Mengenang Allah Dan Zikir Malaikat (2)

Monday, November 29, 2010

[Fusus: Keikhlasan ketika berzikir adalah penting sepertimana pentingnya dalam apa jua amalan-amalan. Tidak mengapa jika tidak dilakukan dalam bilangan yang banyak, tidak dilakukan sekaligus sebaiknya biarlah ditingkatkan sedikit demi sedikit. Sebuah hadis dari Abu Hurairah r.a. daripada Rasulullah s.a.w. baginda bersabda: "Barangsiapa duduk di satu tempat, lalu tidak sempat berzikir kepada Allah taala di situ, penyesalan yang ia akan perolehi daripada Allah. Dan barang siapa baring pada satu tempat, lalu ia tidak sempat berzikir kepada Allah taala di situ, ia akan mendapat penyesalan daripada Allah". Setiap tempat berzikir daripada satu tempat sekaligus (kecuali bagi yang beruzlah). Kerana Allah yang mengangkat kita pada tahap-tahap zikir kita. Dalam kalam hikmah yang ke-47 dan yang ke-248 al-Imam Ibnu Athaillah Askandary merumuskan sebagai berikut]

Kalam hikmah ke-47;
 “Jangan anda tinggalkan zikir (menyebut atau mengingati Allah), kerana tidak hadir (hati) anda serta Allah dalam zikir itu. Kerana bahawasanya kelalaian anda daripada mengingatiNya lebih berat dari kelalaian anda pada ada mengingatNya. Mudah-mudahan Allah Ta’ala akan mengangkat anda dari zikir di samping ada kelalaian kepada zikir di mana hatinya jaga (tidak lalai lagi). Dan mudah-mudahan Allah Ta’ala akan mengangkat anda dari zikir yang beserta kehadiran Allah (dalam hati) kepada zikir di mana lenyap (ghaib) selain Allah. Dan itu semua tidak lah sukar bagi Allah yang Maha ‘Aziz”.
Kalam hikmah ke-248;
“Tidak ada zikir yang tergambar pada lahiriah, melainkan terbit dari batin syuhud akan Allah dan tafakkur”
Dari kitab Risalah Qusyairy;
Ketika Syeikh Dzu al-Nun al-Misri ditanya tentang zikir, dia menjelaskan, “Zikir bererti tiadanya ingatan pelaku zikir terhadap zikirnya” Lalu beliau membaca syair : Aku berzikir hanya kepada Mu bukan kerana aku telah melupakan Mu; Itu hanyalah apa yang mengalir dari lidah ku.
[Fusus: Bab 216 al-Futuhat al-Makiyyah memperihalkan tentang ahli zikir yang menyedari bahawa Allah adalah teman bagi orang yang berzikir yakni ahli al-Quran dan ahli al-zikr]
….tetapi Dia tidak diketahui melainkan kepada ahli Nya dan pilihan Nya. Mereka ialah ahli al-Quran dan ahli zikir, yang mana Allah mengarahkan kita untuk bertanya, kerana mereka hanya akan mengkhabarkan mengenaiNya. Dia berfirman, oleh itu tanyalah kepada ahli zikir jika kamu tidak tahu [Quran 16:43], kerana ahli zikir merupakan teman al-Haq.
Si penzikir, mengenai ingatannya kepada Allah, Allah sendiri menyaksikan, (bahawa ahli zikir) hanya mengkhabarkan mengenai temannya sahaja. Demikian dia mengkhabarkan hal keadaan sebagaimana ianya (tanpa tokok tambah), dan inilah “pengetahuan”. “ Apakah (orang-orang kafir itu sama dengan) orang-orang yang ada mempunyai bukti yang nyata dari Tuhannya, dan diikuti pula oleh saksi dari Allah" [Quran 11:17].
....Tiada dapat dielak daripada Dia berteman dengan yang mengingatiNya-melalui penyaksian yang tertentu. Tiada yang lain melainkan peningkatan ‘arif yang melaluinya fadilat terzahir.
Setiap orang yang berzikir yang ‘arifnya tidak bertambah ketika mengingat Yang Diingat bukanlah seorang yang berzikir, sekalipun ia berzikir dengan lidahnya kerana orang yang berzikir hanyalah dia yang meresap keseluruhannya dengan zikirnya itu. Itulah teman al-Haq. Dia tidak akan terlepas dari memperolehi manfaat, di sebabkan oleh Al-'Alim, yang mana bakhil adalah tidak mungkin bagiNYa, pasti akan menganugerahkan ke atas temanNya sesuatu yang tidak ia miliki. Di sini tiada bakhil yang membatalkan pemurah. Demikianlah teman bagi al-Haq.
Al-Haq adalah berserta bagi setiap seseorang dalam al-alam namun mereka tidak menyedarinya. Had tertinggi golongan awam – jika mereka beriman – ialah mereka mengetahui yang Allah berserta mereka.
[Fusus: Quran 57:4 “Dan berserta kamu, di mana kamu berada”]
Tetapi manfaatnya terletak pada kamu berteman dengan Allah, tidak pada Dia berserta kamu, kerana demikianlah halnya. Dia yang bertemankan al-Haq tidak terlepas daripada syuhud akan al-Haq. Yang memandang akanNya tidak lain daripada wujud ‘arif padanya (orang yang berzikir). ‘Arif ini merupakan kurniaan Ilahi.

