I`tiqad Umum La Ilaha illa Allah Menurut Futuhat (2)

Saturday, August 21, 2010

Yang berbuat sekehendak diri (fa``al lima yurid) (al-Buruj, 85: 16). Dia yang Mahaberkehendak (al-Murid) atas segala yang dicipta (al-ka’inat) di alam bumi dan langit berganda. Kekuasaan-Nya tidak tertakluk pada sesuatu hingga Dia menghendakinya, sebagaimana Dia tidak menghendakinya sehingga Dia mengetahuinya. Sebab, mustahil dalam akal bahawa Dia menginginkan apa yang tidak Dia ketahui; mustahil juga dalam akal bahawa Yang bebas memilih - iaitu Yang berkuasa untuk tidak melakukan sesuatu - melakukan apa yang tidak dikehendaki-Nya.

Seperti itu pula mustahil terdapat pernisbahan (nisab) Hakikat-Hakikat yang tersebut tadi [seperti Hakikat Uluhiyyah, Mencipta, Berilmu, Berkehendak, Berkuasa] pada yang tidak Hidup (hayy); begitu juga, adalah mustahil bahawa Sifat-Sifat Allah berdiri tanpa Dhat yang bersifat dengan Sifat-Sifat tersebut.

Maka, dalam wujud: Tiada ketaatan dan kemaksiatan, Tiada keuntungan dan kerugian, Tiada hamba dan orang merdeka, Tiada dingin dan panas, Tiada hidup dan mati, Tiada penghasilan dan kehilangan, Tiada siang dan malam, Tiada lurus dan bengkok, Tiada daratan dan lautan, Tiada genap dan ganjil, Tiada jawhar dan tiada `arad, Tiada sihat dan sakit, Tiada suka dan sedih, Tiada ruh dan jasad, Tiada gelap dan terang, Tiada bumi dan langit, Tiada percantuman (tarkib) dan penguraian (tahlil), Tiada banyak dan sedikit, Tiada pagi dan petang, Tiada putih dan hitam, Tiada tidur dan jaga, Tiada zahir dan batin, Tiada gerak dan diam, Tiada kering dan basah, Tiada kulit dan isi, Dan tiada sesuatu dari bentuk-bentuk hubungan ini, sama ada yang berlawanan, yang berbeda mahupun yang serupa, kecuali ia dikehendaki oleh al-Haqq Ta`ala. Bagaimana mungkin perkara itu bukan kehendak-Nya, sedang Dialah yang menjadikannya (awjadahu) Bagaimana mungkin Yang bebas berkehendak, menciptakan sesuatu yang tidak Dia kehendaki?

Dialah Yang tiada yang menolak perintah-Nya (amri- Hi) dan tidak ada ganti bagi hukum-Nya. Dia memberikan kekuasaan kepada siapa yang Dia kehendaki, dan menarik kekuasaan dari siapa yang Dia kehendaki. Dia memuliakan siapa yang Dia kehendaki, dan menghinakan siapa yang Dia kehendaki (Ali `Imran, 3: 26). Dia menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki [kerana berniat jahat], dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki [kerana niatnya baik] (al-A`raf, 7: 155). Apa yang Dia kehendaki pastilah jadi, dan yang tidak Dia kehendaki tidak akan jadi (al-Hadith). Kalau seluruh makhluk berkumpul untuk menghendaki sesuatu yang Allah tidak menghendaki mereka menghendakinya, maka mereka tidak akan menghendakinya. Atau mereka melakukan sesuatu yang Allah tidak menghendaki jadinya dan Dia tidak memberikan kuasa ke atas mereka [atas yang demikian itu], maka mereka tidak dapat mengerjakannya dan tidak mampu atas yang demikian itu. Maka kufur dan iman dan taat dan maksiat berasal dari kehendak, kebijaksanaan (hukum) dan iradah-Nya.

Dan senantiasalah Allah disifatkan Berkehendak (iradah) secara azali serta `alam itu ma`dum bukan mawjud, kalaupun `alam itu semata-mata thabit dalam Ilmu- Nya. Kemudian Dia menciptakan alam tanpa berfikir dan tanpa merencanakan - sama ada kerana kejahilan mahupun tiada ilmu, lalu pemikiran dan perencanaan ini memberikan padaNya pengetahuan ehwal apa yang tidak Dia ketahui. Dia Mahatinggi dan Mahaagung dari yang demikian itu. Bahkan Dia menciptakan `alam dari ilmu yang mendahului, dan dari ketentuan Kehendak yang suci lagi azali, yang menetapkan pada alam apa yang ia (`alam) dijadikan atasnya, umpama zaman, tempat, keadaan dan warna. Tiada Yang Berkehendak dalam wujud secara Hakiki yang selain-Nya. Kerana Dia berfirman, Kamu tidak menghendaki kecuali Allah menghendaki (al-Insan, 76: 30). Sesungguhnya Mahasuci Dia. Sepertimana Dia Mahatahu, Dia memutuskan; dan sepertimana Dia kehendaki Dia mengkhususkan; dan kerana Dia menentukan qadarnya, Dia menciptakan.


Free Template Blogger collection template Hot Deals SEO

0 comments:

Post a Comment