Rajabiyyun

Sunday, May 29, 2011

Salah satu kategori Auliya Allah adalah Rajabiyyun atau lelaki Rajab yang berjumlah empat puluh orang. Mereka dinamakan sedemikian kerana hal yang berhubungan dengan maqam mereka zahir pada diri mereka hanya pada ketika bulan Rajab, dari saat munculnya anak bulan sehinggalah akhir bulan tersebut. Mereka akan kehilangan hal berkenaan dan tidak akan mendapatinya semula sehinggalah kedatangan bulan Rajab tahun berikutnya. Sesetengah di antara mereka berkekalan sepanjang tahun apa yang mereka perolehi melalui mukasyafah di sepanjang bulan Rajab, sementara sebahagian yang lain pula tiada apa yang tinggal.

Di dalam kitab al-Durrat al-Faqirah Syeikh Ibn ‘Arabi merakamkan kisah ziarah beliau kepada salah seorang daripada mereka di Dunaisir di Mesopotamia …… "juga al-Rajabi al-Khatari di Dunaisir yang merupakan salah seorang daripada empat puluh Rajabiyyun yang menuturkan perkara-perkara menakjubkan dalam bulan Rajab dan kembali seperti lelaki yang lain bilamana berakhirnya bulan Rajab".

"Beliau memiliki kurniaan daripada Allah yang tersendiri, dan tidak hanya dalam bulan Rajab, iaitu kebolehan mengesan Syiah Rawafid sekalipun apabila mereka menyamar sebagai sunni, kerana mereka muncul kepada beliau dalam rupa a***** ".

Qutub, Autad, Abdal, Nuqaba’, Nujaba’ dan Rajabiyyun, berserta yang lain, semuanya tergolong dalam Afrad, yang bilangannya berubah-ubah tetapi sentiasa dalam bilangan ganjil dan senantiasa melebihi tiga.

Wallahu a'lam


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Al-Dawr Al- A'la

Sunday, April 17, 2011

Suatu himpunan zikir yang diilhamkan, setiap satu daripada tiga puluh tiga bait diteraskan dengan suatu siri asma’ Ilahiyah. Setiap ism (nama) mengandungi sir (rahsia) dan keekuatan yang tersendiri: ia perlu terbit pada ketika yang tepat dalam pembacaan demi untuk ianya berkesan. Keberkesanan tersebut bagaimanapun bukanlah sihir. Beberapa keadaan awal (pembaca) adalah diperlukan, yang terutama ialah ketulusan hati.
Al-Damuni merumuskan al-Dawr al-A’la Syeikh Ibn ‘Arabi dengan memulakannya seperti berikut: Aku bermohon kepada Allah agar hizb ini akan bermanfaat kepada sesiapa jua yang membacanya dengan tulus ikhlas dan keyakinan yang teguh, dan dengan itu dia akan mencapai matlamat akhirnya. Kerana Dia yang Esa yang mengurniakan tanpa batas, Yang Esa Yang Maha Mengetahui keadaan mereka yang membacanya . Barangsiapa menggunakan apa yang terdapat dalam hizb ini atau membacanya berserta dengan kesempurnaan iman akan mencapai matlamatnya, tetapi barangsiapa membacanya atau menggunakan kelebihannya sedangkan ianya menentang Allah tidak akan memperolehi apa-apa melainkan bebanan dan kerosakan. Aku sertakan sebahagian daripada kelebihan hizb yang agung ini, berdasarkan kepada kemakbulannya yang tidak pernah gagal bagi yang memiliki hati yang tulus. Antara manfaatnya ialah:
[al-Faqir Fusus: al-Damuni meneruskan dengan menyatakan beberapa kelebihan yang diperolehi kemudian al-Damuni menyambung]
Kami telah nyatakan sebahagian daripada manfaanya, kesemua keberhasilan ini hanya terbit melalui al-anfas (nafas-nafas)
[al-Faqir Fusus: al-anfas suatu terma yang juga digunakan untuk merujuk kepada bau nafas yang menunjukkan kehampiran dengan Allah – Syeikh Ibn ‘Arabi menulis bilamana ahlillah menghidu keharuman al-anfas (nafas-nafas) ini ….mereka segera mengenali orang Ilahi yang memiliki sir (rahsia) yang dicari oleh mereka dan pengetahuan yang ingin mereka capai….(di lain kali insyaAllah mungkin boleh ditambah dengan kisah Syeikh Abdul Qadir Jilani yang dapat mengenal pasti martabat seseorang berdasarkan bau nafas (dengan menghidu) ]
Yakni dengan menerimanya daripada al-sada al-akyas (tuan bagi hikam?). Bagi sesiapa yang tidak memiliki ‘nafas rohani’, ianya seumpama membina tembok tanpa asas. Bagaimanapun , jika dia tidak menemui seseorang yang kamil, dia harus mengikhlaskan niatnya dalam urusan ini, dan kemungkinan dia akan menemui sebahagian daripada manfaatnya, sekira niatnya baik. Apa yang kami nyatakan adalah mencukupi bagi mereka yang mencari, dan manfaatnya adalah tidak tersembunyi bagi seseorang yang kamil.
[al-Faqir Fusus: al-Dawr al-‘Ala merupakan sebahagian daripada sekian banyak yang terkandung dalam tarikat al-Akhbariyyah atau al-Hatimiyyah Syeikh Ibn ‘Arabi. Syeikh Ahmad al-Qushashi telah dikenalpasti sebagai penyambung kepada satu-satu nya ‘pewaris sanad’  bagi ‘khirqa Akhbariyyah’, dan di alam melayu murid Syeikh Ahmad al-Qushashi iaitu Syeikh Abdul Rauf Ali al-Fansuri al-Singkili yang menjadi murid beliau selama dua puluh tahun merupakan ‘pewaris sanad’ khirqa Akhbariyah. Berikut ialah contoh silsilah al-Dawr al-‘Ala atau tarikat Akhbariyyah di alam Melayu yang disambung dari sanad yang disusun oleh Prof Suha Taji Farouqi. Sanad tersebut tidak dipanjangkan sehingga ke masa kini kerana faqir tidak mendapat keizinan untuk membukakannya, di samping bimbang ada yang membuat peniruan dan mengambil kesempatan, sanad tersebut juga tidak ditingkatkan sehingga kepada Rasulullah s.a.w. Jadi sanad yang dibukakan DIHADKAN seperti berikut sebagai suatu makluman akan kewujudan hal ini di alam Melayu]




Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Jawapan Soalan 101

Sunday, March 20, 2011


Soalan: Apakah itu sujud?

Jawapan: Setiap sesuatu yang sujud menyaksikan akan ‘akar’ dirinya yang hilang daripadanya apabila dia menjadi dahan. Apabila sesuatu itu dijauhkan daripada akar (dengan) menjadi dahan, dikatakan kepadanya, “Carilah apa yang hilang daripadamu, akarmu yang daripadanya kamu terbit.” Maka sesuatu itu sujud ke bumi yakni (kepada) akarnya. Roh sujud kepada al-Roh al-Kull (roh semesta) yang daripadanya ia terbit. Sirr yang paling dalam sujud kepada Rabbnya yang melaluiNya ia mencapai martabatnya.

Semua ‘akar’ adalah ghaib (tidak kelihatan). Tidakkah kamu melihat bagaimana akar menzahirkan dirinya pada pepohon? Akar pohon tidak kelihatan, kerana perlakuan ‘menjadikan’ (takwin) adalah tidak kelihatan. Tiada seorang pun yang menyaksikan benih jadi di dalam rahim ibunya, oleh itu ianya adalah tidak kelihatan. Sesetengah haiwan jadi di dalam (cengkerang) telur; apabila haiwan tersebut sempurna, cengkerangnya pecah. ‘Akar’ kewujudan benda-benda adalah al-Haq, dan Dia ghaib (tidak kelihatan) daripada mereka.

Raja disanjung kerana yang lain berdiri di bawahnya. Raja memiliki ketinggian dan kehebatan. Demikian, apabila seseorang yang di bawahnya menghadapnya, dia menundukkan diri di hadapan raja, dikatakan “kedudukan ku dinisbahkan kepada mu adalah kerendahan di bandingkan dengan ketinggian.” Orang ramai mengambil kira (kedudukan) seorang raja berdasarkan kedudukan dan martabat, bukan berdasarkan kemanusiaannya, kerana mereka adalah bersamaan dengannya dari segi kemanusiaan.

Malaikat sujud kepada martabat ilmu. Sujud mereka adalah pada ucapan “kami tidak memiliki pengetahuan” (Quran 2:32), oleh itu mereka tidak tahu.

Bayang-bayang sujud kerana menyaksikan semua yang diluar daripada dirinya, objek (yang melemparkan baying-bayang). Bayang bagi objek terlindung daripada cahaya oleh ‘akar’ tempat terbitnya, jika tidak sudah tentu cahaya akan menfanakannya (menghilangkannya). Demikian baying-bayang tidak kekal dalam wujud melainkan melalui wujudnya ‘akar’. Demikian al-alam tidak kekal melainkan melalui Allah

Apabila hati sujud, ia tidak akan bangun semula, kerana sujudnya adalah pada asma’ Ilahi – bukannya Dzat – kerana asma’ yang menjadikannya ‘qolbu’ (qalb); asma’ menjadikannya berbolak-balik daripada satu keadaan kepada satu keadaan di dunia dan akhirat. Kerana itulah ia dinamakan ‘qolbu’ (qalb).

[al-Faqir Fusus : Hati (qolbu) dinamakan sedemikian kerana salah satu makna bagi qalb ialah berbolak balik, Hadis: Abu Musa al-Ansari menceritakan kepada kami, Muadz bin Muadz memberitahukan kepada kami dari Abi ka’ab pemilik kain sutera berkata: Syahr bin Hausyab menceritakan kepada kami dia berkata: Aku berkata kepada Ummi Salamah: “Ummul Mukminin! Apa doa yang sering di baca oleh Rasulullah s.a.w. jika beliau berada di sisimu?” Dia berkata: “Doa yang sering dibaca Beliau adalah: "Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, tetapkan hatiku atas agama Mu."

Dia berkata: lalu aku bertanya: “Wahai Rasulullah mengapa doamu yang paling sering adalah: "Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, tetapkan hatiku atas agama Mu."

Beliau bersabda: “ Sesungguhnya tidak ada manusia melainkan hatinya berada di antara dua jari dari jari-jari Allah: Barang siapa dikehendaki Allah, maka Dia menetapkan hatinya atas agamanya dan barang siapa dikehendaki Allah, maka Dia menjadikan ia menyimpang dari agamanya”. Lalu Muadz membaca ayat: Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau buat hati kami menyimpang setelah Engkau memberi petunjuk kepada kami (Quran 3:8).”

Dalam bab ini terdapat hadis dari Aisyah dan An Nawas bin Sam’an dan Anas dan Jabir dan Abdillah bin Amr. Hadis ini adalah hadis Hasan]

Apabila al-Haq menzahirkan DiriNya kepada qolbu sebagai sebab bagi berbolak-balik, dia melihat dirinya berada dalam genggaman Dia yang membolak-balikkannya. Dan Dia adalah asma’ Ilahi, yang mana tiada ciptaan yang terpisah (daripadanya). Asma’ menguasai makhluk. Qolbu dia yang menyaksikan asma’ akan sujud kepadanya, tetapi qolbu yang tidak menyaksikan asma’ tidak akan sujud; dialah yang membuat dakwaan (mudda’i) dengan berkata ‘Aku’ pada hari akhirat perhitungan dan soal jawab akan ditujukan kepada dia yang memiliki sifat sedemikian, begitu juga dengan siksaan, jika dia disiksa. Dia yang qolbunya sujud tidak memiliki dakwaan, oleh itu dia tidak punya perhitungan, soal jawab, atau siksaan

Demikianlah tiada keadaan lebih mulia daripada keadaan sujud, kerana ianya merupakan keadaan yang mencapai kepada kearifan ‘akar’. Dan tiada sifat lebih mulia daripada arif kerana ia menuntun kepada sa’ada di dua negeri dan keselesaan di dua maqam.


