Bagaimana Bersikap Jika Iblis Menyeru Kepada Tauhid

Tuesday, November 9, 2010

Tajuk kali ini diletakkan dibawah label Ma'rifat al-Syaitan. Mudah-mudahan dimasa akan datang akan ada yang  dapat memenuhkan sedikit sebanyak isi kandungan keempat-empat Rukun Ma'rifat iaitu: Ma'rifatullah, ma'rifat al-Nafs, ma'rifat al-Dunya, dan ma'rifat al-Syaitan. Wama tasha-una illa ayyasha Allahu Rabbul'alamin (tidak berkehendak kamu melainkan kehendak Rabb semesta alam - Quran 81:29). Dari Futuhat al-Makiyyah Syeikh al-Akhbar Ibn 'Arabi:

Iman ialah qawl (pengucapan), ‘amal, dan I’tiqad. Hakikatnya ialah i’tiqad, jika berdasarkan kepada kedua-duanya iaitu syariat dan bahasa; ianya terzahir dalam pengucapan dan ‘amal berdasarkan syariat, tetapi tidak berdasarkan bahasa. Orang mukmin ialah dia yang pengucapannya dan perbuatannya (fi’l) menuruti dengan apa yang dii’tiqadkannya. Inilah kenapa Allah berfirman mengenai orang mukmin:

“ Wahai orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha (yang sejati), mudah-mudahan Rab (Tuhan) kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari Allah tidak menghinakan nabi dan orang yang beriman bersama dengannya, sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Rabbana (wahai Tuhan kami)! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami. Sesungguhnya Engkau (Allah) terhadap segala sesuatu adalah al-Qadir (Maha Kuasa).” (Q 66:8).

Di sini Dia maksudkan dengan “cahaya” sebagai ‘amal yang baik di sisi Allah yang mereka persembahkan.

“Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang Muslim, dan laki-laki dan perempuan yang Mukmin, dan laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, dan laki-laki dan perempuan yang siddiq (benar), dan laki-laki dan perempuan yang sabar, dan laki-laki dan perempuan yang khusyuk, dan laki-laki dan perempuan yang bersedekah, dan laki-laki dan perempuan yang berpuasa, dan laki-laki dan perempuan yang memelihara kemaluannya, dan laki-laki dan perempuan yang banyak mengingati Allah; Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar”.(Q 33:35)

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Orang mukmin itu, di mana orang-orang mukmin merasa aman daripadanya, terhadap diri dan harta mereka.”

[Fusus: Hadis penuh ialah Nabi s.a.w bersabda: “Adakah kamu ketahui, siapakah muslim itu?”, lalu para sahabat menjawab: “Allah dan Rasul Nya yang lebih mengetahui”. Lalu Nabi s.a.w bersabda: “Orang muslim ialah orang yang selamat orang muslim lainnya dari lidah dan tangannya”. Maka mereka bertanya: “Siapakah orang mukmin itu?” Nabi s.a.w menjawab: Iaitu orang, di mana orang-orang mukmin merasa aman daripadanya, terhadap diri dan harta mereka”. Lalu mereka bertanya lagi: “Siapakah orang yang berhijrah itu?”. Nabi s.a.w. menjawab: “Iaitu, orang yang berhijrah (meninggalkan) yang jahat dan menjauhkan diri daripadanya”. – dirawikan ath-Thabrani dan al-Hakim dari Fadlalah bin ‘Ubaid, hadis sahih.]

Baginda juga bersabda, “ Orang beriman itu, di mana tetangganya aman dari kejahatan-kejahatannya.”

[Fusus: Hadis penuh ialah Nabi s.a.w bersabda: “Tiada beriman seorang hamba sebelum tetangganya aman dari kejahatan-kejahatannya”. – dirawikan al-Bukhari dari Abu Syuraih. Bahagian seterusnya menunjukkan perbezaan antara iman dengan pengetahuan yang serupa dengan perkara yang diimani tersebut. Iman menuntut kepada menyatakan haq kepada Allah, sedangkan pengetahuan yang serupa mengenai kebenaran tersebut tidak menuntut pernyataan kepada sesiapa pun]

Iblis datang kepada ‘Isa a.s. dalam bentuk seorang lelaki tua yang zahirnya indah.....dia berkata kepada ‘Isa a.s. “Wahai ‘Isa, katakan LA ILAHA ILLA ALLAH!”, merasa cukup yakin dan puas bahawa ‘Isa a.s. akan mematuhi arahannya kali ini.

‘Isa a.s. menjawab, “Aku akan katakannya, tetapi bukan berasaskan pengucapan mu”. “LA ILAHA ILLA ALLAH!”. Dengan itu iblis pun berlalu dalam keadaan dikalahkan.....

Dari sini kamu dapat mengetahui perbezaan antara mengetahui sesuatu dengan beriman akannya, dan kamu akan mengetahui bahawa kebahagiaan terletak pada iman. Iman ialah menyatakan apa yang kamu tahu atau apa yang biasa kamu katakan daripada Rasul kamu – iaitu (sebagai contoh) Musa a.s. – berasaskan perkataan Rasul seterusnya, iaitu Muhammad s.a.w. Kamu tidak katakannya berasaskan pengetahuan kamu ketika pertama kali kamu lafazkannya. Dengan itu kamu akan disaksikan sebagai beriman dan kebahagaiaan akan datang kepada mu. Tetapi apabila kamu tidak katakannya berasaskan perkataannya (Rasul), kamu dengan itu adalah munafiq.

Allah berfirman, “Wahai orang-orang beriman”, bermakna mana-mana ahli kitab (yang berpegang pada wahyu yang tulen) kerana mereka katakan apa yang telah mereka katakan berasaskan Rasul mereka ‘Isa atau Musa – atau sesiapa jua yang beriman berasaskan wahyu yang sebelumnya; demikian Dia berfirman, “Wahai orang-orang beriman”, kemudian Dia katakan kepada mereka, “Wahai orang yang beriman! Berimanlah kepada Allah dan rasul-Nya (rasul Allah) dan kepada kitab yang Dia (Allah) turunkan sebelum itu. Dan sesiapa yang kafir terhadap Allah, para malaikat-Nya (malaikat Allah), kitab-kitab-Nya (kitab-kitab Allah), para rasul-Nya (rasul Allah) dan hari akhirat maka sesatlah dia sesesat-sesatnya”. (Q 4:136)

Dalam lain perkataan: katakan “LA ILAHA ILLA ALLAH” berasaskan perkataan Muhammad s.a.w., bukannya berasaskan pengetahuan mu mengenainya, tidak jua berasaskan imanmu terhadap Rasul mu yang pertama ( bagi ahli kitab terdahulu ). Kamu akan menyatukan (bagi ahli kitab) dua keimanan, dan kamu akan memperolehi dua ganjaran.


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

0 comments:

Post a Comment