[Fusus: Namun ada juga yang merasa bimbang?, risau? untuk berzikir. Petikan berikut ialah dari bab ke-53 al-Futuhat. Semoga Allah menunjukkan jalan ]

JIKA mana-mana kalangan jin atau al-mala' al-a'la muncul, seseorang itu hendaklah memejamkan matanya dan tidak terikat dengan perbualan bersama mereka, sekalipun mereka berkata-kata. Jika jawapan sangat diperlukan seseorang itu hendaklah memberikan seadanya sahaja, dan tidak lebih dari itu. Jika jawapan tidak diperlukan seseorang itu hendaklah mendiamkan diri dan tetaplah dengan apa yang dikerjakan (zikir). Apabila mereka melihat seseorang dalam keadaan sebegini, mereka akan menjauhkan diri daripadanya dan tidak akan menghalanginya dan akan menghilangkan diri mereka daripadanya. Kerana mereka tahu barangsiapa yang mengganggu seseorang yang sibuk dengan Allah daripada pekerjaannya dengan Dia akan dihukum oleh Allah azzawajalla.

[Fusus: Ada terlalu banyak jenis zikir; zikir 4 juta, zikir sebanyak makhluk, zikir malaikat; berikut adalah apa yang dikenali sebagai zikir malaikat ]
Ahmad bin Ibrahim ad-Dauraqi menceritakan kepada kami, Ismail bin Ibrahim memberitahukan kepada kami, al-Jurairi memberitahukan kepada kami dari Abi Abdillah al-Jasri dari Abdillah bin ash-Shamit dari Abi-Zarr :  Bahawa Rasulullah menjenguknya atau Abu zarr menjenguk Rasulullah s.a.w. lalu ia berkata: “Engkau (tebusanmu) adalah dengan ayah ibuku wahai Rasulullah: “Apakah kalimat yang paling dicintai Allah?” Beliau bersabda: “Zikir yang dipilihkan Allah bagi para malaikatNya: Subhanarabbi wabihamdihi Subhanarabbi wabihamdihi (Maha suci Rabb ku dan pujian untukNya , Maha suci Rabb ku dan pujian untukNya) – Hadis ini adalah Hasan Sahih.


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Mengenang Allah Dan Zikir Malaikat