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Jawapan Soalan 103

Monday, February 28, 2011

[ Fusus: Soalan ke 103 dari Syeikh al-Hakim al-Tirmidzi adalah berlandaskan hadis Nabi s.a.w. “al-‘Izzah (keagungan) itu pakaian Ku, dan Kibriya’ (kemegahan) itu selendang Ku. Barangsiapa yang menanggalkan keduanya dari Ku akan mendapat azab (seksaan)” – Riwayat Muslim dari Abu sa’id dan riwayat Samuwaih dari Abu sa’id dan juga riwayat Tabrani dari ‘Ali r.a. Jawapan ini menjelaskan bahawa makhluk adalah berhubungan dengan kerendahan yang merupakan lawan bagi ‘Izzah, dan hanya al-Haq yang layak memakai ‘Izzah kerana Dia lah wujud al-mutlaq. ]
Soalan: Apakah perkataan Nya, “ Izzah (Keagungan) itu sarung Ku”?
Jawapan: Al-Haq merahmati hamba Nya apabila Dia menyeru mereka untuk mengenali Nya melalui tanazzul (penurunan) untuk memberikan mithal kepada mereka supaya dengan itu mereka memperolehi pengetahuan daripada Nya dalam ukuran yang dikehendaki oleh Nya. Contohnya, seperti, firman Nya, mithal cahaya Nya, seperti sebuah lubang di dinding rumah, di dalamnya ada pelita (Quran 24:35). Ini kerana firman Nya, Allah cahaya langit dan bumi (Quran 24:35) di mana Dia menjadikan Diri Nya cahaya, kerana ianya adalah predikat bagi subjek, iaitu, sifat Nya. Huwiyya (KeDiaan) Nya adalah cahaya merujuk kepada hakikat bahawa Dia adalah Allah, cahaya. Tetapi apa hubungannya cahaya bagi lampu dengan firman Nya, Allah cahaya?
Samalah juga dengan khabar, bahawa apabila berkata-kata melalui wahyu ianya seumpama “gemerincing loceng (genta)” Apa hubungannya perkataan al-Haq dengan gemerincing loceng?
[ Fusus: Hadis dari Aisyah r.a bahawasanya Harits bin Hisyam r.a. bertanya kepada Rasulullah s.a.w “Wahai Rasulullah, bagaimanakah datangnya wahyu kepada Engkau?” Rasulullah menjawab: “Kadang-kadang wahyu itu datang kepada ku bagaikan gemerincingnya loceng (genta) dan itulah yang paling berat atas ku, lalu terputus daripada ku dan aku telah hafal daripadanya tentang apa yang dikatakan. Kadang-kadang malaikat bermithal sebagai laki-laki datang kepada ku lalu ia berbicara kepada ku maka aku hafal apa yang dikatakannya” Aisyah r.a berkata: “Sungguh saya melihat beliau ketika turun wahyu kepada beliau di hari yang sangat dingin dan wahyu itu terputus dari beliau sedang dahi beliau mengalir keringat” - diriwayatkan Bukhari ]
Demikianlah juga perkataan Nya, “’Izzah itu pakaian Ku”. Demi hamba Nya, Dia letakkan Diri Nya pada manzil seseorang yang menerima kelayakan melalui pakaian. Apa yang Dia berkehendak untuk mereka tahu mengenai Diri Nya dalam kesempurnaan ini (adalah) bersesuaian dengan pakaian dan apa yang ditabir oleh nya.
Ketahuilah sarung dipakai atas tiga urusan – pertama, sebagai perhiasan; kedua, sebagai perlindungan dan ketiga, sebagai tabir (sitr). Di antara yang tiga ini, apa yang dimaksudkan dalam khabar ini adalah khusus perlindungan. Ini ditunjukkan oleh perkataan ‘Izzah. Di sini ‘Izzah menuntut kepada kemustahilan untuk mencapai Diri Nya, disebabkan oleh ‘sarung’ yang melindungi daripada dilihat oleh mata.
‘Izzah terlarang melalui ketidaksampaiannya, oleh itu hakikatnya ia tidak boleh menjadi sifat bagi sebarang makhluk atau benda baharu, kerana khuduk (kerendahan diri) merupakan teman sejati bagi makhluk dan benda baharu, dan khuduk berlawanan dengan ‘Izzah. Demikian, bilamana al-Haq mengenakan sarung ‘Izzah akal rasional terhalang daripada mengenalpasti penerimaan ‘ain akan pengurniaan wujud, yang dengannya mereka menjadi layak dan melaluinya mereka menjadi berjarak pada diri mereka. Demikian tiada suatu pun yang terpisah daripada Allah dapat mengetahui bentuk pengurniaan wujud oleh Nya atau penerimaannya, tidak juga bagaimana benda-benda menjadi mahall penzahiran al-Haq, tidak juga bagaimana ianya dinyatakan melalui wujud – kerana dikatakan mengenainya, “benda wujud”, tetapi ianya biasa dipanggil “benda ‘adum” (tidak memiliki wujud).
Demikian al-Haq berkata, “’Izzah itu sarung Ku”, iaitu, ianya suatu tabir ke atas apa yang dijangka dapat dimiliki oleh jiwa.
Kerana itulah Dia berkata, “Barangsiapa menanggalkan keduanya dari Ku, akan mendapat azab (seksaan)”. Dia khabarkan bahawa Dia takluk atas sifat sedemikian yang hanya layak bagi Nya – seperti ‘Izzah, ‘Azama (kebesaran, kehebatan) dan Kibriya’ (kemegahan). Oleh itu ‘Izzah merupakan qudrah yang menguasai yang kamu dapati menghalang tanggapan sirr yang melaluinya al-alam menjadi terzahir.


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Syeikh al-Hakim al-Tirmidhi (2)

Wednesday, February 16, 2011


Al-Hakim al-Tirmidzi telah menyenaraikan sebanyak 157 soalan yang hanya dapat dijawab, sepertimana kata beliau, oleh khusus al-khusus di kalangan awliya Allah. Soalan-soalan al-Hakim al-Tirmidzi dibentuk sebagai satu ‘pengujian’ untuk memisahkan antara muhaqqiqun di kalangan sekian ramai yang berpura-pura memiliki hikmah pengetahuan tersebut yang wujud pada setiap zaman.

