Alam al-Amthal, Pecahan Diri, Dan Ubahan Bentuk Diri (1)

Friday, October 8, 2010

Bismillahi hasbiyAllah
Bismillahi wabillah
Bismillahi tawakkaltu’alAllah
Bismillahi saaltuminAllah
Bismillahi walahaulawalaquwwataillabillahil’aliyyil ‘azim
Sollallahu ‘ala Muhammad.
Makluman kali ini hanyalah secara kulit sahaja. Hanya untuk menyatakan kurniaan ilmu dari Allah yang dimiliki oleh golongan yang hampir dengan Allah yang dipetik dari al-Futuhat al-Makiyyah al-Syeikh al-Akhbar Muhyiddin Ibn ‘Arabi. Firman Allah Yusuf : 76; Kami (Allah) tinggikan kedudukan sesiapa yang Kami (Allah) kehendaki. Dan di atas tiap-tiap orang yang berilmu ada (lagi) yang lebih mengetahui.
Allah Ta’ala berfirman: “Sebagaimana Allah menciptakan kamu pada permulaan kejadianmu begitu juga kamu akan kembali kepadanya” (Q. 7:26) dan FirmanNya: “Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui kejadian yang pertama, maka mengapakah kamu tidak mengambil peringatan (daripadanya tentang kejadian yang kedua)? (Q. 56:62). Dia ciptakan kita tanpa sebarang contoh dan kita mengetahuinya. Demikianlah Dia kembalikan kita tanpa sebarang contoh.
Seseorang Itu Boleh Berada Di Tempat Yang Berbeza Pada Waktu Yang Sama
Ketahuilah barangsiapa yang mengetahui ganjaran di akhirat dan hubungan seseorang itu dengannya akan mengetahui penciptaan semula. Adalah tidak mustahil bagi seseorang itu berada di beberapa tempat yang berbeza pada waktu sama sekalipun logik mengambil kira perkara ini sebagai mustahil. Kashf mengesahkan kesahihannya sekalipun ianya mustahil pada logik. Apa yang tidak mustahil Ialah hubungan Ilahiyyah dengan setiap seorang yang solat dan berbual dengan Rab. Manusia diciptakan merujuk kepada hakikatnya yang di atasnya dia akan diciptakan semula di akhirat ‘atas bentuk tersebut’.
Aku tidak pernah temui sesiapapun yang mengkhabarkan mengenai maqam sebegini melainkan Abu Bakr al-Siddiq r.a. mengenai perihal memasuki kesemua lapan pintu syurga pada satu masa yang sama. Mengenai hadis tentang Abu Bakr, al-Bukhari menyatakannya dalam sahih beliau, Abu Hurayra berkata bahawa dia mendengar Rasulullah bersabda: “….dan bagi syurga itu ada lapan pintu. Maka siapa yang termasuk dari orang yang menegakkan solat nescaya ia dipanggil dari pintu solat. Siapa yang termasuk dari orang yang mengerjakan puasa, nescaya ia dipanggil dari pintu puasa, siapa yang termasuk dari orang yang bersedekah, nescaya ia dipanggil dari pintu sedekah. Dan siapa yang termasuk dari orang yang berjihad nescaya ia dipanggil dari pintu jihad” Lalu Abu Bakr r.a. bertanya: “Demi Allah! Tiada atas seseorang pun yang termasuk darurat dari pintu mana ia dipanggil. Adakah seseorang itu dipanggil dari pintu-pintu itu semuanya?” Nabi s.a.w. menjawab: “Ada! Dan aku berharap bahawa adalah engkau dari mereka itu”. (Muttafaq – ‘alaih dirawikan al-Bukhari & Muslim).
Ketika hari akhirat, Allah akan menyeru manusia untuk masuk dengan satu panggilan bagi memasuki syurga. Seseorang itu akan masuk melalui satu pintu, yang lain melalui dua pintu, dan yang lain lagi melalui tiga pintu. Yang paling sempurna dikalangan mereka ialah dia yang masuk melalui lapan pintu kerana anggota badan yang takluk pada kewajipan adalah lapan. Setiap anggota ada gerbang untuknya. Jangan ragu mengenainya dalam ganjaran pada waktu yang sama kerana perbuatan mengandungi perlakuan dan bukan perlakuan, seperti menundukkan pandangan ketika mendengar peringatan amaran, ketika membaca al-Quran, ketika berpuasa, ketika bersedekah, ketika meneliti, ketika menjaga kesucian. Kesemua ini adalah dengan niat hampir kepada Allah Ta’ala.
Setiap pintu mengandungi maqamat, seperti beriman kepada Allah yang mempunyai tujuh puluh cabang. Yang tertinggi ialah “Lailaha illAllah” dan yang terendah ialah membuang duri di jalanan. Tiada yang lebih mudarat daripada menyembah berhala, dan tiada jalan yang lebih utama selain jalan iman. Oleh itu dia tutupkannya dengan cara yang sama sebagaimana dia memulainya, dengan “Lailaha illAllah” Iaitu penafian kepada selain Allah yang mendakwa atau punya dakwaan ketuhanan padanya. Menghilangkan duri dijalanan merupakan penafian bagi bahaya di jalanan. Akhiran bulatan (dawr) bersatu dengan awalnya dan kami cenderung kepada ini. Apa yang terdapat di antara dua ini merupakan lain-lain cabang iman.
Barangsiapa yang tahu apa yang kami katakan akan memasuki kesemua pintu syurga pada masa yang sama. Bentuk yang zahir di akhirat akan membenarkan perkara seumpama ini sebagaimana bentuk kita di dunia ini membolehkan semua cabang iman berada pada satu orang pada masa yang sama. Ini tidaklah mustahil.



Tajuk asal di dalam Futuhat Ibn 'Arabi ialah:
Satu Roh Dapat Mengawal Beberapa Jasad Melalui Karamat

Satu roh dapat mengawal beberapa jasad apabila dikurniakan keupayaan untuk melakukannya. Di dunia ini, itulah (apa yang dipanggil) karamat Auliya Allah, dan di akhirat, pembentukan insan (tersebut) bersepakat dengannya. Qadib al-Ban memiliki keupayaan ini sebagaimana juga Dhu al-Nun al-Misri.

Perkara ini samalah sepertimana cara satu roh mengawal kesemua ahli bagi satu jasad - tangan, kaki, pendengaran, penglihatan, dan seterusnya. Oleh itu sebagaimana jiwa dihukum atas pelakuan anggota badan, samalah juga dengan jasad-jasad (yang berbeza) yang dikawal oleh satu roh. Roh yang satu itu perlu menjawab apa yang dilakukannya. Apa jua yang dilakukan oleh jasad ini adalah sepertimana apa yang dilakukan oleh jasad yang lain; oleh itu hukuman yang lazim bagi perlakuan salah satu jasad adalah juga patut bagi perlakuan jasad yang lain. Sekalipun ianya sama serupa (roh yang satu).

Akan Bersambung InsyaAllah dengan 'Ubahan Bentuk Diri' yang merupakan kebolehan Auliya Allah dan salah satu mu'jizat Nabi Musa a.s. serta perbezaannya dengan Simiya' iaitu ilmu ahli sihir Fir'aun. Sebelum itu elok juga dimulakan dengan menjelaskan serba sedikit perihal jin dan tipu daya mereka terhadap salik untuk menunjukkan perbezaan antara simiya' dan karamat dan meningkatkan kefahaman. Rabbizidni 'ilma.


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

0 comments:

Post a Comment