WACANA MANUSKRIP AHLILLAH

Wednesday, February 17, 2016


WACANA MANUSKRIP AHLILLAH UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

Saturday, February 6, 2016

Sebanyak 6 wacana akan berlangsung sepanjang siri 1 ini, insya Allah.

SILSILAH TAREKAT ROHANI AL-SHAYKH SHAMSUDDIN AL-SUMATERA`I

Thursday, January 21, 2016

Pemetaan silsilah tarekat Shaykh Shamsuddin al-Sumatera`i, pembesar dan Shaykh tarekat Alam Melayu ini boleh dirujuk melalui:

http://www.ukm.my/ijit/wp-content/uploads/2016/01/IJIT-Vol-8-Dec-2015_7_61-79.pdf 

Anfas, Nufus, Tanaffas, Nafas

Tuesday, August 28, 2012


Shaykh Ibrahim ibn Hasan al-Kurani (w. 1101/1689) murid Shaykh Ahmad al-Qushashi yang paling cemerlang, mempunyai hubungan yang istimewa dengan gurunya, dan menjadi menantu serta salah seorang daripada pewaris beliau. Shaykh Ibrahim al-Kurani seorang ‘alim mazhab Shafi’i, dilahirkan di Kurdish tempat di mana beliau memperolehi pengajian awalnya. Ketika usia muda, beliau meninggalkan tanah tumpah darahnya berkelana ke Baghdad dan menetap di sana selama dua tahun, kemudiannya ke Damsyik selama empat tahun, selanjutnya ke Mesir mengikuti halaqah pengajian yang pelbagai. Kalangan guru beliau ialah Muhammad Sharif al-Kurani di Baghdad, ‘Abd al-Baqi al-Hanbali dan Najm al-Din al-Ghazzi di Damsyik, dan Sultan al-Mazahi di Mesir. Shaykh Ibrahim al-Kurani menjejakkan kaki di Madinah setelah selesai mengerjakan haji, dan seterusnya berguru dengan Shaykh Ahmad al-Qushashi langsung menetap di Madinah.
                Shaykh Ahmad al-Qushashi merupakan Shaykh yang memberi pengaruh paling besar dalam hidup beliau. Suatu peristiwa yang berlaku terhadap Shaykh Ibrahim al-Kurani bersangkutan dengan karamah Shaykh Ahmad al-Qushashi iaitu; ketika beliau sedang berbicara dalam hatinya mengenai suatu perkara, tiba-tiba Shaykh Ahmad al-Qushashi berpaling kepadanya dan berkata sesuatu berkaitan dengan perkara yang difikirkan. Selain itu, Shaykh Ibrahim al-Kurani pernah menulis sesuatu bersangkutan dengan urusan dunia kepada penduduk Sham setelah diminta oleh beberapa orang al-Mujawirin di Madinah. Beliau menulis tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada Shaykhnya. Keadaan ini menyebabkan beliau berasa keluh kesah apabila berhadapan dengan Shaykhnya. Pada suatu malam apabila beliau ingin menulis surat untuk menjawab tulisan penduduk Sham, tiba-tiba kelihatan pada kertasnya sesuatu menyatakan bahawa tulisan itu tidak mendapat redha Shaykhnya, lalu beliau terus membakar kertas tersebut. Ketika itu perasaan tenang tiba-tiba menyelubungi hati. Keesokannya apabila beliau bertemu dengan Shaykhnya, Shaykhnya melihat sambil tersenyum dan mengucapkan selamat kepadanya.
                Shaykh Ibrahim al-Kurani ‘alim dalam pelbagai ilmu. Pengajian hadith Shaykh Ibrahim al-Kurani mencakup pengajian hadith yang utama dan sampingan, meliputi hadith yang jarang ditemui. Beliau juga mahir ilmu fiqh dan tidak terhad hanya kepada mazhab Shafi’i. ‘Alim dalam tauhid, kesufian dan malahan sejarah. Berikut beberapa hadis yang dipetik oleh Shaykh Ibrahim al-Kurani dalam kitab beliau:

Sabda Nabi S.A.W:

Nafas itu suatu jauhar yang masuk dan keluar dari badan, sehingga apabila menjadi kurang ilmu kepadanya, maka iaitu jahil namanya, tiada mulia kepada Allah Ta’ala pada hari kiamat, di dalam kubur dan di dalam titian Sirat al-Mustaqim. Kerana sesungguhnya anfas tiada masuk ke dalam tubuh dan tanaffas itu tidak keluar daripada badan. Sedang nafas itu masuk dan keluar daripada badan.”

Sabda Nabi S.A.W:

Hidup setiap manusia dalam dunia itu dengan nafas dan hidup setiap manusia itu dalam akhirat dengan tanaffas.”

Wallahua’lam

Rajabiyyun

Sunday, May 29, 2011

Salah satu kategori Auliya Allah adalah Rajabiyyun atau lelaki Rajab yang berjumlah empat puluh orang. Mereka dinamakan sedemikian kerana hal yang berhubungan dengan maqam mereka zahir pada diri mereka hanya pada ketika bulan Rajab, dari saat munculnya anak bulan sehinggalah akhir bulan tersebut. Mereka akan kehilangan hal berkenaan dan tidak akan mendapatinya semula sehinggalah kedatangan bulan Rajab tahun berikutnya. Sesetengah di antara mereka berkekalan sepanjang tahun apa yang mereka perolehi melalui mukasyafah di sepanjang bulan Rajab, sementara sebahagian yang lain pula tiada apa yang tinggal.

Di dalam kitab al-Durrat al-Faqirah Syeikh Ibn ‘Arabi merakamkan kisah ziarah beliau kepada salah seorang daripada mereka di Dunaisir di Mesopotamia …… "juga al-Rajabi al-Khatari di Dunaisir yang merupakan salah seorang daripada empat puluh Rajabiyyun yang menuturkan perkara-perkara menakjubkan dalam bulan Rajab dan kembali seperti lelaki yang lain bilamana berakhirnya bulan Rajab".

"Beliau memiliki kurniaan daripada Allah yang tersendiri, dan tidak hanya dalam bulan Rajab, iaitu kebolehan mengesan Syiah Rawafid sekalipun apabila mereka menyamar sebagai sunni, kerana mereka muncul kepada beliau dalam rupa a***** ".

Qutub, Autad, Abdal, Nuqaba’, Nujaba’ dan Rajabiyyun, berserta yang lain, semuanya tergolong dalam Afrad, yang bilangannya berubah-ubah tetapi sentiasa dalam bilangan ganjil dan senantiasa melebihi tiga.