Monday, November 22, 2010

Dari bab al-Hikmah Nafasiyyah pada kalimah Yunus a.s  kitab Fusus al-Hikam Syeikh al-Akhbar Ibn ‘Arabi yang antaranya memperihalkan tentang zikir kepada Allah.
…Betapa indahnya sabda Rasulullah s.a.w. “Mahukah aku ceritakan kepada kamu sesuatu yang lebih baik daripada memerangi musuh, menyerang mereka dan diserang oleh mereka; iaitu zikir kepada Allah.”
[Fusus: Hadis penuh al-Husain bin Huraits menceritakan kepada kami, al-Fadhi bin Musa memberitahukan kepada kami dari Abdullah bin Said, dia adalah Abu  Hindun dari Ziyad iaitu sahaya dari Ibnu Ayyas dari Abi Bahriyyah dari Abid Darda’ berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: “Mahukah aku ceritakan kepada mu tentang sebaik-baik yang paling suci amal perbuatanmu di sisi Rajamu dan paling tinggi darjatmu dan lebih baik bagimu daripada mengeluarkan infaq berupa emas dan perak dan lebih baik bagimu daripada kamu menjumpai musuh-musuhmu dan kamu memenggal leher mereka dan mereka memenggal lehermu.” Mereka menjawab: “ Tentu,” Beliau bersabda: “Zikir kepada Allah.”]
Ini kerana hanya dia yang mengingati Allah dengan sempurna akan menghargai nilai sebenar penciptaan manusia, kerana Allah adalah teman bagi seseorang yang mengingatiNya, dan teman ditanggap oleh dia yang mengingat. Jika yang berzikir tidak menanggap Allah, yakni temannya, dengan itu dia bukanlah sebenar-benar orang yang berzikir, kerana ingat akan Allah akan mengalir melalui setiap bahagian hamba (yang sebenar-benar hamba). Ini tidaklah bermakna seseorang menyebutNya dengan lidahnya sahaja, supaya dengan itu hanya lidah yang menanggap Dia, yang mana tidak sama sepertimana tanggapan keseluruhan insan (jasad). Kamu seharusnya cuba memahami rahsia yang tersirat dalam zikir bagi mereka yang benar-benar alpa. Sesungguhnya, bahagian tertentu bagi seseorang yang alpa yang mengingati Allah adalah tanpa ragu hadir berteman Allah, dan Dia yang diingati adalah temannya.
[Fusus: Hadis Qudsi “Allah S.W.T. mewahyukan kepada Nabi Musa a.s.” “Ya Musa! Apakah engkau suka aku tinggal bersamamu dalam rumahmu?” (Mendengar itu) Nabi Musa tunduk sujud kepada Allah kemudian berkata: “Wahai Tuhanku, bagaimana mungkin perkara itu?” Allah berfirman kepada Musa: “Ya Musa! Apakah tidak engkau ketahui bahawa Aku teman (jalisu) bagi orang yang berzikir pada Ku? Dan (lebih dari itu) di mana pun hambaKu mencari Aku, maka ia pasti menjumpaiKu” – Hadis riwayat Ibnu Syahin dari Jabir r.a.]
Orang yang alpa (keseluruhannya) bagaimana pun, tidak mengingati, dan Dia tidak menemani seseorang yang alpa. Manusia itu berbilang-bilang (pada anggota) dan tidak tunggal pada zat, sementara Allah tunggal pada zat, tetapi memiliki asma’ yang pelbagai. Demikianlah manusia dengan berbilang-bilangnya anggota, dan ingatan oleh satu anggota tidaklah menandakan ingatan oleh bahagian anggotanya yang lain. Allah berteman dengan bahagian tersebut yang mengingatNya, sementara yang lain dinyatakan sebagai alpa.
Adalah perlu untuk adanya satu bahagian pada manusia yang mengingat Allah dan dengannya Allah hadir, oleh itu yang lain terselamat dalam perlindunganNya.
Bersambung....


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Bagaimana Bersikap Jika Iblis Menyeru Kepada Tauhid

Tuesday, November 9, 2010

Tajuk kali ini diletakkan dibawah label Ma'rifat al-Syaitan. Mudah-mudahan dimasa akan datang akan ada yang  dapat memenuhkan sedikit sebanyak isi kandungan keempat-empat Rukun Ma'rifat iaitu: Ma'rifatullah, ma'rifat al-Nafs, ma'rifat al-Dunya, dan ma'rifat al-Syaitan. Wama tasha-una illa ayyasha Allahu Rabbul'alamin (tidak berkehendak kamu melainkan kehendak Rabb semesta alam - Quran 81:29). Dari Futuhat al-Makiyyah Syeikh al-Akhbar Ibn 'Arabi:

Iman ialah qawl (pengucapan), ‘amal, dan I’tiqad. Hakikatnya ialah i’tiqad, jika berdasarkan kepada kedua-duanya iaitu syariat dan bahasa; ianya terzahir dalam pengucapan dan ‘amal berdasarkan syariat, tetapi tidak berdasarkan bahasa. Orang mukmin ialah dia yang pengucapannya dan perbuatannya (fi’l) menuruti dengan apa yang dii’tiqadkannya. Inilah kenapa Allah berfirman mengenai orang mukmin:

“ Wahai orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha (yang sejati), mudah-mudahan Rab (Tuhan) kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari Allah tidak menghinakan nabi dan orang yang beriman bersama dengannya, sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Rabbana (wahai Tuhan kami)! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami. Sesungguhnya Engkau (Allah) terhadap segala sesuatu adalah al-Qadir (Maha Kuasa).” (Q 66:8).

Di sini Dia maksudkan dengan “cahaya” sebagai ‘amal yang baik di sisi Allah yang mereka persembahkan.

“Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang Muslim, dan laki-laki dan perempuan yang Mukmin, dan laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, dan laki-laki dan perempuan yang siddiq (benar), dan laki-laki dan perempuan yang sabar, dan laki-laki dan perempuan yang khusyuk, dan laki-laki dan perempuan yang bersedekah, dan laki-laki dan perempuan yang berpuasa, dan laki-laki dan perempuan yang memelihara kemaluannya, dan laki-laki dan perempuan yang banyak mengingati Allah; Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar”.(Q 33:35)

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Orang mukmin itu, di mana orang-orang mukmin merasa aman daripadanya, terhadap diri dan harta mereka.”

[Fusus: Hadis penuh ialah Nabi s.a.w bersabda: “Adakah kamu ketahui, siapakah muslim itu?”, lalu para sahabat menjawab: “Allah dan Rasul Nya yang lebih mengetahui”. Lalu Nabi s.a.w bersabda: “Orang muslim ialah orang yang selamat orang muslim lainnya dari lidah dan tangannya”. Maka mereka bertanya: “Siapakah orang mukmin itu?” Nabi s.a.w menjawab: Iaitu orang, di mana orang-orang mukmin merasa aman daripadanya, terhadap diri dan harta mereka”. Lalu mereka bertanya lagi: “Siapakah orang yang berhijrah itu?”. Nabi s.a.w. menjawab: “Iaitu, orang yang berhijrah (meninggalkan) yang jahat dan menjauhkan diri daripadanya”. – dirawikan ath-Thabrani dan al-Hakim dari Fadlalah bin ‘Ubaid, hadis sahih.]

Baginda juga bersabda, “ Orang beriman itu, di mana tetangganya aman dari kejahatan-kejahatannya.”

[Fusus: Hadis penuh ialah Nabi s.a.w bersabda: “Tiada beriman seorang hamba sebelum tetangganya aman dari kejahatan-kejahatannya”. – dirawikan al-Bukhari dari Abu Syuraih. Bahagian seterusnya menunjukkan perbezaan antara iman dengan pengetahuan yang serupa dengan perkara yang diimani tersebut. Iman menuntut kepada menyatakan haq kepada Allah, sedangkan pengetahuan yang serupa mengenai kebenaran tersebut tidak menuntut pernyataan kepada sesiapa pun]

Iblis datang kepada ‘Isa a.s. dalam bentuk seorang lelaki tua yang zahirnya indah.....dia berkata kepada ‘Isa a.s. “Wahai ‘Isa, katakan LA ILAHA ILLA ALLAH!”, merasa cukup yakin dan puas bahawa ‘Isa a.s. akan mematuhi arahannya kali ini.

‘Isa a.s. menjawab, “Aku akan katakannya, tetapi bukan berasaskan pengucapan mu”. “LA ILAHA ILLA ALLAH!”. Dengan itu iblis pun berlalu dalam keadaan dikalahkan.....

Dari sini kamu dapat mengetahui perbezaan antara mengetahui sesuatu dengan beriman akannya, dan kamu akan mengetahui bahawa kebahagiaan terletak pada iman. Iman ialah menyatakan apa yang kamu tahu atau apa yang biasa kamu katakan daripada Rasul kamu – iaitu (sebagai contoh) Musa a.s. – berasaskan perkataan Rasul seterusnya, iaitu Muhammad s.a.w. Kamu tidak katakannya berasaskan pengetahuan kamu ketika pertama kali kamu lafazkannya. Dengan itu kamu akan disaksikan sebagai beriman dan kebahagaiaan akan datang kepada mu. Tetapi apabila kamu tidak katakannya berasaskan perkataannya (Rasul), kamu dengan itu adalah munafiq.

Allah berfirman, “Wahai orang-orang beriman”, bermakna mana-mana ahli kitab (yang berpegang pada wahyu yang tulen) kerana mereka katakan apa yang telah mereka katakan berasaskan Rasul mereka ‘Isa atau Musa – atau sesiapa jua yang beriman berasaskan wahyu yang sebelumnya; demikian Dia berfirman, “Wahai orang-orang beriman”, kemudian Dia katakan kepada mereka, “Wahai orang yang beriman! Berimanlah kepada Allah dan rasul-Nya (rasul Allah) dan kepada kitab yang Dia (Allah) turunkan sebelum itu. Dan sesiapa yang kafir terhadap Allah, para malaikat-Nya (malaikat Allah), kitab-kitab-Nya (kitab-kitab Allah), para rasul-Nya (rasul Allah) dan hari akhirat maka sesatlah dia sesesat-sesatnya”. (Q 4:136)

Dalam lain perkataan: katakan “LA ILAHA ILLA ALLAH” berasaskan perkataan Muhammad s.a.w., bukannya berasaskan pengetahuan mu mengenainya, tidak jua berasaskan imanmu terhadap Rasul mu yang pertama ( bagi ahli kitab terdahulu ). Kamu akan menyatukan (bagi ahli kitab) dua keimanan, dan kamu akan memperolehi dua ganjaran.


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

Alam al-Amthal, Pecahan Diri, Dan Ubahan Bentuk Diri (4)

Monday, November 1, 2010

Apabila hijab disingkap bagi golongan awam ketika ajal dan peralihan ke barzakh, ketika itu mereka berkeadaan sama serupa sepertimana keadaan ketika mereka berjasad di alam ini, kecuali mereka akan berubah daripada satu hadrat kepada suatu hadrat yang lain, atau daripada suatu keadaan kepada keadaan  yang lain. Tetapi al - 'arifun - naib al-Haq - telah pun memiliki kedaan ini ketika hayat di dunia.
[Fusus: ‘Keadaan’ yang dimaksudkan oleh Syeikh Ibn ‘Arabi ialah samada ilmu yaqin, ‘ainul yaqin atau pun haqqul yaqin, ketika beliau menghuraikan tentang Niyaba ke sepuluh daripada sepuluh niyaba yang dikurniakan Allah kepada insan al-kamil ]
Di sini niyaba hanyalah niyaba bagi tawhid kerana hukm tidak zahir sehinggalah selepas ilqa’. Dengan lain perkataan, apabila kejadian ‘meninggalkan’ dia yang meng ilqa’, dan Allah berperanan melalui sifat-sifat ‘wikala’ (wakil) bagi golongan naib dan melalui sifat-sifat nyata (pada khayal penglihatan) bagi golongan ahli sihir. Ini mengekalkan ghayra Ilahiyyah (cemburu Ilahi), supaya dengan itu tiada suatu pun selain Dia yang mempunyai hukm terhadap benda-benda melainkan Allah.
Maka tetap lah bagi ahli niyaba pada hadrat ini berterusan pada tasarruf, sebagaimana yang telah kami nyatakan. Orang awam menamakannya "karamat", "alamat-alamat", dan "mencarik adat". Bagi al- muhaqqiqun, perlakuan ini bukanlah "mencarik adat", melainkan suatu perlakuan mengeluarkan kepada wujud al-mumkin. Hakikat nya tiada tabiat, kerana tiadanya pengulangan, jadi tiada apa yang menjadi tabiat. Inilah firman Allah mengenai golongan (yang berpegang pada) tabiat, "(sudah tentu tidak), tetapi mereka dalam keraguan, tentang kejadian yang baru" (Q 50:15). Dia berkata: mereka tidak mengetahui pada setiap kerdipan mata mereka adalah dalam penciptaan yang baru, yakni apa yang mereka lihat pada kerdipan yang pertama adalah tidak bersamaan dengan apa yang mereka lihat pada kerdipan yang kedua, oleh itu mereka meraguinya.
[Fusus:Mengenai penciptaan dalam tempoh kerdipan mata, sedara-sedari boleh dapati dengan banyak dalam kisah Syeikh Abdul Qadir al-Jilani. Salah satunya ialah kisah ketika Syeikh Abdul Qadir sedang menagmbil wuduk di Baghdad, beliau berhenti dari berwuduk, dengan marah mengambil terompah beliau dan dibaling ke udara. Orang ramai yang melihat tidak nampak terompah jatuh semula. Sedangkan terompah tersebut mengenai kepala seorang lelaki yang berada beribu batu dari Baghdad yang cuba untuk memperkosa seorang gadis muda yang merupakan murid Syeikh lalu membunuh lelaki tadi. Syeikh Ibn ‘Arabi pula menyatakan, ini merupakan salah satu daripada enam fasal yang dihuraikan oleh Dhu al-Nun al-Misri, sementara di dalam Futuhat Syeikh menukilkan kisah Jauhari bagi menjelaskan keadaan ini dan dalam kitab Fusus al-Hikam Syeikh menyatakan….
"Akan hal kelebihan manusia mengatasi jin (ifrit) mengenai rahsia sifat dan keistimewaan fitrah benda-benda, dapat diketahui melalui ukuran masa, kerana “pandangan mata” adalah lebih cepat daripada perlakuan bangun daripada duduk (Berkata 'Ifrit daripada (golongan) jin: "Aku akan datangkan kepada engkau singgahsana itu sebelum engkau berdiri daripada tempat duduk engkau. Dan sesungguhnya aku atasnya (membawa singgahsana itu), benar-benar kuat lagi boleh dipercayai Q 27:39) (Berkata orang  di sisinya yang ada ilmu dari Kitab: Saya boleh membawanya kepadamu dalam sekelip mata – Q 27:40) , pergerakan mata dalam menanggap benda adalah lebih pantas daripada bergeraknya jasad daripada tempat diamnya. Ini kerana masa yang diambil untuk nampak adalah sama dengan ketika jatuhnya pandangan pada benda, tidak kira apa jua jarak antara yang melihat dengan yang dilihat, kerana ia mengambil masa tidak lebih daripada masa bukaan mata untuk jatuhnya pandangan hatta bagi melihat bintang yang jauh, sebagaimana tertutupnya mata tidak lebih daripada masa hilangnya pandangan (pada benda yang dilihat). Berdirinya seseorang adalah tidak sama dan tidaklah sepantas. Demikian Asaf Ibn Barkhiyah membuktikan lebih baik daripada Ifrit, kerana pengucapan dan perlakuannya mengambil masa hanya satu detik. Pada ketika itu Sulaiman a.s. menyaksikan dengan mata Baginda singgahsana Balqis tertonggok di hadapan Baginda.

Fusus: Sedetik khayal akal takkan sama sedetik penciptaan dan kejadian baru. Munculnya singgahsana adalah bersamaan dengan ketika hilangnya singgahsana. Sebagaimana hilangnya terompah bersamaan dengan ketika munculnya terompah . Tetapi mereka dalam keraguan, tentang kejadian yang baru” (Q 50:15) ]
Tiada pengulangan semula, oleh itu tiadanya “mencarik adat”. Demikianlah bagaimana al-muhaqqiqun di kalangan ahlillah menanggap hal ini, dan tiada yang lain melainkan sebagaimana yang telah kami nyatakan. Selanjutnya, melalui semua ini penciptaan adalah berterusan dan selamanya dalam keadaan faqir, dan al-Haq merupakan Pencipta dan Pengekal wujud kerana wujud ini berterusan (faqir), kerana penciptaan yang baru yang Dia keluarkan kepada wujud antaranya supaya dengan itu ia (penciptaan) kekal berterusan (faqir).




Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO