Alam al-Amthal, Pecahan Diri, Dan Ubahan Bentuk Diri (2)

Friday, October 15, 2010

Apabila jin melakukan hubungan kelamin, mereka mengambil bentuk berbelit / berpilin (iltiwa’), seumpama asap yang keluar dari serombong atau tempat pembakaran tembikar. Setiap satu antara mereka meresap ke dalam pasangannya, dan kedua-duanya mendapat nikmat daripada peresapan tadi. Penciptaan baru berlaku melalui pancaran hawa (ilqa’ al-hawa’), sepertimana manusia melalui pancaran air. Apa yang mereka pancarkan adalah seperti debunga kurma, yang berterbangan hanya dengan hembusan angin sepoi-sepoi.
Makanan bagi jin adalah aroma daripada tulang. Ibn ‘Arabi memetik dua hadis dan satu khabar daripada ahli al-kashf, yang mengkhabarkan kepada beliau bahawa dia nampak sesetengah jin mendapatkan tulang dan menghidunya, seperti haiwan liar. Kemudian mereka pergi setelah kenyang. Ini membantu untuk membezakan mereka daripada malaikat yang tidak makan, sebagaimana kisah Nabi Ibrahim dan tetamu Baginda (Q: 11:70 Maka tatkala dilihatnya tangan mereka tidak menjamahnya, Ibrahim memandang aneh perbuatan mereka, dan merasa takut kepada mereka. Malaikat itu berkata: “Jangan kamu takut, sesungguhnya kami adalah (malaikat-malaikat) yang diutus kepada kaum Luth”).
Iblis mempunyai banyak puak, sekalipun asasnya dikatakan ada dua belas puak, yang kemudiannya dipecahkan lagi. Peperangan yang dahsyat berlaku di kalangan mereka, dan sebahagian, bukan semua taufan dan angin puting beliung adalah hasil dari peperangan mereka. Suatu kisah yang masyur dan seringkali diceritakan iaitu kisah ‘Amr al-Jinni, yang muncul selepas luka dalam angin ribut yang merupakan peperangan di kalangan jin.
Ibn ‘Arabi ada menyatakan satu hadis gharib: “Aku ada menerima satu hadis gharib terbit daripada salah seorang dari kelompok jin. Diriwayatkan kepada ku oleh seorang buta, Ibrahim Ibn Sulayman di Aleppo. Dia berasal dari Dayr al-Ruman salah satu daerah bagi Kharbur. Dia memperolehi nya daripada seorang yang dipercayai, seorang pemotong kayu, yang telah membunuh seekor ular. Dia kemudiannya dicolek oleh jin, yang membawanya kehadapan seorang syeikh yang sangat tua, iaitu ketua kumpulan jin itu.
Mereka berkata, “ Lelaki ini telah membunuh anak pakcik kami”. Tukang kayu menjawab; “Aku tidak tahu apa yang kamu maksudkan. Aku hanyalah si pemotong kayu, dan seekor ular datang mengganggu ku, jadi aku bunuh ia”. Kumpulan tersebut berkata, “Itu anak pakcik kami”. Kemudian syeikh tersebut - semoga Allah merahmatinya - berkata, “Lepaskan dia dan kembalikan ketempatnya. Kamu tidak boleh berbuat apa-apa terhadapnya, kerana aku mendengar Rasulullah bersabda, ketika berkata kepada kami, “Dia yang mengambil rupa selain daripada rupanya dan dibunuh tidak punya akal, dan tiadalah pembalasan untuknya”. Anak pakcik kamu mengambil rupa ular, yang merupakan salah satu musuh manusia”.
Tukang kayu berkata, “Aku bertanya kepadanya, Tuan, aku dapati kamu berkata yang kamu mendengar sabda Rasulullah. Adakah kamu bertemu dengan Baginda?” Dia menjawab, “Ya, aku salah seorang daripada jin Nasibin yang menghadap Rasulullah. Jadi kami mendengar dari Baginda. Tetapi hanya aku yang tinggal daripada kumpulan itu. Aku berhukum dikalangan kaum ku berdasarkan apa yang aku dengar daripada Rasulullah”. Tetapi periwayat tidak menyatakan nama syeikh jin tersebut, tidak pula aku bertanya kepadanya.
Fusus (penulis): Ibn ‘Arabi juga menjelaskan beberapa mara bahaya yang didatangkan oleh jin kepada salik yang melalui tariq Allah. Yang terendah di kalangan mereka ialah yang duduk-duduk bersama jin lalu mengundang bahaya:
Sebahagian di antara mereka menjadi sahabat (julasa’) di kalangan jin, tetapi ini merupakan kumpulan yang terendah pada martabat. Alasannya ialah jin adalah begitu hampir kepada  manusia pada campurtangan. Orang yang bijaksana akan berlepas diri dari jin sebagaimana mereka berlepas diri dari manusia, kerana duduk-duduk bersama mereka adalah sangat keji; sangat sedikit yang mendapat manfaat daripadanya. Ini kerana asal mereka daripada api, dan api mempunyai pergerakan yang cepat. Sesiapa yang mempunyai pergerakan yang cepat adalah segera untuk campurtangan dalam semua perkara. Demikian sebagai sahabat mereka lebih menjadi fitnah kepada manusia, kerana mereka boleh berada di antara manusia untuk membuka aib yang seharusnya orang yang ‘arif mengelak.
Selanjutnya, jika seseorang duduk bersama manusia, ini tidak meninggalkan kesan angkuh padanya, di sebalik bersahabat dengan jin. Fitrahnya mereka (jin) meninggalkan kesan keangkuhan kepada sahabatnya, manusia , dan setiap hamba Allah. Jika mana-mana hamba Allah dangan angkuhnya melihat dirinya lebih hebat dari yang lain, Allah membencinya sedangkan dia tidak sedar....dia menyangka bahawa dia telah mencapai sesuatu, sedangkan dia sebenarnya kehilangan.
Ketahuilah juga jin merupakan makhluk yang paling angkuh. Mereka menceritakan kepada sahabat mereka perkara-perkara yang bakal berlaku dan kejadian dalam alam, dan mereka memperolehi ini dengan cara mengintip di langit. Kemudian salik akan mengkhayalkan kejadian-kejadian, dan dia menyangka Allah memuliakannya, tetapi dia seharusnya berhati-hati akan sangkaannya itu! Inilah kenapa kamu tidak akan melihat sahabat jin yang mencapai pengetahuan akan Allah (ilm al-Ilahi) apa pun jua.
Tahap tertinggi seseorang itu boleh dapati dari jin adalah pengetahuan tentang sifat-sifat tumbuhan, batuan, nama-nama dan huruf-huruf. Inilah ‘Ilm al-Simiya’ [Fusus: berbeza dengan ‘Ilm al-Huruf yang berteraskan tauhid dan menuntun kepada ma’rifah yang dibahaskan oleh al-Hakim al-Tirmidzi, Dzu al-Nun al-Misri dan Ibn ‘Arabi] – inilah ilmu yang dimiliki oleh ahli sihir Firaun. Demikian kita tidak akan memperolehi apa-apa daripada mereka melainkan ilmu yang dipersalahkan oleh lidah syariat. Oleh itu jika seseorang mendakwa bersahabat dengan mereka – dan jika dia berkata benar pada dakwaannya – tanyalah dia soalan mengenai al-‘ilm al-Ilahi. Kamu akan dapati yang dia tidak memiliki dhawq akannya barang sedikit pun.
Ahlillah berlepas diri daripada bersahabat dengan jin lebih daripada bersahabat dengan manusia, kerana menjadi sahabat jin tidak, melainkan membawa kedalam jiwa orang yang bersahabat itu angkuh kepada yang lain pada tabiatnya (bil-tab’) dan memandang hina pada sesiapa yang tidak sekumpulan dengannya.
Aku pernah melihat suatu golongan yang benar-benar bersahabat dengan jin dan menzahirkan kesahihan persahabatan yang mereka dakwa. Mereka semuanya adalah golongan yang tekun, berusaha, dan beribadah, tetapi pada peribadinya mereka tidak memiliki sedikit pun Ilm al-Ilahi. Aku lihat mereka bersikap menyanjung diri dan angkuh. Aku tidak tinggalkan mereka sehinggalah aku berada diantara mereka dan persahabatan mereka dengan jin, kerana mereka ini mencari kebaikan dan adil dalam pertimbangan (supaya mereka meninggalkan persahabatan dengan jin). Tetapi aku juga pernah menemui mereka yang tidak sebegitu (yakni degil). Oleh itu dia yang berkata benar dalam dakwaannya memiliki sifat ini tidak berjaya, tidak juga dia akan berjaya. Bagi dia yang menipu (memiliki persahabatan ini) kami tidak risau akan dirinya.
Fusus (Penulis): Melanjutkan lagi tipu daya jin pada salik. Ibn ‘Arabi menerangkan tentang salah satu daripada beberapa kaedah yang digunakan oleh sesetengah orang untuk memanipulasi khayal yang mana sebenar-benarnya bersamaan dengan apa yang dilakukan oleh jin. Kaedahnya seperti berikut:-