Pada tahun 603 hijrah iaitu setelah tiga ratus tahun soalan-soalan tersebut diajukan, sebuah kitab bertajuk “al-Jawab al-Mustaqim ‘amma sa’ala ‘anhu Tirmidhi al-Hakim” (Jawapan yang mustaqim atas soalan-soalan al-Hakim al-Tirmidzi) menyelesaikan setiap persoalan yang diajukan lebih tiga ratus tahun lalu, dan dengan ini membenarkan perkataan Syeikh al-Hakim al-Tirmidzi “hanya dapat dijawab oleh khusus al-khusus di kalangan awliya Allah”.

Antara soalan-soalan dalam kitab Khatm al-Awliya ialah:-

  1. Di manakah manazil ahli qurbah?
  2. Di manakah maqam ahli hadis dan majalis ?
  3. Apakah permulaan wahyu ?
  4. Apakah permulaan roh ?
  5. Apakah permulaan sakinah ?
  6. Apakah al-‘adl ?
  7. Apakah maksud hadis : Allah menciptakan makhluk dalam zulmat (kegelapan) ?-[Fusus : Hadis penuh Al-Hasan bin Arafah menceritakan kepada kami, Ismail bin Ayyasy memberitahukan kepada kami, dari Yahya bin Abi Amr Asy Syaibani dari Abdullah bin Ad Dailami berkata : Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : Sesungguhnya Allah Yang Maha Suci dan Maha Tinggi menciptakan makhluqNya dalam zulmat (kegelapan), lalu Dia melemparkan cahayaNya atas mereka. Barangsiapa terkena cahay itu, maka ia memperoleh petunjuk, dan barangsiapa luput dari cahaya itu maka ia tersesat, kerana itu aku bersabda : Pena telah kering atas pengetahuan Allah (Hadis ini adalah hadis hasan)]
  8. Apakah sifat Adam a.s.?
  9. Apakah al-fitrah?
  10. Di manakah khazanah minna ?
  11. Apakah al-hadis ?
  12. Apakah al-wahyu ?
  13. Bagaimanakah tingkatan awliya dan ambiya pada yaumul ziyarah ?
  14. Apakah bahagian yang di miliki oleh al-‘amma (orang awam) dalam menyaksikan Nya (pada yaumul ziyarah)?
  15. Apakah maqam al-mahmud?
  16. Berapakah juzuk al-nubuwwa?
  17. Apakah nubuwwa?
  18. Berapah juzuk al-siddiqin?
  19. Apakah sakinah al-awliya?
  20. Apakah bahagian yang di miliki oleh orang mukmin berdasarkan firmanNya: "Dia Yang Awal dan Yang Akhir, Yang Zahir dan Yang Batin"? (57:3)
  21. Apakah bahagian yang di miliki oleh orang mukmin berdasarkan firmanNya: "Setiap sesuatu akan binasa kecuali wajahNya"? (28:88)
  22. Apakah itu sujud?
  23. Apakah itu taj al-malik?
  24. Apakah keagungan wajah?
  25. Apakah makna zikir berdasarkan firmanNya: Walazikrullahiakbar? (29:45)
  26. Apakah makna zikir berdasarkan firmanNya: " Maka zikirlah kamu kepada Ku, nescaya Aku ingat kepada mu"? (2:152)
  27. Apakah perkataan Nya : Sombong itu selendang Ku? [Fusus: Hadis qudsi- “Sombong itu selendang-Ku dan keagungan adalah sarung-Ku. Barangsiapa merampas salah satu darinya, Aku lemparkan dia ke Neraka Jahannam.” (Riwayat Abu Daud)]
Kitab Khatm al-Awliya telah lama dianggap hilang dan hanya diketahui mengenainya melalui kitab al-Jawab al-Mustaqim ‘amma sa’ala ‘anhu Tirmidzi al-Hakim dan beberapa petikan daripada kitab Khatm al-Auliya dalam Futuhat al-Makiyya Syeikh Ibn ‘Arabi. Bagaimanapun dengan rahmat Allah dua manuskrip tulen akhirnya ditemui di Istanbul antara tahun 1963 dan 1965 dan dengan ini membolehkan cetakan moden dibuat berdasarkan manuskrip tersebut.

Bersambung InsyaAllah dengan tajuk lain – Jawapan bagi soalan yang ke 103.


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO