Syeikh al-Hakim al-Tirmidhi

Tuesday, February 8, 2011

Kurun ketiga hijrah melahirkan ramai tokoh-tokoh kerohanian Islam yang terkenal seperti Syeikh al Harith al-Muhasibi, Syeikh al-Junayd, Syeikh Abu Bakr al-Shibli, dan Syeikh Abu Yazid al-Bistami. Kurun yang sama juga menyenarai kan wali dari Tirmidh Muhammad b. ‘Ali b. al-Hasan b. Bishr b. Harun al-Tirmidhi di kenali dengan panggilan al-Hakim al-Tirmidhi yang walaupun mungkin kurang dikenali berbanding yang lain, namun merupakan seorang penulis yang prolifik. Syeikh lahir sekitar tahun 205 dan 215 hijrah dari kalangan keluarga yang mempelajari hadis Nabi s.a.w. Ayah beliau seorang tokoh hadis yang tetap pada bidang periwayatan hadis. Dalam karya-karya beliau al-Tirmidhi banyak meriwayatkan hadis yang bersumber dari ayahnya, bahkan ibunya juga seorang ahli hadis. Al-Tirmidhi beberapa kali meriwayatkan hadis dari jalur ibunya. Ketika berumur dua puluh lapan tahun syeikh musafir ke Mekah bagi menunaikan haji. Telah menjadi kebiasaan bagi mereka yang seumpama beliau, syeikh mengumpulkan hadis ketika musafir. Menulis hampir enam puluh tajuk yang berbeza sepanjang hayat beliau. Antara hasil tulisan al-Hakim al-Tirmidhi ialah:
Nawadir al-Usul: Sebuah penulisan yang tidak menumpu pada satu tema pada keseluruhan strukturnya. Sebaliknya satu hadis yang tertentu diambil dan tafsiran bagi hadis tersebut memulakan isi penulisan yang luas. Kitab tersebut sarat dengan sudut pandangan ‘ilm al-batin.
'Ilal al-Syari’a: memaparkan kewajipan agama menurut syariat berdasarkan hadis-hadis tauhid-syariat.
'Ilm al-Auliya’: Mengkisahkan ilmu para awliya’; mengenai huruf dan Nama (Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar".Quran 2:31), pembahagian ilmu, ubudiyya (kehambaan), zikir, makna dan perbezaan solat malaikat dan solat manusia dan jin (betapa banyak kurniaan kerohanian, bukaan tawhid, makrifat, kurniaan berkah yang terlepas dek kerana meninggalkan solat), makna tasbih (mensucikanNya), makrifat dan lain-lain.
Khatm al-Auliya’: Akan diperncikan kemudian.
Manazil al-‘Ubbad min al-‘Ibadah: Syeikh al-Hakim al-Tirmidhi memulakan tulisan dengan “Hanya kepada Allah kami berserah diri dan memohon segala perlindungan. Selawat dan salam semoga tercurah kepada Nabi Muhammad s.a.w, penutup segala Rasul. Juga kepada seluruh keluarga dan para sahabat Baginda. Segala puji bagi Allah, Rabb semesta alam. Mereka bertanya kepada ku peringkat bagi ahli ibadah. Kemudian aku menjelaskan kepada mereka beberapa peringkat ahli ibadah berlandaskan al-Quran dan hadis. Tiada daya dan kekuatan kecuali semuanya bersumber dari Allah SWT”.
Dimulakan dengan peringkat pertama iaitu taubat kepada Allah (InsyaAllah, akan saya sentuh mengenai tajuk ini berserta dengan seratus lima puluh maqam taharah), dan di akhiri dengan peringkat ketujuh dan terakhir iaitu Qurb (hampir) kepada Allah.
Keahlian al-Tirmidhi dalam menghafal dan memahami al-Quran serta kedalaman ilmu beliau dalam bidang hadis tidak diragukan lagi. Kita dapat temui al-Quran dan hadis menjadi kekuatan, hujah, sikap dan buah fikiran dalam karya beliau. Syeikh meninggal pada usia yang lanjut di awal kurun keempat hijrah. Menurut murid beliau Abu Bakr al-Warraq, syeikh merupakan murid al-khidir a.s. (InsyaAllah akan dikemukakan secara isyarat pada suatu tajuk yang lain bagaimana menentukan ketulenan khidir a.s. berdasarkan hadis Nabi s.a.w.-suatu kemungkinan dan bukan janji untuk menulis mengenai hal ini ) yang selalu menziarahi beliau setiap ahad.
Berbalik kita kepada perincian kitab Khatm al-Auliya’ yang menjadi niat bagi saya mengemukakan  tajuk kali ini.
Kitab Khatm al-Auliya’ dengan dua puluh sembilan babnya, persoalan mengenai khatm al-awliya’ muncul pada bab kelapan, berulang pada bab ketiga belas, dan menjadi teras bab kedua puluh lima. Suatu penulisan yang menakjubkan , yang mengambil bentuk dialog yang berliku-liku antara al-Tirmidhi dan salah seorang pengikut beliau, adalah yang pertama dan terpenting, menjadi rekod perjalanan kerohanian yang kebijaksanaannya diselubungi oleh nada kendiri. Persoalan mengenainya dinyatakan pada perenggan pertama:
Kamu telah menyatakan mengenai perdebatan yang tercetus dikalangan sesetengah orang mengenai walaya, mengenai manazil (tempat akhir berkumpul) bagi awliya’, mengenai kesan bagi orang yang mempercayai pendapat mereka (orang yang berdebat), kamu bertanya samada wali menyedari atau tidak maqam dirinya, kerana kamu telah mendengar perkataan bahawa mereka yang memiliki walaya tidak menyedari akannya. Akhirnya, kamu bertanya mengenai mereka yang menyangka bahawa mereka memiliki walaya sekalipun mereka sebenarnya jauh daripadanya. Ketahuilah, hakikatnya, mereka yang bercakap mengenai walaya tidak mengetahui apa pun jua mengenainya. Mereka cuba mencapainya melalui pengetahuan zahir, dan mereka hanya menyatakan pendapat peribadi mereka atau sebaliknya bergantung pada kekeliruan tamsilan. Orang yang sebegini tidak mendapat nikmat berserta Rabbnya. Mereka tidak memiliki kunci manazil bagi walaya dan tidak mempunyai pengetahuan akan cara bagaimana Allah mengendalikannya".
Bagi al-Hakim al-Tirmidhi adalah menjadi teras untuk tidak terkeliru antara wali haqq Allah dengan wali Allah haqqan. Ini merupakan dua maqam kerohanian, yang satu berasaskan siddiq yang melibatkan penyerahan penuh pada semua kewajiban agama zahir dan batin, terbit dari hubungan antara hamba dan Rabb. Yang satu lagi berasaskan minna. Menurut al-Tirmidhi salah satu daripada sekian banyak ciri-ciri ketulenan walaya, atau kepastian ketulenannya ialah sakina.
Kitab Khatm al-Auliya’ bagaimanapun mengandungi satu bab yang lebih misteri lagi. Siri soalan yang panjang memenuhi bab ke empat. Mencabar dakwaan dari mereka “yang bercakap seperti awliya’ ” tanpa memiliki kelayakan-kelayakan yang sepatutnya, seratus lima puluh tujuh soalan-soalan dikemukakan tanpa diberi jawapan dan komentar. Selama tiga kurun tiada sesiapa pun yang melepasi  ujian tersebut yang di utarakan oleh wali dari Tirmidh kepada sesiapa jua yang merasai dirinya layak memiliki sirr (rahsia) walaya.
Bagaimanapun kitab Khatm al-Auliya’ tidak ditemui dan dianggap hilang oleh generasi selepas Syeikh al-Hakim al-Tirmidhi.
Bersambung InsyaAllah.


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

0 comments:

Post a Comment