Wallahu a'lam

Al-Dawr Al- A'la

Sunday, April 17, 2011

Suatu himpunan zikir yang diilhamkan, setiap satu daripada tiga puluh tiga bait diteraskan dengan suatu siri asma’ Ilahiyah. Setiap ism (nama) mengandungi sir (rahsia) dan keekuatan yang tersendiri: ia perlu terbit pada ketika yang tepat dalam pembacaan demi untuk ianya berkesan. Keberkesanan tersebut bagaimanapun bukanlah sihir. Beberapa keadaan awal (pembaca) adalah diperlukan, yang terutama ialah ketulusan hati.
Al-Damuni merumuskan al-Dawr al-A’la Syeikh Ibn ‘Arabi dengan memulakannya seperti berikut: Aku bermohon kepada Allah agar hizb ini akan bermanfaat kepada sesiapa jua yang membacanya dengan tulus ikhlas dan keyakinan yang teguh, dan dengan itu dia akan mencapai matlamat akhirnya. Kerana Dia yang Esa yang mengurniakan tanpa batas, Yang Esa Yang Maha Mengetahui keadaan mereka yang membacanya . Barangsiapa menggunakan apa yang terdapat dalam hizb ini atau membacanya berserta dengan kesempurnaan iman akan mencapai matlamatnya, tetapi barangsiapa membacanya atau menggunakan kelebihannya sedangkan ianya menentang Allah tidak akan memperolehi apa-apa melainkan bebanan dan kerosakan. Aku sertakan sebahagian daripada kelebihan hizb yang agung ini, berdasarkan kepada kemakbulannya yang tidak pernah gagal bagi yang memiliki hati yang tulus. Antara manfaatnya ialah:
[al-Faqir Fusus: al-Damuni meneruskan dengan menyatakan beberapa kelebihan yang diperolehi kemudian al-Damuni menyambung]
Kami telah nyatakan sebahagian daripada manfaanya, kesemua keberhasilan ini hanya terbit melalui al-anfas (nafas-nafas)
[al-Faqir Fusus: al-anfas suatu terma yang juga digunakan untuk merujuk kepada bau nafas yang menunjukkan kehampiran dengan Allah – Syeikh Ibn ‘Arabi menulis bilamana ahlillah menghidu keharuman al-anfas (nafas-nafas) ini ….mereka segera mengenali orang Ilahi yang memiliki sir (rahsia) yang dicari oleh mereka dan pengetahuan yang ingin mereka capai….(di lain kali insyaAllah mungkin boleh ditambah dengan kisah Syeikh Abdul Qadir Jilani yang dapat mengenal pasti martabat seseorang berdasarkan bau nafas (dengan menghidu) ]
Yakni dengan menerimanya daripada al-sada al-akyas (tuan bagi hikam?). Bagi sesiapa yang tidak memiliki ‘nafas rohani’, ianya seumpama membina tembok tanpa asas. Bagaimanapun , jika dia tidak menemui seseorang yang kamil, dia harus mengikhlaskan niatnya dalam urusan ini, dan kemungkinan dia akan menemui sebahagian daripada manfaatnya, sekira niatnya baik. Apa yang kami nyatakan adalah mencukupi bagi mereka yang mencari, dan manfaatnya adalah tidak tersembunyi bagi seseorang yang kamil.
[al-Faqir Fusus: al-Dawr al-‘Ala merupakan sebahagian daripada sekian banyak yang terkandung dalam tarikat al-Akhbariyyah atau al-Hatimiyyah Syeikh Ibn ‘Arabi. Syeikh Ahmad al-Qushashi telah dikenalpasti sebagai penyambung kepada satu-satu nya ‘pewaris sanad’  bagi ‘khirqa Akhbariyyah’, dan di alam melayu murid Syeikh Ahmad al-Qushashi iaitu Syeikh Abdul Rauf Ali al-Fansuri al-Singkili yang menjadi murid beliau selama dua puluh tahun merupakan ‘pewaris sanad’ khirqa Akhbariyah. Berikut ialah contoh silsilah al-Dawr al-‘Ala atau tarikat Akhbariyyah di alam Melayu yang disambung dari sanad yang disusun oleh Prof Suha Taji Farouqi. Sanad tersebut tidak dipanjangkan sehingga ke masa kini kerana faqir tidak mendapat keizinan untuk membukakannya, di samping bimbang ada yang membuat peniruan dan mengambil kesempatan, sanad tersebut juga tidak ditingkatkan sehingga kepada Rasulullah s.a.w. Jadi sanad yang dibukakan DIHADKAN seperti berikut sebagai suatu makluman akan kewujudan hal ini di alam Melayu]


Jawapan Soalan 101

Sunday, March 20, 2011


Soalan: Apakah itu sujud?

Jawapan: Setiap sesuatu yang sujud menyaksikan akan ‘akar’ dirinya yang hilang daripadanya apabila dia menjadi dahan. Apabila sesuatu itu dijauhkan daripada akar (dengan) menjadi dahan, dikatakan kepadanya, “Carilah apa yang hilang daripadamu, akarmu yang daripadanya kamu terbit.” Maka sesuatu itu sujud ke bumi yakni (kepada) akarnya. Roh sujud kepada al-Roh al-Kull (roh semesta) yang daripadanya ia terbit. Sirr yang paling dalam sujud kepada Rabbnya yang melaluiNya ia mencapai martabatnya.

Semua ‘akar’ adalah ghaib (tidak kelihatan). Tidakkah kamu melihat bagaimana akar menzahirkan dirinya pada pepohon? Akar pohon tidak kelihatan, kerana perlakuan ‘menjadikan’ (takwin) adalah tidak kelihatan. Tiada seorang pun yang menyaksikan benih jadi di dalam rahim ibunya, oleh itu ianya adalah tidak kelihatan. Sesetengah haiwan jadi di dalam (cengkerang) telur; apabila haiwan tersebut sempurna, cengkerangnya pecah. ‘Akar’ kewujudan benda-benda adalah al-Haq, dan Dia ghaib (tidak kelihatan) daripada mereka.

Raja disanjung kerana yang lain berdiri di bawahnya. Raja memiliki ketinggian dan kehebatan. Demikian, apabila seseorang yang di bawahnya menghadapnya, dia menundukkan diri di hadapan raja, dikatakan “kedudukan ku dinisbahkan kepada mu adalah kerendahan di bandingkan dengan ketinggian.” Orang ramai mengambil kira (kedudukan) seorang raja berdasarkan kedudukan dan martabat, bukan berdasarkan kemanusiaannya, kerana mereka adalah bersamaan dengannya dari segi kemanusiaan.

Malaikat sujud kepada martabat ilmu. Sujud mereka adalah pada ucapan “kami tidak memiliki pengetahuan” (Quran 2:32), oleh itu mereka tidak tahu.

Bayang-bayang sujud kerana menyaksikan semua yang diluar daripada dirinya, objek (yang melemparkan baying-bayang). Bayang bagi objek terlindung daripada cahaya oleh ‘akar’ tempat terbitnya, jika tidak sudah tentu cahaya akan menfanakannya (menghilangkannya). Demikian baying-bayang tidak kekal dalam wujud melainkan melalui wujudnya ‘akar’. Demikian al-alam tidak kekal melainkan melalui Allah

Apabila hati sujud, ia tidak akan bangun semula, kerana sujudnya adalah pada asma’ Ilahi – bukannya Dzat – kerana asma’ yang menjadikannya ‘qolbu’ (qalb); asma’ menjadikannya berbolak-balik daripada satu keadaan kepada satu keadaan di dunia dan akhirat. Kerana itulah ia dinamakan ‘qolbu’ (qalb).

[al-Faqir Fusus : Hati (qolbu) dinamakan sedemikian kerana salah satu makna bagi qalb ialah berbolak balik, Hadis: Abu Musa al-Ansari menceritakan kepada kami, Muadz bin Muadz memberitahukan kepada kami dari Abi ka’ab pemilik kain sutera berkata: Syahr bin Hausyab menceritakan kepada kami dia berkata: Aku berkata kepada Ummi Salamah: “Ummul Mukminin! Apa doa yang sering di baca oleh Rasulullah s.a.w. jika beliau berada di sisimu?” Dia berkata: “Doa yang sering dibaca Beliau adalah: "Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, tetapkan hatiku atas agama Mu."

Dia berkata: lalu aku bertanya: “Wahai Rasulullah mengapa doamu yang paling sering adalah: "Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, tetapkan hatiku atas agama Mu."

Beliau bersabda: “ Sesungguhnya tidak ada manusia melainkan hatinya berada di antara dua jari dari jari-jari Allah: Barang siapa dikehendaki Allah, maka Dia menetapkan hatinya atas agamanya dan barang siapa dikehendaki Allah, maka Dia menjadikan ia menyimpang dari agamanya”. Lalu Muadz membaca ayat: Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau buat hati kami menyimpang setelah Engkau memberi petunjuk kepada kami (Quran 3:8).”

Dalam bab ini terdapat hadis dari Aisyah dan An Nawas bin Sam’an dan Anas dan Jabir dan Abdillah bin Amr. Hadis ini adalah hadis Hasan]

Apabila al-Haq menzahirkan DiriNya kepada qolbu sebagai sebab bagi berbolak-balik, dia melihat dirinya berada dalam genggaman Dia yang membolak-balikkannya. Dan Dia adalah asma’ Ilahi, yang mana tiada ciptaan yang terpisah (daripadanya). Asma’ menguasai makhluk. Qolbu dia yang menyaksikan asma’ akan sujud kepadanya, tetapi qolbu yang tidak menyaksikan asma’ tidak akan sujud; dialah yang membuat dakwaan (mudda’i) dengan berkata ‘Aku’ pada hari akhirat perhitungan dan soal jawab akan ditujukan kepada dia yang memiliki sifat sedemikian, begitu juga dengan siksaan, jika dia disiksa. Dia yang qolbunya sujud tidak memiliki dakwaan, oleh itu dia tidak punya perhitungan, soal jawab, atau siksaan

Demikianlah tiada keadaan lebih mulia daripada keadaan sujud, kerana ianya merupakan keadaan yang mencapai kepada kearifan ‘akar’. Dan tiada sifat lebih mulia daripada arif kerana ia menuntun kepada sa’ada di dua negeri dan keselesaan di dua maqam.