam?” : Aku tidak memiliki keadaan seperti kamu kerana aku ada pemberi makan yang memberi makan kepada ku dan pemberi minum yang memberi minum kepada ku”, atau mengikut riwayat yang lain, “Rab memberi makan dan memberi aku minum”.

[ Fusus : Hadis penuh dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim dan diriwayatkan pula oleh Ahmad, adalah seperti berikut ; Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. katanya: Nabi s.a.w. telah melarang dari menyambung puasa. Sahabat bertanya: Bukankah kamu sendiri melakukan puasa seperti itu?. Nabi s.a.w. menjawab: Aku tidak seperti kamu. Aku diberi makan dan minum oleh Allah. Atau mengikut riwayat yang lain oleh Rab]

Kumpulan sahabat yang baginda s.a.w. berikan jawapan kepada mereka ketika itu, tiada seorang pun yang mencapai maqam ini, kerana itu baginda s.a.w tidak katakan, “Aku tidak seperti semua orang”. Oleh itu apabila baginda s.a.w makan, baginda kenyang dan meneruskan puasa, kerana makan tersebut berlaku tidak secara nyata dan bukannya dari pandangan deria, dengan itu baginda dapat berpuasa sepanjang malam.

[ Fusus :Petikan berikut merupakan sebahagian daripada kisah dalam kitab Roh al-Quds. Saya tambahkan sebagai rujukan silang, untuk membezakan karamat dengan khayal simiya’]

Abu Muhammad ‘Abdallah, anak Syeikh al-Mawruri: ….oleh itu, apabila Abu Muhammad tiba, orang ramai pun berkumpul di rumah untuk menemui beliau dan sebuah meja terhidang dengan makanan yang terdiri daripada dadih dan madu. Anak tuan rumah bagaimanapun, telah keluar sejak awal pagi ke kampung bersebelahan dan dia menyampaikan salam kepada kami dan menyatakan yang ia tidak dapat ikut serta makan bersama kami.

Selepas Syeikh dan semua yang hadir selesai memakan bahagian masing-masing, Abu Muhammad berkata, “Jika kamu suka, aku akan makan untuknya (anak tuan rumah) di sini dan dia akan kekenyangan walau di mana pun dia”. Apabila mereka mendengarkan ini mereka nampak ragu akan kemungkinan perkara sebegitu berlaku, oleh itu Abu Marwan mengalu-alukan dan meminta supaya Syeikh meneruskannya dan lakukan apa yang beliau telah janjikan. Selepas menyebut nama Allah, beliau pun makan seolah-olah beliau tidak merasa apa-apa. Setelah selesai beliau berkata, “Sahabat kita sekarang kekenyangan, jika dia makan lagi, dia akan mati”. Orang ramai merasa kagum dan enggan pulang sehinggalah anak tuan rumah kembali.

Lewat petang dia pun pulang, dan selepas disambut kepulangannya, mereka sedar yang dia masih lagi mempunyai bekal yang dia bawa bersamanya pagi tadi. Kemudian dia menjelaskan: “Saudara ku, suatu perkara yang pelik berlaku keatas ku hari ini. Apabila aku tiba ke tempat yang di tuju dan duduk, aku tiba-tiba merasa dadih dan madu dimasukkan ke dalam tekakku dan memenuhi perut ku sehingga aku terlalu kenyang, aku berkemungkinan mati jika aku terus makan lagi. Aku masih lagi kenyang dan sendawa sehingga kini”. Orang ramai gembira kerana dapat bertemu dengan Syeikh.

[ Fusus :Sambung kembali dengan Futuhat]

Kita nampak malaikat Jibrail bermithal sebagai seorang lelaki yang dikenali, seperti pemithalannya dalam rupa Dihya, dan pada ketika yang lain dalam rupa lelaki yang tidak dikenali.

[ Fusus : Hadis adalah seperti berikut ;Dari Aisyah r.a. bahawasanya Harits bin Hisyam bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: Wahai Rasulullah bagaimanakah datangnya wahyu kepada tuan? Rasulullah s.a.w. menjawab:….kadang –kadang malaikat bermithal (yatamaththalu liyal malaku rajulan) sebagai seorang lelaki datang kepada ku lalu ia berbicara kepada ku maka saya hafal apa yang dikatanya” – hingga akhir hadis – Sahih Bukhari ]

Tetapi tidak sampai riwayat pada kita yang dia bermithal dalam alam ghaib dikalangan malaikat-malaikat dalam rupa malaikat yang lain. Oleh itu Jibrail tidak menjelma di kalangan malaikat di alam ghaib sebagai Mikail atau Israfil. Dengan itu Allah mengkhabarkan bahawa Jibrail berkata, “Tiada (seorang pun) antara kami (malaikat) melainkan mempunyai kedudukan yang termaklum (tertentu)” (Q 37:164)  dan kami melihat manusia memiliki kemampuan menanggap rupa mithal, oleh itu seseorang boleh menjelma di kalangan manusia dalam rupa orang lain, selain rupanya. Demikian Zayd menjelma dalam rupa ‘Amir. Tetapi malaikat tidak memiliki kemampuan ini di alam ghaib.

[Fusus : Syeikh Ibn ‘Arabi di bahagian yang lain dalam Futuhat  menambah huraian tentang karamat dan simiya’]

Bahagian yang terhampir bagi keupayaan ini dicapai oleh ahli sihir iaitu, golongan yang difirmankan oleh Allah, dia, yakni Musa terkhayal disebabkan oleh sihir mereka bahawa (tali-tali dan tongkat-tongkat) sedang menjalar (Q 20:66), tetapi tiada yang menjalar pada hakikatnya, sekalipun mereka (tali dan tongkat) menjalar pada pandangan Musa dan semua yang hadir – kecuali ahli sihir, yang melihat mereka sebagai tali dan tongkat. Jika seseorang yang baru (yang tidak mengikuti kejadian dari mula) masuk, dia akan Nampak tali dan tongkat sebagaimana ahli sihir melihat mereka.

Ini berbeza dengan keadaan bagi yang memiliki ‘niyaba’ keatas ke atas alam al-amthal dan hadratnya – seseorang yang seperti Musa a.s. – kerana dia tidak melihat ma’na yang menjasad sebagai jisim jasad sepertimana yang dijasadkan oleh ahli sihir. Sebaliknya, dia melihatnya sebagai ma’na. Ini hanyalah kerana ahli sihir tiada kekuasaan. Tiada suatu pun antara ahli sihir dan ahli niyaba ini, seumpama Musa, melainkan hakikatnya al-Haq menjadikan Musa naibNya, dan dia mengambil DIA sebagai wakilnya. Kemudian Musa ilqa’ tongkatnya (Q 26:45) berasaskan perintah al-Haq, yakni arahanNya yang dia ambil sebagai wakil.

Allah berfirman kepada Musa, ilqa’ tongkat mu (Q 7:117) dan dia melihatnya sebagai ular (ada khabar mengatakan naga), sehingga dia menjadi takut. Allah merakamkan mengenai ahli sihir bahawa mereka melemparkan tali dan tongkat mereka (Q 26:44 – bi’izzati fir’aun), tetapi bukannya atas perintah Ilahiyyah. Sebaliknya mereka lakukan berasaskan sifat-sifat nama-nama yang tertentu yang mengambil sifat menjadikan mata orang yang melihat Nampak apa yang dikehendaki oleh ahli sihir untuk zahir. Melalui nama-nama tersebut mereka memiliki pengubahan penglihatan, bukannya pengubahan objek yang dilihat. Melalui perintah Ilahiyyah, objek yang kelihatan akan berubah, dan penglihatan akan mengikutinya (ikut nampak).

Demikianlah, halnya dengan ‘naib’, bukanlah penglihatan yang berubah. Perlakuan dalam penglihatan dan apa yang dilihat berlaku hanya selepas ilqa’. Apabila benda di ilqa’, Allah berperanan untuk mengubah objek yang dilihat – dalam halnya naib, dan untuk mengubah peglihatan (objek tidak diubah) bagi dia yang bukan naib (ahli simiya’) dan yang memiliki pengetahuan tentang nama-nama tersebut, iaitu simiya’ yakni alamat ke atas apa yang zahir pada mata mereka yang melihat.

[Fusus : Bersambung InsyaAllah dengan bahagian akhir]


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

0 comments:

Post a Comment