....kaedah yang lain ialah seseorang itu menjadikan udara disekelilingnya mengambil rupa dengan sebarang rupa yang ia kehendaki, sedangkan dia kekal berada di bahagian dalam bentuk rupa (yang dia bentuk daripada udara). Demikian pandangan jatuh pada rupa udara tadi yang dibentuk dalam rupa yang dikehendakinya untuk zahir. Bagaimanapun jika bentuk itu berkata-kata, ini hanya akan berlaku melalui lidah yang dikenalpasti oleh orang yang melihat (yakni lidah orang yang berada dalam lingkungan udara yang dibentuk tadi). Dia akan mendengar bunyi dan mengenalinya, tetapi dia melihat rupa yang tidak dikenalinya. Seseorang yang memiliki ilmu ini tidak dapat mengubah suaranya sendiri.
Kekuasaan jin keatas mereka yang mengenali jin adalah sepertimana tadi, kerana mereka zahir dalam apa jua bentuk yang mereka mahu, tetapi suaranya tetap suara jin. Mereka tidak punya kekuasaan ke atas sesuatu yang lain. Dia yang tidak mengetahui sebanyak ini tentang jin tidak mengetahui apa-apa.
Ada sesetengah orang yang fikirannya dipermainkan jin. Mereka menjadikan mata mereka mengkhayalkan rupa bentuk, sepertimana ahli sihir (di zaman Musa a.s), membuatkan orang berkhayal yang mereka melihat tali dalam bentuk ular yang menjalar. Orang yang sebegini mengira bahawa mereka melihat jin, sedangkan ianya bukan jin. Bentuk yang mereka khayalkan berkata-kata dengan mereka, sedangkan bentuk tidak berkata-kata, berbeza dengan jin apabila mereka tajassud (mengambil bentuk jasad). Mereka dikalangan ‘Arifin yang mengenali suara bagi setiap puak (jin) akan mengenali apa yang mereka  nampak dan tidak akan dikuasai oleh kekeliruan (talbis) dengan apa yang mereka nampak.
Aku mengenali sekumpulan Ahlillah di Andalusia yang biasa melihat jin samada mereka mengambil rupa bentuk atau pun tidak. Di antaranya ialah Fatima bint Ibn al-Muthanna’ (Mungkin Syeikh Qolbu akan siarkan dalam siri Roh al-Quds di blog nya. Sama-sama kita tunggu)  dari Cordova, yang mengenali mereka tanpa ragu.
Di bandar Fez, aku melihat sekumpulan yang mata mereka dijadikan oleh jin mengkhayalkan melihat rupa. Rupa tersebut akan mengarah mereka sebagaimana yang mereka mahu untuk mempersonakan mereka, sekalipun bentuk tersebut bukannya jin, tidak juga mereka adalah jin yang mengambil bentuk. Diantara mereka ialah Abu’l – ‘Abbas al-Zaqqaq di Fez. Keseluruhan perkara adalah kekeliruan baginya. Dia dijadikan berkhayal bahawa jin memberi arahan kepadanya dan dia diyakini oleh keadaan tersebut.
Alasan bagi perkara ini ialah kejahilannya mengenalpasti suara mereka. Apabila dia duduk bersama ku dan hadir dalam majlisku, dia akan menjadi kebingungan. Kemudian dia akan memperincikan apa yang dia lihat, dengan itu aku tahu yang dia telah dibuat (oleh jin) untuk mengkhayalkan benda-benda. Disini dia mencapai keadaan dipermainkan, persahabatan, dan perbualan. Ada ketika wujud pertengkaran dan permusuhan antara dia dan apa yang dia nampak. Jin akan menyusahkannya dengan suatu cara dan dia akan mengkhayalkan kesusahan tersebut terbitnya daripada bentuk-bentuk tadi. Dia telah sepenuhnya dikuasai oleh keadaan ini – semoga Allah mengasihaninya! Abul – ‘Abbas al-Dahlan dan kesemua sahabat ku biasa menyaksikan keadaan yang sebegini berlaku padanya.
Dia yang mengenali suara tidak akan menderita keliru dengan bentuk, tetapi amat sedikit yang mengenalpasti mereka. Oleh itu, manusia selalu tertipu akan kebenaran apa yang terzahir dari bentuk-bentuk tadi.
Saya rasa untuk tajuk ini tidak perlulah diperjelaskan tentang pembahagian khayal / jenis-jenis khayal, mungkin ditajuk yang lain yang khusus untuk pembahagian khayal sahaja (wa ma tashauna illa ayyasha Allahurabbul 'alamin). Akan bersambung InsyaAllah dengan ciri-ciri karamat yang membezakan dengan simiya'


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

1 comments:

fabianadaffron said...

Hotel Las Vegas Casino & Hotel Map - Mapyro
View a detailed profile of the Hotel 대전광역 출장마사지 Las Vegas Casino & Hotel in Las 경주 출장안마 Vegas, 의정부 출장샵 NV. The Hotel Las Vegas is a luxury property with 의왕 출장샵 a 경상북도 출장마사지 4-star accommodation.

Post a Comment